Makluman : Sukatan Baru Kesusasteraan Melayu SPM

Mulai 2015, satu novel dipelajari iaitu Naratif Ogonshoto karya Dato' Anwar Ridhwan. Satu antologi teks moden (sajak, cerpen dan drama) ialah Kubentang Sebuah Peta. Teks karya tradisional pula ialah Nilai Insan.

22 Januari 2010

Nada Sajak

Sering kali, pelajar beranggapan bahawa terdapat beberapa nada dalam sesebuah sajak. Misalnya, nada romantis pada rangkap pertama dan nada sinis pada rangkap kedua. Anggapan ini kurang tepat. Hal ini kerana hanya ada satu nada sahaja bagi sebuah sajak.

Terdapat lima nada sajak. Nada patriotik, nada melankolik, nada sinis, nada romantis, nada protes. Nada patriotik ialah nada yang paling mudah dikenal pasti oleh pelajar. Mudah sahaja, kerana penyajak menggunakan idea dan perasaan yang mencintai negara, menentang penjajahan atau menggambarkan kasih bangganya kepada kemajuan negara.

Nada sinis juga boleh dikenal apabila penyajak menyindir manusia atau mana-mana pihak dalam sesuatu isu tertentu. Jelasnya, penyajak berasa kurang puas hati terhadap mana-mana pihak tetapi tidak menggambarkan kemarahannya. Sebaliknya, unsur sindiran yang digunakan.

Nada protes pula dapat dikenal sekiranya penyajak marah dan menggunakan kata-kata yang menggambarkan rasa geram terhadap sesuatu isu atau pihak.

Nada melankolik jarang ditemui kini kerana penyajak akan meluahkan rasa sedih, pilu dan hiba dalam seluruh sajak. Biasanya, berkaitan dengan isu kehilangan orang tersayang atau kecewa dalam percintaan.

Nada romantis merupakan nada yang paling lazim kerana nada ini terdapat dalam kebanyakan sajak iaitu sajak-sajak berkaitan kehidupan harian, kisah silam atau pengamatan penyajak terhadap alam atau manusia. Oleh sebab itu, nada sajak romantis kurang ditanya dalam peperiksaan.

20 Januari 2010

Soalan Esei Sajak SPM 2009

Soalan esei sajak 2009 agak mengejutkan kerana tidak mengemukakan seluruh sajak tetapi hanya satu bahagian tertentu daripada sajak Pasir Salak karya Firdaus Abdullah.

Soalan yang ditanya ialah nada sajak (2 markah) , nilai kemanusiaan (8 markah) , maksud bahasa pengulangan dan tujuannya dalam sajak (4 markah) dan 3 contoh bahasa pengulangan. (6 markah).

Bagi soalan nada sajak, semestinya nada sajak ialah ialah nada patriotik. Kenapa? Sebab penyajak menyuarakan perasaan cinta kepada tanah air dan semangat menentang penjajah. Calon hanya perlu menjawab begini :
Nada sajak ialah nada patriotik. Hal ini kerana penyajak mencintai tanah air dan menyatakan rasa benci kepada penjajah dan menentang penjajah Inggeris.

Nilai kemanusiaan pula memerlukan calon memberi nilai yang terdapat dalam petikan serta contoh baris yang mengandungi nilai yang dinyatakan. Misalnya :
Salah satu nilai kemanusiaan dalam sajak ialah nilai keberanian. Contohnya, langkah pahlawan tak kenal gentar.
Selain itu, terdapat nilai bersemangat. Contohnya, korbankan semangat biar menyala.
Nilai berjuang menuntut kemerdekaan turut dikemukakan dalam sajak. Contohnya, rawana Inggeris hendak dicari.

Soalan ketiga meminta calon menyatakan maksud bahasa pengulangan. Oleh sebab pengemukaan soalan bukannya gaya bahasa atau keindahan, maka calon tidak perlu menyatakan istilah bagi bahasa pengulangan. Contoh jawapan ialah :
Bahasa pengulangan bermaksud pengulangan kata atau baris dalam baris yang sama atau baris berikutnya.
Manakala, tujuan penggunaan bahasa pengulangan ialah untuk memberi penegasan kepada isi sajak dan mengindahkan bahasa sajak.

Soalan keempat meminta contoh. Maka, calon hanya perlu mengenal pasti contoh daripada petikan dan menyalinnya. Jangan lupa garisi kata atau baris yang menunjukkan adanya pengulangan. Contoh:
Salah satu contoh bahasa pengulangan ialah, langkah pendekar langkah berisi. Selain itu, contohnya ialah hendak dipenggal hendak dikelar. Contoh yang ketiga ialah, Maharajalela, Maharajalela.