Makluman : Sukatan Baru Kesusasteraan Melayu SPM

Mulai 2015, satu novel dipelajari iaitu Naratif Ogonshoto karya Dato' Anwar Ridhwan. Satu antologi teks moden (sajak, cerpen dan drama) ialah Kubentang Sebuah Peta. Teks karya tradisional pula ialah Nilai Insan.

26 Oktober 2009

Cerpen Malam Terakhir oleh Hassan Ali

Salah satu cerpen yang penting pada tahun 2009. Cerpen ini masih belum disoal dalam Peperiksaan SPM dan salah satu yang perlu diberi perhatian oleh semua calon. Diharap semua pelajar membaca dan mengkaji cerpen ini secara terperinci.

SINOPSIS

Perjuangan Hasyim dan rakan-rakannya menuntut kemerdekaan tanah air. Tujuan utama beliau dalam perjuangan untuk membebaskan nusa,bangsa dan agama daripada dicengkam musuh. Lantaran terlalu memberi tumpuan kepada perjuangan membela nusanya sehingga mengabaikan tugas rumah tangga. Hasyim lupa tanggung jawab terhadap isteri dan anak malah melupakan kerjaya dan kesihatan dirinya.
Kesan daripada pengabaian Hasyim, menimbulkan konflik dengan isterinya, Bibah. Beliau lebih mengutamakan perjuangan berbanding hal-hal kehidupan lain. Walau pun pada akhir hayatnya tersingkir tetapi yang ingin didengarinya sebelum menghembuskan nafas terakhir ialah laungan perkataan ‘merdeka’ daripada corong radio. Setelah hajatnya tercapai, dia pun meninggal dunia.

TEMA

Nasib bekas pejuang kemerdekaan tanah air bernama Hasyim. Beliau memperjuangkan kemerdekaan tanah air sehingga kemudiannya uzur dan akhirnya meninggal dunia.


PERSOALAN

1. Semangat cintakan tanah air
Dalam keadaan uzur masih mengikuti upacara kemerdekaan tanah air melalui radio kerana cintakan tanah air.
2. Keikhlasan dalam perjuangan. Tidak mengharap sanjungan masyarakat terhadap sumbangan perjuangan dan kematiannya.
3. Prinsip perjuangan
Prinsip pegangan Hasyim bertentangan dengan prinsip partinya hingga menyebabkan dia tersingkir dari parti.
4. Pengorbanan dalam perjuangan.
Hasyim berjuang tanpa mempunyai kepentingan peribadi/ keluarga sehingga ketika meninggal dunia, Hasyim tidak meninggalkan sebarang harta untuk membiayai pengebumiannya.
5. Kasih sayang dalam keluarga pejuang.
Walau pun sibuk berjuang, Hasyim berjaya membentuk keluarganya supaya memahami tanggung jawab sebagai pejuang kemerdekaan.

WATAK PERWATAKAN

HASYIM

1. mempunyai isteri, Habibah dan anak- Lamah
2. bekas guru dan pejuang kemerdekaan

3. sikap juang yang kental – berusaha menuntut kemerdekaan tanah air

4. cinta akan kebenaran – sanggup berkorban demi menegakkan kebenaran.

5. terlalu taksub kepada perjuangan – sehingga mengabaikan isteri dan rumah tangga


BIBAH
1. berfahaman lebih rasional - menyanggah pendapat suami dalam meneruskan perjuangan.

2. kasih sayang - menjaga suami yang sedang terlantar
3. penyedih – melihat kelakuan suaminya yang terlantar pada malam kemerdekaan

4. bertanggung jawab – Bibah menjaga Hasyim ketika sedang terbaring kerana uzur.
5. Beriman – mengingatkan Hasyim agar mengingatkan nama Allah dan selalu mengucap syahadat.


MESEJ DAN PENGAJARAN

1. Berjuang membebaskan tanah air daripada sebarang bentuk penjajahan.
-Bibah sangat menyayangi suaminya, Hasyim. Dia mengambil berat ketika suaminya uzur dan menangisi kematian suaminya.
2. Kita hendaklah mengenang jasa para pejuang kemerdekaan.
-kehidupan Hasyim sebagai bekas pejuang sangat miskin tanpa pembelaan dan kematian pula tanpa penghormatan masyarakat.
3. Cinta terhadap tanah air mesti mengatasi kepentingan lain. -Hasyim berjuang menuntut kemerdekaan negara tanpa menghitungkan kepentingan dirinya, isteri, anak, rumah tangga malah tugas sebagai guru.
4. Isteri harus mentaati suami.
-Bibah menjaga suami yang uzur dan tak menyesal hidup bersama dengan Hasyim yang miskin.
5. Sentiasa mengingati Allah.
-Bibah sentiasa mengingatkan Hasyim agar sentiasa mengingati Allah dan mengucap syahadat.

25 Oktober 2009

Gaya Bahasa

Gaya bahasa merupakan penggunaan bahasa sama ada corak, atau rupa sesuatu bahasa meliputi kesesuaian penggunaan perkataan,frasa dan ayat dalam situasi tertentu. Tujuannya untuk mengindahkan pengucapan, memberi kepadatan makna, menimbulkan kesan emosi, menampakkan kesan visual dan mewujudkan imej keseluruhan yang impresif terhadap pembaca.

1. Anafora-pengulangan kata pada awal baris.
Contohnya,Tiap estet menghimpunkan susu getah,Tiap lombong melonggokkan bijih,Tiap bank nyaman menghitung untung
2. Epifora-pengulangan perkataan pada akhir baris.
Contohnya, Fajar hilang ditelan enjin dan sibuk kota,Tawaku kemarau didada kota.
3. Diksi-pilihan kata yang bersesuaian dengan makna dan dapat mempertingkatkan keberkesanan dengan gagasan yang disampaikan.
4. Hiperbola-kiasan yang digunakan dalam menyatakan sesuatu tidak secara tepat tetapi berlebihan-lebihan.
Contohnya,Darah mengalir menganak sungai,Marahnya menyala-nyala.
5. Hybrid-penggabungan dua patah perkataan.Contohnya,mimpiwangi,ajuksenja.
6. Inversi-membalikkan kata iaitu urutan kata yang menyimpang daripada kebiasaan supaya menjadi baris yang lebih menarik dan menghasilkan kesan tertentu. Contohnya,Terasa sekali dingin angin =Angin terasa dingin sekali.
7. Metafora-perkataan kata yang menerbitkan makna yang lain daripada makna lain.Sesuatu objek diberikan sifat secara kiasan.Pada kebiasaannya mengandungi 2 patah perkataan yang bersifat konkrik dan abstrak.Contohnya,Jentera ingatan,gunung harapan,pantai kasih
? Personifikasi- gaya bahasa perbandingan yang digunakan untuk memberikan sifat manusia kepada benda,haiwan dan tumbuhan (gaya pengorangan).Contohnya,Daun nyiur melambai –lambai, Mentari tersenyum riang.
8. Simbolik-juga dikenali sebagai perlambangan. Melukiskan sesuatu dengan mempergunakan benda lain sebagai lambang. Bertujuan memindahkan sifat seseorang atau sesuatu kepada yang lain.Contohnya,’Merpati’ melambangkan ‘kebebasan’ dan ‘Gunung’ melambangkan ‘cita-cita.’
9. Simile- gaya bahasa perbandingan yang digunakan untuk membandingkan sesuatu yg lain dengan menggunakan kata-kata perbandingan iaitu umpama,bak,bagai,macam,laksana. Contohnya, badannya kurus seperti lidi.
10. Sinkop-pemendekan @ penyingkatan sesuatu kata.
Contohnya,hendak = nak, sahaja = saja, engkau = kau.
11. Kata ganda- kata yang digandakan seperti rumah-rumah, bukit-bukau, warna-warni, daun-daun.

23 Oktober 2009

Sajak Sebagai Puisi Moden

MENURUT Za’aba, puisi adalah karangan berangkap. Katanya, puisi tidak memakai perenggan seperti prosa. Rangkap puisi lama (puisi konvensional) terdiri daripada baris tetap dan seimbang. Manakala puisi moden (sajak) ternyata sudah melanggar ciri konvensional seperti mana yang terdapat pada pantun ataupun syair.

Sajak zaman awal masih mengekalkan sebahagian besar ciri puisi yang konvensional itu tetapi lama kelamaan sajak menjadi semakin bebas sehingga akhirnya lahir apa yang dinamakan sajak eksperimen (merujuk kepada sajak-sajak 3V (yang dipelopori oleh A. Ghafar Ibrahim), sajak suku kata, dan sajak konkrit). Walaupun sajak eksperimen sukar mendapat tempat di media massa, kemunculannya tetap mewarnai peta puisi tanah air.

Apa itu puisi / sajak? Soalan pendek ini tidak pernah mendapat jawapan yang pasti. Ada bermacam-macam tanggapan orang terhadap sajak itu sendiri. Menurut H.B. Jassin, "sajak adalah pengucapan dengan perasaan yang di dalamnya mengandungi fikiran dan tanggapan". Maksudnya, sajak adalah suara hati penyairnya. Sajak lahir daripada jiwa dan perasaan tetapi sajak yang baik bukan mainan kata semata-mata. Sajak yang baik membawa gagasan serta pemikiran yang dapat menjadi renungan masyarakat.

Kata Muhammad Haji Salleh pula, "sajak adalah bentuk sastera yang kental dengan muzik bahasa serta kebijaksanaan penyair dan tradisinya". Ini menjelaskan bahawa bahasa sajak itu indah dan merdu (apabila dideklamasikan). Seperti H.B. Jassin, Muhammad Haji Salleh tetap mempertahankan bahawa sajak yang baik adalah sajak yang indah bahasanya dan dapat memancarkan kebijaksanaan (tidak kosong atau bombastik).

Baha Zain pula menegaskan bahawa "sajak tidak berbicara segalanya dan tidak kepada semua." Maknanya, penyair (sebagai manusia yang sensitif) hanya akan menangkap sebahagian daripada fragmen kehidupan manusia ke atas kertas (menjadi sajak). Sajak pula tentunya tidak diminati semua orang atau lebih tepat lagi tidak difahami semua orang. Inilah yang dimaksudkan oleh Baha Zain dengan ungkapan sajak ditulis (dicipta) tidak kepada semua (orang). Malah, apabila kita mentafsir sesebuah sajak, kita mempunyai kebebasan sepenuhnya untuk mentafsir sajak itu mengikut kefahaman kita sendiri (asalkan ada logik sasteranya). Ini sesuai pula dengan sifat bahasa sajak itu sendiri yang konotatif dan ambiguiti.

"Kata-kata terbaik dalam susunan yang terbaik" merupakan definisi sajak yang cukup popular. Ini adalah tanggapan Samuel Taylor Coleridge. Proses penting dalam penciptaan sajak adalah diksi (pemilihan kata). Daripada sejumlah kata yang banyak (kaya) itu, penyair hanya memilih yang terbaik (yang paling tepat dan cantik untuk mewakili perasaannya). Misalnya seorang penyair harus memilih sama ada untuk menggunakan perkataan angin, bayu, ribut, atau taufan. Konsep waktu dapat dipadankan dengan sejumlah kata lain seperti musim, ketika, detik, masa, tahun, dekad, kurun, abad, dan sebagainya. Penyair juga memilih sama ada hendak menggunakan perkataan nelayan atau warga laut, atau samudera atau segara. Inilah kekayaan bahasa yang perlu dijaring dengan teliti oleh penyair. Kata yang terbaik (terpilih) itu tidak akan berfungsi sekiranya tidak disusun dengan baik pula. Di sinilah letaknya taraf kepenyairan seseorang penulis. Susunan terbaik inilah sebenarnya yang melahirkan keindahan pada bahasa sajak itu. Perhatikan kalimat-kalimat puitis ini:

dan batu yang bijak itu tetap diam, kerana semakin tahu
rindu yang menajamkan deras hujan
di sini hanya ada kau, aku, dan Tuhan. Selebihnya ialah
kenangan
menyisir hutan yang tersembunyi
embun mengunjungi daun-daun
seberkas cahaya yang terpulas
temali kapal bersiutan gementar
malam yang kehilangan kaki langit
dunia adalah sebuah syurga yang hilang
langit berbaju kusam
hanyalah senoktah karang di batas pandang
belayar tanpa pantai
sampai di wilayah malam, sempadan kelam

Kalau kita perhatikan secara mendalam, makna susunan terbaik (seperti yang dinyatakan oleh Samuel Taylor Coleridge), membawa maksud mengutarakan isi yang baik (ada falsafah dan pemikirannya). Hanya dengan susunan kalimat yang terbaik, kita akan mendapat saranan/mesej/amanat yang terbaik.

Kesimpulannya H.B. Jassin, Muhammad Haji Salleh, Baha Zain dan Samuel Taylor Coleridge mempunyai sikap yang sama dalam menanggapi makna sajak. Mereka tetap mempertahankan bahawa sajak yang baik ialah sajak yang indah bahasanya dan sarat pula pemikirannya (falsafahnya).

Selain definisi puisi di atas, terdapat lagi beberapa tanggapan tentang sajak. Antaranya:
(a) William Woodworth: "Puisi adalah pernyataan perasaan yang imaginatif".
(cool.gif Dunton: "Puisi sebenarnya pemikiran manusia secara konkrit dan artistik dalam bahasa yang emosional dan berirama".
© Mathew Arnold: "Puisi adalah kritikan terhadap kehidupan di bawah peraturan yang teguh, iaitu kebenaran puitis dan keindahan puitis".
(d) Barbette Deutsh: "Puisi adalah seni yang menggunakan pengucapan dan lagu untuk menyingkap kenyataan yang dirakam oleh deria manusia, yang dihormati oleh perasaan, yang ditanggapi oleh akal, dan disusun oleh imaginasi yang membentuk".
(e) Robert Frost: "Puisi adalah satu persembahan dalam bentuk perkataan".

Dalam pada itu, Robert C. Pooley seperti mengingatkan bahawa "orang yang menutup telinga terhadap sajak akan terpencil daripada satu wilayah yang penuh harta kekayaan berupa pengertian tentang manusia". Itulah hakikat sajak.

Tanggapan di atas lebih merupakan tanggapan "orang luar" terhadap sajak. Bagaimana pula tanggapan penyair sendiri terhadap sajak?

Bagi Subagio Sastrowardoyo, sajak adalah suara di bawah sedar. Yang muncul di bawah sedar katanya mungkin sesuatu yang memalukan diri seolah-olah kita berdiri telanjang bulat di muka umum (orang ramai).

Abdul Hadi W.M. pula menjelaskan bahawa sajak ditulis untuk mencari kebenaran. Katanya lagi, "dalam sajak terdapat tanggapan terhadap hidup secara batiniah". Oleh itu bagi beliau, di dalam sajak harus ada gagasan dan keyakinan penyair terhadap kehidupan, atau lebih tepat lagi, nilai kemanusiaan.

Gerson Poyk pula mengatakan bahawa dunia ini sebenarnya absurd sehingga manusia tidak dapat mengerti akan dunia ini sepenuhnya dan tugas penyair tentunya berusaha menggali rahsia hidup yang penuh misteri ke dalam bait puisi (sajak) mereka.

Bagi Sitor Situmorang, "penyair tidak membuat (menulis) sesuatu daripada yang tiada. Sajak adalah jadi-jadian, lewat kemampuan menggunakan faktor budaya yang dicerap, dimiliki, dan dibina semula oleh penyair tersebut".

Saini KM pula menanggapi sajak (proses kreatif penulisan sajak itu) kira-kira begini:

sebelum tintamu menjadi darah
kata-kata akan tetap tinggal bunyi;
kebisingan lain di tengah-tengah hingar-bingar dunia

Itulah sajak – sekelompok warna kata dalam misteri makna. Tugas penyair hanya menulis. Tugas pengkritik adalah membedah sajak itu dengan pisau ilmunya dan tugas anda (sebagai calon peperiksaan) adalah memberi apa-apa yang diminta, bukan menghulur apa-apa yang ada (tahu). Banyak calon gagal menjawab dengan baik kerana mereka tidak menjawab seperti kehendak soalan tetapi menuangkan segalanya yang mereka tahu.

Kalau kita tanya sekali lagi, APA ITU SAJAK?, anda tentu sudah ada beberapa jawapan untuk soalan ini tetapi marilah kita padankan soalan ini dengan dua baris sajak Toto Sudarto Bachtiar ini, yang berbunyi:
terlalu hampir tetapi terlalu sepi
tertangkap sekali terlepas kembali

Itulah puisi (sajak) sebenarnya!

Jenis Watak dalam Karya

Dalam sesebuah novel, banyak watak yang dipaparkan oleh pengarang. Watak-watak tersebut berperanan untuk menghidupkan dan mengembangkan cerita. Pada umumnya, terdapat dua jenis watak yang diketengahkan dalam novel, iaitu watak utama dan watak sampingan. Watak utama dan watak sampingan itu pula boleh dikelaskan kepada beberapa jenis, berdasarkan peranan yang dimainkan oleh watak-watak tersebut dalam cerita.

1. Watak Utama

Watak utama ialah watak yang memainkan peranan utama dalam cerita. Dalam sesebuah cerita, pengarang banyak menumpukan penceritaannya terhadap watak utama kerana watak inilah menjadi fokus dalam cerita dan menjadi penggerak utama cerita.

Watak utama biasanya diberi peranan oleh pengarang sebagai watak protagonis atau antagonis.

Watak Protagonis

Watak utama yang menonjolkan sifat-sifat baik. Biasanya watak ini menggerakan cerita ke arah keadaan yang positif. Contohnya, watak Rimpa dalam Novel Terminal Tiga.

Watak antagonis

Watak utama yang sering menimbulkan konflik dan menentang watak protagonis. Contohnya, watak Pak Soh dalam Novel Mereka Yang Tertewas.

Watak bulat/bundar

Watak utama yang dibangunkan secara keseluruhannya. Dia digambarkan memiliki sifat manusia biasa dalam kehidupan harian, iaitu tidak sepenuhnya jahat dan tidak pula sepenuhnya baik. Sifat-sifat yang dimilikinya berubah-ubah dan tidak dapat diramal oleh pembaca.

Kadangkala pembaca akan terperanjat dengan tindakan yang tidak disangka-sangka, dilakukan oleh watak berkenaan. Misalnya, watak A, digambarkan baik atau sebaliknya (jahat) pada peringkat awal cerita. Tetapi, tanpa diduga oleh pembaca tindakan watak tersebut berubah. Misalnya, watak Rimpa dalam Novel Terminal Tiga.

Watak Dinamik

Watak dinamik sinonim dengan watak bulat. Tingkah lakunya boleh berubah-ubah sama ada dalam situasi yang kurang baik kepada yang lebih baik atau sebaliknya. Watak ini degambarkan penuh bertenaga dan biasanya mengalami perubahan mengikut perkembangan cerita. Contohnya, watak Rimpa dalam Novel Terminal Tiga.

Watak Pipih

Watak yang tidak dibangunkan secara keseluruhannya sebagaimana watak bulat. Watak ini diperkenalkan oleh pengarang melalui sesuatu aspek peribadinya sahaja. Misalnya, kalau seseorang watak itu diberi peranan jahat, kita hanya berhadapan dengan tindak-tanduknya yang negatif sahaja di sepanjang cerita.

Jelasnya, Pembaca tidak lagi terkejut dengan tindak-tanduk watak tersebut kerana pembaca telah dapat mengagak sebarang kemungkinan yang akan dilakukannya berdasarkan sifat peribadi yang dimilikinya. Biasanya, terdapat dua kategori watak pipih yang dipaparkan oleh pengarang cerita, iaitu:

a. Watak pipih yang berpihak kepada protagonis.

Contohnya, Watak Jemilah, Pudin, Mat Yassin dan Uda Puat dalam Novel Mereka Yang Tertewas, berpihak kepada Lebai Pa.

b. Watak pipih yang berpihak kepada antagonis.

Watak-watak ini cenderung berpihak kepada antagonis. Contohnya, Watak Khatijah dan Kidam dalam Novel Mereka Yang Tertewas, berpihak kepada Pak Soh.

Watak Statik

Watak yang tidak mengalami sebarang perubahan mengikut arus perkembangan cerita. Ia digambarkan terus dengan pendiriannya atau tingkah laku yang ditonjolkannya dari awal hingga akhir cerita. Contohnya, Watak Mat Yassin dalam Mereka Yang Tertewas.

2. Watak Sampingan

Watak-watak pembantu yang ditimbulkan oleh pengarang dalam cerita untuk menyokong tindak-tanduk watak utama. Watak-watak ini diwujudkan sebagai pelengkap cerita. Watak ini kadangkala bergerak seiring dengan watak utama dalam cerita.

Nota Cerpen Binatang 14 Lalavang

Nota Cerpen Binatang 14 Lalavang

22 Oktober 2009

Perlunya Mata Pelajaran Kesusasteraan Melayu

Mata pelajaran Kesusasteraan Melayu telah diperkenalkan sejak tahun 1957. Matlamatnya untuk membolehkan pelajar atau rakyat Malaysia khususnya menjiwai unsur dan nilai murni dari segi kerohanian, kemanusiaan, kemasyarakatan, kebudayaan, kewarganegaraan, menanam perasaan bangga dan cinta akan tanah air dalam satu wawasan budaya kebangsaan yang dihasratkan tercapai. Dengan adanya pendidikan Kesusasteraan Melayu dapat mencerminkan masyarakat kesenian yang kreatif, mampu mengkaji keindahan karya sastera dan menguasai kemahiran berbahasa bahasa Melayu.

Peranan sastera terutamanya sastera Melayu dapat membina insaniah dalam kehidupan manusia. Hal ini amat bertepatan dengan konsep membina ‘modal insan’ yang diharap-harapkan oleh pemimpin negara. Kita tidak mahu melahirkan satu bangsa seperti robot yang tidak mempunyai nilai-nilai kemanusiaan ketika bertindak atau mengambil keputusan. Apa yang kita boleh lihat sekarang, ramai bijak pandai dalam bidang sains dan teknologi tetapi sayang mereka gagal dalam usaha melahirkan pemimpin yang bermoral, berjati diri dan mempunyai nilai-nilai kemanusiaan. Pemimpin yang tidak berjiwa seperti di atas, merupakan manusia yang hilang pertimbangan ketika bertindak. Akibat daripada itu, masalah rasuah, keruntuhan moral sehingga membawa kepada kemusnahan alam dan manyusahkan masyarakat. Justeru mengembalikan nilai sejagat yang bersifat kemanusiaan sebenarnya terkandung dalam sastera.
Di peringkat sekolah Kesusasteran Melayu memainkan peranan sebagi satu cabang ilmu dan senjata yang dapat meresapi dan berkembang dalam pelbagai disiplin ilmu sejajar dengan konsep bahasa merentas kurikulum. Sementara itu di peringkat pengajian tinggi pelajar didedahkan dengan teknik penulisan ilmiah, rencana dan penulisan kreatif dan pelajar juga diberikan pengetahuan tentang dunia penerbitan dan penyiaran selaras dengan matlamat pembudayaan bahasa Melayu melalui sistem pendidikan.

Selain itu, sastera juga berperanan dalam usaha pengayaan khazanh ilmu dan persuratan bahasa Melayu wajar dipertingkatkan kepada semua peringkat usia pembelajaran dan pengajarn. Dengan cara ini, proses pembentukan jati diri dan cinta akan khazanah negara dapat diatur, dilentur, dibentuk dengan sebaik-baik mungkin. Proses pengayaan ini merupakan proses yang berterusan dan menjadi agenda utama dasar pentadbiran negara.

Shahnon Ahmad (1997: 25) menyatakan bahawa kesusasteraan berperanan sebagai satu cabang kesenian yang berteraskan cinta. Cinta di sini maksudnya cinta kepada keindahan dan cinta kepada kebenaran. Karya kesusasteraan dicipta oleh para sasterawan untuk membangunkan peribadi manusia supaya cinta akan keindahan dan cinta akan kebenaran. A. Samad Said (1997: 35) pula menyatakan bahawa peranan sastera sebagai rakman dan renungan interaksi insan seni dengan masyarakat dan masalah mereka. Setiap karya yang tercipta, sedikit sebanyak mendekatkan insan seni itu kepada sebahagian kecil cakerawala Tuhan yang luas, di samping menggarapkannya dengan sesam makhluk yang sama-sama mencari dan sama-sama menikmati dan sama-sama terhukum oleh getir-getar kehidupan. Oleh latar dan pengaruh itu, sastera mestilah berkhasiat untuk batiniah dan minda manusia. Manakala Usman Awang (1997: 41) menjelaskan bahawa peranan sastera meliputi semua aspek kehidupan manusia secara luas. Tiada sesiapapun yang boleh mendakwa bahawa dia mempunyai monopoli terhadap budaya Malaysia. Budaya bersama kita hanya akan lahir daripada penghidupan bersama semua rakyat bukan contoh angkuh daripada sebilangan kecil golongan kaya dan istimewa.

Soalan Percubaan SPM Kesusasteraan Melayu 2009 Negeri Sembilan

Soalan SPM Percubaan Kesusasteraan Melayu N.Sembilan 2009

Membasmi Wabak Buta Sastera

Tulisan ini saya petik daripada pandangan yang diutarakan oleh seorang pensyarah, Mohamad Saleeh Rahamad. Beliau ialah pensyarah di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya.

Bagi beliau, suatu hakikat yang terpaksa diterima oleh pejuang sastera Melayu sekarang ialah semakin pudarnya kecintaan masyarakat terhadap sastera Melayu. Jika ada pun layanan dan sambutan rasmi terhadap sastera Melayu, sama ada oleh ahli politik mahupun oleh agensi kerajaan melalui kementerian tertentu dalam pelaksanaan dasarnya, bukan semuanya dilakukan dengan penuh iltizam dan ikhlas. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa sebilangan besar pemimpin politik Melayu berdepan dengan masalah tunasastera (buta sastera) sehingga gagal untuk melihat hubungan martabat bangsa dengan hasil cipta sastera bangsanya.
Penyakit itu mengakibatkan mereka hanya menunjukkan kecintaan kepada sastera Melayu (sastera Inggeris lain halnya kerana dianggap sebagai lambang prestij!) apabila pemimpin tertinggi negara menunjukkan minat terhadap sastera dalam majlis rasmi, dan bersuara mendeklamasikan sajak, sekurang-kurangnya. Ketika Perdana Menteri membaca sajak dalam majlis tertentu, akan ramailah juak politikus atau tokoh korporat Melayu yang turut menunjukkan bakat kesasterawanannya, tetapi jika mereka diminta membantu usaha melestarikan sastera Melayu dalam program yang lain, sukar sekali sokongan material mahupun moral daripada mereka dapat diraih. Inilah penyakit personaliti pemimpin yang tunasastera. Untuk mengangkat kedudukan sastera Melayu dalam sistem pendidikan dan program pembinaan sahsiah bukanlah satu usaha yang mudah jika tidak dibantu oleh political will yang ampuh.
Semuanya memerlukan paksaan, misalnya melalui Kementerian Pelajaran yang memasukkan Komponen Sastera dalam subjek Bahasa Melayu di sekolah dan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), walaupun dalam slot yang terbatas. Jika tiada daya usaha menteri yang berpengaruh, usaha memartabatkan sastera Melayu di sekolah tidak mungkin berlaku kerana masing-masing pihak yang setia memegang ‘kuasa’ tidak berani untuk membuka langkah mendahului ketuanya demi mengangkat sastera Melayu. Dari segi ini sememangnya daya usaha Datuk Seri Najib Tun Razak menerima pakai saranan pejuang bahasa dan sastera Melayu untuk mewajibkan sastera disusupkan ke dalam subjek Bahasa Melayu dan ke dalam jadual PLKN wajar disanjung tinggi.
Tanpa ketegasan seperti itu, sastera Melayu akan kontang khalayak dalam masa yang singkat. Ini dapat dilihat dalam konteks yang terdekat apabila sekolah-sekolah menengah di seluruh negara sangat langka dalam menyediakan kelas yang menawarkan subjek elektif Kesusasteraan Melayu. Bagi sebahagian besar guru, termasuk pengetuanya, kelas sastera terletak di bahagian corot, tidak berseri, dan tidak mendatangkan kemuliaan pada sekolahnya, malah menghinakan. Ini satu lagi sindrom penyakit tunasastera.
Kekontangan
Namun demikian, menyalahkan para pemimpin besar pun bukanlah satu tindakan yang dapat menyelesaikan masalah kekontangan khalayak sastera Melayu. Para penulis sendiri seharusnya melakukan introspeksi diri sama ada mereka sudah berjaya atau belum dalam meyakinkan khalayak tentang pentingnya hasil cipta sastera mereka diberi nilaian yang tinggi. Amat tidak wajar juga sekiranya kita bersungguh-sungguh memaksa khalayak membeli produk kita sedangkan mutunya rendah atau tidak menepati selera khalayak yang berlainan cita rasanya. Dalam hubungan ini ada dua hal yang memerlukan muhasabah semula: pertama, mutu karya pengarang Melayu mutakhir tidak bagus; kedua, sastera (berbahasa) Melayu sangat bersifat Melayu sentrik sehingga menjauhkan khalayak bukan Melayu. Dalam perkembangan mutakhir, memanglah telah ramai penulis novel menjadi kaya raya melalui penulisan, khususnya novel berunsur cinta, tetapi itu cuma satu fenomena sementara.
Banyak faktor yang menentukan keadaan itu, seperti semakin berkembangnya khalayak sastera berselera rendah, dan akibat daripada persekitaran sosial yang sedang membina masyarakat kurang berfikir melalui peralatan kapitalis (capitalist apparatuses) yang semakin rakus melebarkan jaringan mangsanya. Tetapi dari segi lain, tanpa memperhitungkan jumlah jualan sebagai kayu ukur penentu sastera bermutu, terpaksa juga diterima hakikat bahawa penulis mutakhir gagal melahirkan karya yang bermutu.
Hingga kini kita masih bergantung pada penulis mapan seperti Shahnon Ahmad, A. Samad Said, Anwar Ridhwan dan Arena Wati dalam menyediakan wacana kreatif yang memukau. Kecuali segelintir nama penulis muda dalam bidang puisi dan cerpen, seperti Faisal Tehrani, S. M. Zakir, dan Zainal Rashid Ahmad, kemunculan penulis novel yang berbakat besar belum kelihatan di Malaysia. Sebagai bukti, Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 2000-2001 tidak memperakukan sebarang novel untuk diberi hadiah, manakala pada tahun 2002-2003 karya Shahnon Ahmad sekali lagi terpilih. Sejak awal tahun 1970-an, Shahnon sudah memegang teraju pemenang dalam Hadiah Karya Sastera melalui novel Srengenge dan sehingga awal abad ke-21, dia masih diakui mempunyai bisa. Dalam pengalaman menghakimi karya sastera sama ada melalui sayembara mahupun melalui penilaian terhadap karya-karya yang sudah terbit, sebenarnya sukar sekali untuk mendapatkan karya yang benar-benar kuat, terutama daripada penulis generasi baharu. Malahan daripada penulis yang sudah veteran sekalipun, karyanya tidak lagi bermaya atau sudah ketinggalan zaman.
Biarpun ada percubaan untuk meneroka teknik baharu dan aliran pascamoden yang filosifikal dan provokatif, kesannya tidak mampu memenuhi nilaitara sebuah karya yang ‘besar’. Memang benar, soal karya ‘besar’ adalah subjektif, tetapi setidak-tidaknya keputusan dan penemuan secara kolektif dapat dipertanggungjawabkan untuk mempertahankan dakwaan ini. Ada ketikanya usaha mencari karya yang benar-benar kuat dalam proses penghakiman ibarat mencari semut hitam di atas batu hitam pada malam yang tidak berbintang! Jadi, jangan dipersalahkan khalayak jika karya sastera Melayu tidak dibanggai dan dihormati oleh khalayak. Dalam persoalan yang kedua, sastera Melayu dikatakan sangat kuat sifat Melayu sentriknya, dan ini merenggangkan hubungannya dengan khalayak bukan Melayu.
Kecuali beberapa penggemar sastera (yang mungkin berpura-pura memberikan kenyataan positif), ada kajian empirikal yang menemukan dapatan bahawa persepsi khalayak bukan Melayu terhadap sastera Melayu adalah negatif. Mereka tidak dapat menerima karya yang bersifat Melayu sentrik kerana mereka juga mempunyai perasaan dan persepsi tersendiri. Paksaan hanya menimbulkan masalah yang lebih besar. Misalnya, apabila novel Mereka Yang Tertewas terpilih sebagai teks sastera SPM, pelajar bukan Islam tidak dapat menerimanya kerana novel itu jelas bersifat Islam sentrik.
Akur
Mahu atau tidak, kita terpaksa akur bahawa masyarakat Malaysia berbilang etnik dan kepercayaan. Demikian juga halnya dengan ketetapan ciri Dasar Kesusasteraan Nasional, satu idea yang konsensus dan selari dengan dasar-dasar lain yang termaktub dalam Perlembagaan yang sangat diperlukan sekarang. Meskipun begitu, penerimaan atau sekurang-kurangnya suara golongan bukan Melayu, khususnya etnik marginal, perlu diambil kira supaya ketetapan itu nanti dapat berfungsi dengan lancar demi natijah akhirnya mewujudkan perpaduan dan membina sebuah negara bangsa.
Masalah ini adalah besar dan perlu dilihat semula lebih-lebih lagi apabila satu dasar tentang kesusasteraan nasional hendak dibina secara rasmi. Suara golongan marginal (etnik lain dan comprador) sudah lama kedengaran tentang perlunya Kesusasteraan Nasional turut menerima karya sastera dalam bahasa etnik, seperti misalnya yang tercetus dalam Persidangan Penulis-penulis Malaya di Singapura pada 1962. Ketika itu perwakilan penulis Cina dan Tamil berpendapat bahawa sastera Malaya yang menggambarkan kehidupan masyarakat Malaya dan ditulis dalam bahasa yang digunakan di Malaya wajar diterima sebagai ‘Sastera Malaya’, istilah pada waktu itu yang sama dengan Kesusasteraan nasional yang kita bincangkan sekarang.
Dalam Kongres Kebudayaan Kebangsaan di Universiti Malaya pada 16-20 Ogos 1971, Lloyd Fernando menerima bahasa Malaysia sebagai ukuran bagi menentukan kesusasteraan kebangsaan. Begitu juga pendapat Mohd. Taib Osman, Syed Mohamed Naquib al-Attas dan Ismail Hussein. Tetapi hingga sekarang konsep Kesusasteraan Nasional masih kekal sebagai gagasan semata-mata. Ia belum menjadi konkrit sebagai dasar yang termaktub dalam Perlembagaan. Tentunya semakin lama semakin banyak timbul pandangan daripada pelbagai kaum yang jika tidak diambil ketetapan sebagai satu dasar akan merumitkan usaha memartabatkan kesusasteraan kita. Kita mahu satu dasar yang kukuh dan mampu menjana perkembangan sastera nasional sehingga membuahkan natijah positif di peringkat tempatan mahupun antarabangsa. Dengan wujudnya satu kesepakatan, ruang sastera nasional untuk bergerak dan berkembang akan lebih besar.

Glosari Sastera Siri 1

Aliterasi
Pengulangan bunyi konsonan yang sama dalam baris-baris puisi; biasanya pada awal kata/perkataan yang berurutan. Contohnya, petikan daripada puisi "Kurenungi" karya Jihaty Abadi: 'kurenungi kemurnian kehidupan'. Dalam baris ini terdapat pengulangan bunyi konsonan k pada setiap awal perkataan. Pengulangan seperti itu menimbulkan kesan keindahan bunyi.

Alusi
Satu ragam atau jenis gaya bahasa perbandingan yang rnerujuk secara tidak Iangsung kepada sesuatu peristiwa, tokoh-tokoh atau karya sastera yang terkenal. Contohnya, petikan daripada puisi "Perarakan Suku Abad" karya Zurinah Hassan: 'Wan Empok dan Wan Malini'. Dalam contoh ini terlihat perbandingan kemewahan dan kemakmuran yang merujuk kepada kemewahan Wan Empok dan Wan Malini, tokoh metos dalam Sejarah Melayu, karya sastera yang terkenal itu.

Ambiguiti
Makna kata/perkataan atau ungkapan dalarn puisi yang mernpunyai pelbagai kemungkinan tafsiran, iaitu lebih daripada satu makna atau tafsiran. Dengan demikian, ambiguiti disebut juga ketaksaan. Puisi yang seperti ini memang agak sukar untuk diselami maknanya secara tepat atau jelas tetapi dianggap sebagai puisi yang kuat dan segi isi atau pemikirannya.

Anafora
Satu ragam atau jenis gaya bahasa pengulangan, iaitu kedudukan pengulangan satu kata/perkataan atau lebih pada awal baris-baris puisi. Contohnya, petikan daripada puisi "Kurnia" karya Shamsuddin Jaafar:
adalah kerinduan
adalah harapan
adalah keriangan

Dalam contoh tersebut, terdapat pengulangan perkataan 'adalah' pada awal setiap baris. Pengulangan ini menimbulkan kesan keindahan bunyi dan bertujuan untuk menguatkan pernyataan maksud.

Asonansi
Pengulangan bunyi vokal yang sama pada kata/perkataan yang berurutan dalam baris-baris puisi. Contohnya, petikan daripada puisi "Keindahan yang Hilang" karya Shamsuddin Jaafar: 'terbang beriring di rembang petang'. Dalam baris-baris, terdapat pengulangan bunyi vokal e pada setiap perkataan. Pengulangan begini menimbulkan kesan kehalusan, kelembutan, kemerduan atau keindahan bunyi.

Bahasa Denotatif
Bahasa yang mempunyai makna jelas, tepat atau khusus seperti dalam kamus. Jadi, bahasa demikian hanya memberikan makna yang tersurat, iaitu apa yang ditulis atau disebut maka itulah maknanya. Contohnya: 'seorang ayah dan suami' daripada puisi 'Bila Berjauhan' karya A. Wahab Ali.