Makluman : Sukatan Baru Kesusasteraan Melayu SPM

Mulai 2015, satu novel dipelajari iaitu Naratif Ogonshoto karya Dato' Anwar Ridhwan. Satu antologi teks moden (sajak, cerpen dan drama) ialah Kubentang Sebuah Peta. Teks karya tradisional pula ialah Nilai Insan.

30 Disember 2009

Soalan Cerpen SPM Kesusasteraan Melayu 2009

Soalan Esei Bahagian C 2008 ialah soalan berdasarkan cerpen Malam Terakhir. Peruntukan markah ialah 20 markah.
Soalan adalah seperti berikut :

a) Jelaskan dua teknik penceritaan yang digunakan oleh pengarang dalam petikan di atas. (4 markah)
b) Huraikan empat latar masa cerpen tersebut. (8 markah)
c) Jelaskan empat perwatakan Hasyim dalam cerpen ini. (8 markah)

Saya akan cuba membincangkan cara menjawab soalan tersebut.
Bagi soalan a) , calon perlu memahami konsep teknik penceritaan. Seperti biasa, teknik penceritaan yang dipelajari ialah teknik imbas kembali, teknik dialog, teknik monolog, teknik imbas muka, dan teknik pemerian/deskriptif. Tidak banyak iaitu lima sahaja yang perlu difahami oleh pelajar. Teknik pemerian ialah ialah yang paling mudah iaitu apa sahaja yang pengarang tulis untuk menggambarkan keadaan, tingkah laku dan suasana latar. Teknik dialog juga mudah difahami iaitu apabila ada dialog di antara 2 watak. Calon perlu sedar bahawa jika seorang sahaja yang berkata-kata, maka ia ialah monolog. Misalnya, seorang yang bercakap seorang diri di hadapan cermin atau berkata-kata kepada tumbuhan atau haiwan. (mudah saja, ada tanda dialog " " atau ada watak manusia lain yang mendengar. Jika tiada suara, hanya dalam hati/fikiran sahaja, maka itu ialah monolog dalaman. Teknik imbas muka ialah apabila watak membayangkan sesuatu yang belum berlaku atau dijangka berlaku.

Bagaimanapun, dalam petikan cerpen tersebut, hanya 3 teknik yang digunakan.
Contoh jawapan calon yang baik ialah :

Terdapat teknik pemerian dalam petikan cerpen. Contohnya, Bibah menitiskan air matanya, dia tahu apa dalam kepala Hasyim suaminya itu.

Selain itu, terdapat teknik dialog yang digunakan oleh pengarang cerpen. Contohnya, perbualan di antara Bibah dan Hasyim. "Kalaulah semua manusia ini mengirakan periuk nasi macam awak; dunia ini akan dipenuhi dengan kerbau bajak."

Teknik imbas kembali juga terdapat dalam petikan cerpen. Misalnya, watak Bibah terkenangkan peristiwa yang berlaku 11 tahun lalu semasa Hasyim berjuang untuk kemerdekaan tanah air. "Lebih sebelas tahun dahulu, Hasyim telah berjuang dengan rakannya untuk merebut kemerdekaan tanah air."

Cara menjawab di atas sesuai kerana menggabungkan ayat 1 sebagai pernyataan dan ayat 2 sebagai contoh. Satu jawapan tidak digabungkan dalam satu ayat tetapi asingkan ayat 1 dan ayat 2. Hal ini memudahkan guru memberikan markah.

Bagi soalan (b), jika calon menjawab seperti ini :
Terdapat latar masa malam, pagi, petang dan zaman penjajahan Inggeris.

Itu bukan jawapan yang tepat. Ini soalan esei. Maka, calon harus faham bahawa setiap isi jawapan mesti ada bukti atau contoh. Sebaik-baiknya, jawab dalam 2 ayat iaitu ayat pernyataan dan ayat menunjukkan contoh.
Misalnya,
Salah satu latar masa cerpen ialah waktu malam. Peristiwa yang berlaku ialah Hasyim mendengar radio tentang pengumuman kemerdekaan pada jam 12 malam.

Bagi Soalan (c), calon perlu membincangkan perwatakan bukannya watak. Jika calon menjawab tentang kerjanya sebagai guru atau peranan sebagai suami, maka tiada markah akan diberikan.
Perwatakan haruslah melibatkan perwatakan seperti seorang yang tegas, seorang yang berani, seorang yang mengabaikan keluarga dan kerja, seorang yang ikhlas, atau seorang yang cintakan tanah air. Awas, calon jangan suka menjawab dengan menggunakan kata tidak atau bukan bagi soalan perwatakan. Misalnya, seorang yang bukan penakut, seorang yang tidak mementingkan kerjaya, atau seorang yang tidak penyayang. Mungkin maksudnya hampir sama, tetapi sebenarnya, itu menunjukkan calon tidak tahu kosa kata yang tepat untuk menggambarkan perwatakan watak Hasyim.

Satu contoh yang baik ialah :
Hasyim ialah seorang yang berani. Beliau berani berjuang menentang penjajahan Inggeris bersama rakan-rakannya.

Selain itu, Hasyim juga seorang yang cintakan tanah air. Beliau amat cintakan tanah air dan berusaha mendapatkan kemerdekaan tanah air.