Makluman : Sukatan Baru Kesusasteraan Melayu SPM

Mulai 2015, satu novel dipelajari iaitu Naratif Ogonshoto karya Dato' Anwar Ridhwan. Satu antologi teks moden (sajak, cerpen dan drama) ialah Kubentang Sebuah Peta. Teks karya tradisional pula ialah Nilai Insan.

08 Februari 2010

Soalan Novel SPM 2009

Soalan Esei Novel Restu 2009 memerlukan calon membaca novel dan bukannya sinopsis novel semata-mata. Calon yang malas membaca akan menerima padah kerana soalan esei 2009 adalah berdasarkan petikan satu perenggan daripada novel. Petikan itu berkisar pada peristiwa Cikgu Maimunah bertanyakan sebab Ikram tidak membayar yuran sekolah.

Soalan a berkenaan latar tempat dan latar masa peristiwa tersebut, soalan b meminta 3 alasan Ikram gagal menjelaskan yuran sekolah dan soalan c meminta calon menganalisis 5 nilai murni pada watak Cikgu Maimunah.

Bagi soalan a, latar tempat ialah Bilik Guru di Sekolah Kg. Penarik dan latar masa ialah waktu pagi pada hari sekolah.

3 alasan Ikram gagal menjelaskan yuran perlu dihuraikan dengan lengkap iaitu ada ayat pernyataan dan ayat huraian. Misalnya,
Salah satu alasan Ikram gagal membayar yuran sekolah ialah kemiskinan hidup. (ayat pernyataan isi) Ikram tidak mempunyai cukup wang kerana adik beradiknya ramai dan mereka juga memerlukan wang untuk perbelanjaan harian. (ayat huraian)

Lima nilai murni pada watak Cikgu Maimunah tidak sukar untuk dijawab. Tetapi, calon jangan silap langkah. Perlu fokus pada nilai, bukannya perwatakan. Contoh jawapan ialah :
Terdapat nilai lemah-lembut pada watak Cikgu Maimunah. Misalnya, Cikgu Maimunah bercakap dengan lemah lembut dengan Ikram dan murid-murid. Selain itu, nilai murni pada watak Cikgu Maimunah ialah nilai simpati. Beliau bersimpati dengan kesusahan Ikram dan membantunya dengan mendapatkan bantuan PIBG untuk Ikram. Nilai pemurah turut terpapar pada watak Cikgu Maimunah. Beliau sanggup membayarkan yuran sekolah Ikram. Nilai penyayang juga terdapat pada dirinya. Cikgu Maimunah amat menyayangi Ikram dan murid-murid yang diajarnya.