Makluman : Sukatan Baru Kesusasteraan Melayu SPM

Mulai 2015, satu novel dipelajari iaitu Naratif Ogonshoto karya Dato' Anwar Ridhwan. Satu antologi teks moden (sajak, cerpen dan drama) ialah Kubentang Sebuah Peta. Teks karya tradisional pula ialah Nilai Insan.

20 Disember 2011

Teknik Menjawab Persoalan Siri 1

Salah satu kelemahan calon ialah menjawab soalan tentang persoalan karya. Misalnya, persoalan dalam novel, cerpen atau drama. Salah satu kesilapan utama calon ialah menjawab persoalan sebagai nilai murni atau nilai kemanusiaan. Bagaimanakah contoh kesilapan yang lazim? Kita lihat contoh di bawah.

Terdapat persoalan kasih sayang dalam novel ini. (Diikuti contoh)
Persoalan ketabahan dipaparkan dalam cerpen. (Diikuti contoh)
Pengarang memaparkan persoalan sikap prihatin dalam drama ini. (Diikuti contoh)
Ada juga, persoalan kebijaksanaan dalam cerita ini. (Diikuti contoh)

Kesemua jawaban di atas adalah salah. Sebabnya, nilai kasih sayang, nilai kerajinan, nilai prihatin dan nilai kebijaksanaan yang dinyatakan. Nilai bukannya persoalan. Sepatutnya, persoalan lebih jelas dan berbentuk frasa. Contohnya:

Terdapat persoalan kasih sayang antara anak dan ibu bapa dalam novel ini. (Diikuti contoh)
Persoalan ketabahan menghadapi cabaran hidup dipaparkan dalam cerpen. (Diikuti contoh)
Pengarang memaparkan persoalan sikap prihatin guru terhadap muridnya. (Diikuti contoh)
Ada juga, persoalan kebijaksaaan mengalahkan musuh dalam cerita ini. (Diikuti contoh)

Selain itu, contoh-contoh persoalan berikut juga adalah salah walaupun ungkapan itu bukan nilai. Sebabnya, ungkapan itu hanya satu perkataan sahaja. Persoalan haruslah menyatakan isu dalam karya secara tepat sebagaimana yang ingin disampaikan melalui karya tersebut. Lihat contoh :
Persoalan fitnah terdapat dalam cerpen ini. (Diikuti contoh)
Ada juga persoalan kemiskinan. (Diikuti contoh)
Terdapat persoalan geran tanah dalam novel. (Diikuti contoh)
Persoalan adat turut dipaparkan. (Diikuti contoh)
Turut dipaparkan persoalan kedamaian. (Diikuti contoh)

Sewajarnya, begini yang diujarkan oleh pelajar :
Persoalan fitnah terhadap janda terdapat dalam cerpen ini. (Diikuti contoh)
Ada juga persoalan kemiskinan masyarakat luar bandar. (Diikuti contoh)
Terdapat persoalan penipuan mendapatkan geran tanah dalam novel. (Diikuti contoh)
Persoalan sikap generasi tua yang mementingkan adat turut dipaparkan. (Diikuti contoh)
Turut dipaparkan persoalan inisiatif bagi mewujudkan kedamaian. (Diikuti contoh)

22 November 2011

Senarai Nama Sasterawan Negara sehingga 2017


1. 1981 : Kamaluddin Muhamad atau Keris Mas
2. 1982 : Prof. Emeritus Dato' Dr. Shahnon Ahmad
3. 1983 : Datuk Dr. Usman Awang
4. 1986 : Datuk Dr. A. Samad Said
5. 1988 : Muhammad Dahlan bin Abdul Biang atau Arena Wati
6. 1991 : Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh
7. 1993 : Datuk Noordin Hasan
8. 1996 : Datuk Abdullah Hussain
9. 2001 : S. Othman Kelantan atau Dr. Syed Othman Syed Kelantan
10. 2009 : Dato' Dr. Anwar Ridhwan
11. 2011 : Datuk Dr. Ahmad Kamal Abdullah (Kemala)
12. 2013 : Datuk Hj. Baharuddin Zainal
13. 2014: Datuk Dr. Zurinah Hassan

06 September 2011

Soalan Percubaan SPM Kesusasteraan Melayu Negeri Sembilan 2011

 Telah pun selesai Kertas Percubaan Kesusasteraan Melayu N. Sembilan bagi tahun 2011. Diharap rakan-rakan guru di seluruh negara dapat pula berkongsi kertas percubaan negeri anda. Sila nyatakan URL/blog atau e-melkan kepada saya, sasterasmkj@gmail.com.
 Soalan Sastera MELAYU 2011 Percubaan Spm

21 Ogos 2011

Sajak Keberangkatan Ayah

Sajak karya Ratna Laila Shahidin ini memang menarik kerana ia mendapat hadiah utama sayembara dan panel sayembara menganggap sajak ini sama hebat dengan sajak Ke Makam Bonda karya SN Datuk Usman Awang. Nilai kasih sayangnya begitu kuat dan diperteguh dengan nilai ketuhanan. Isi sajak dan gaya bahasa sajak cukup menggetarkan perasaan.

Saat itu ayah pun berangkat
dengan mata pejam dan wajah tenang
meski selaut sedih bergelombang di dada
kami akur juga akhinya
kecintaan-Nya melebihi segala cinta

Setiap subuh rindu kami bergetar
pada bunyi telapak kasut ayah
mengejar subuh di surau sepi di kampung kami
pun kami akhirnya mengerti
kerinduan ayah pada-Nya melebihi
segala rindu

Pada saat keberangkatan itu
kami yakin perjalanan ayah lebih mudah
kerana ayah punya isteri tabah
dan anak menantu yang pasrah
mengiringi ayah kebaikan yang mewangi
di setiap cebisan pandan bertaburan
di atas pusara.

Meski ayah telah berangkat pulang
dia tetap di hati kami
dingin dahi ayah waktu kukucup
mudah-mudahan sesejuk itulah pusara ayah
penuh lapang dan bercahaya indah

Ayah, selamat bertemu Allah
semoga bertemu di syurga-Nya


1. Huraikan nada sajak (4 markah)
2. Huraikan tema sajak. (4 markah)
3. Huraikan gaya bahasa sajak. (8 markah)
4. Jelaskan tiga nilai murni dalam sajak (6 markah)

1. Nada romantis. Penyajak mengenang saat kematian ayahnya yang amat disayangi.
2. Tema sajak ialah kasih sayang seorang anak terhadap bapa. Ia menggambarkan sikap dan perasaan penyajak pada hari ayahnya meninggal dunia. Contohnya, Meski ayah telah berangkat pulang, dia tetap di hati kami.
3. Selain asonansi dan aliterasi, terdapat gaya bahasa berikut :
a) hiperbola - selaut sedih bergelombang di dada
b) inversi - dingin dahi ayah
c) personifikasi - mengiringi ayah kebaikan yang mewangi
d) anafora - di setiap cebisan pandan bertaburan
di atas pusara
4. Nilai murni : kasih sayang, ketabahan.
Nilai kasih sayang - dia tetap di hati kami
Nilai ketabahan - kerana ayah punya isteri yang tabah

30 Mei 2011

Hikayat Seri Kelantan Siri 2 - Contoh Soalan Esei

Berdasarkan cerita Hikayat Seri Kelantan :
(a)   Jelaskan lima latar masyarakat dalam cerita tersebut.    [10 markah]
(b)   Berikan dua sebab Siam menyerang Kerajaan  Sultan Abdullah.  [4 markah]
(c)   Jelaskan tiga unsur kehebatan Tuan Puteri Sa’dung.  [6 markah]

Skema Jawapan
a)  latar Masyarakat
i. Masyarakat istana  1 markah
Cth : Raja Ibrahim/ Puteri Sa’dung/Sultan Abdullah    1 markah
ii.Masyarakat yang mempercayai bomoh/nujum/taib    1 markah
Cth : Raja Siam memanggil bomoh-bomoh untuk
mengubati penyakit kayap dada Raja Siam.        1 markah
iii. Masyarakat yang terlalu mengikut nafsu        1 markah
Cth : Raja Abdullah memancung leher Puteri Sa’dung kerana marah /Raja Siam menyerang
Kota Jelasin  kerana inginkan Puteri Sa’dung     1 markah   
iv. Masyarakat yang setia/menjaga maruah             1 markah
Cth :  Puteri Sa’dung tidak mahu bersuamikan
Raja Siam kerana dia isteri Raja Abdullah        1 markah
v.Masyarakat bawahan           1 markah
Cth : Tentera /hulubalang/ rakyat jelata     1 markah
                                    
b)Nyatakan dua sebab Siam menyerang kerajaan Raja Abdullah
i.Ingin memiliki Puteri Sa’dung/membawa Puteri Sa’dung ke Siam   2 markah
ii.Utusan Siam dimalukan oleh Raja Abdullah    2 markah

c)Jelaskan tiga unsur kehebatan Tuan Puteri Sa’dung
i.Kehebatan bermain senjata        2 markah
ii.Jampi serapah /serampah pinang Puteri Sa’dung menyebabkan penyakit kayap di dada Raja Siam       2 markah
iii.Dapat memindahkan Kota Jelasin semasa dikepung tentera Siam    2 markah
iv.Hidup semula setelah disapukan air mawar    2 markah

Technorati Code - BPVVGM92VN4R

25 Mac 2011

Hikayat Seri Kelantan Siri 1 - Struktur dan Esei

BAHAGIAN SATU (SOALAN STRUKTUR)
1.Itulah Raja yang memerintah negeri, terlalu besar kerajaannya. Maka Encik Siti tiada beranak dan berlaki Adapun nama negeri pada masa itu Tanah Serendah Kebun Bunga Cerangtegayung.
Maka lepas daripada simpan serta dikuburkan itu, lalu turunlah pula ke perahu mudik ikut sungai itu lalu sampai Pekalang Gaung.
Maka lalu orang ramai- ramai pun muafakat hantar Tuan Puteri Sa’dung naik ke Bukit Marak itu.
Maka Tuan Puteri Sa’dong itu dipanggil orang kampung di situ; oleh orang ramai- ramai pergilah. Lalu Tuan Puteri Sa’dung pun suruh orang ramai- ramai itu bawa pergilah tanam di Tambak.

Berdasarkan petikan di atas, nyatakan latar tempat yang terlibat dalam Hikayat Seri Kelantan.  (4 markah)

2.Maka Sultan Abdullah tidak peduli seperti kehendak Tuan Puteri Sa’dung itu. Maka tiada berapa lamanya lalu berbalah Tuan Puteri Sa’dung itu dengan Sultan Abdullah. Maka berkelahilah keduanya itu. Maka Sultan Abdullah pun naiklah kemarahan yang amat sangat kepada Tuan Puteri Sa’dung itu serta diambil pedang lalu dipancung, kenalah leher Tuan Puteri Sa’dung itu.
(dipetik daripada prosa Melayu Tradisional   Hikayat Seri Kelantan teks Seuntai Kasih Secebis Harapan)

Berdasarkan petikan di atas, tuliskan perwatakan Sulatan Abdullah beserta contoh.
(4 markah)

3. Maka tatkala itu sekalian kelanggaran pun mustaidlah semuanya, lalu raja- raja dan menteri hulubalang dan askar sekalian pun menujulah jalan sebelah selatan itu. Maka berjalanlah sekalian itu. 
(dipetik daripada prosa Melayu Tradisional   Hikayat Seri Kelantan teks Seuntai Kasih Secebis Harapan)
Berdasarkan petikan di atas, berikan gaya bahasa beserta contoh.  (4 markah)

4.    “Demikian lagi adinda mendengar daripada orang tua- tua, demikianlah katanya; hutang budi dibayar budi hutang darah dibayar darah hutang malu dibayar malu hutang mati dibayar mati. Tetapi adinda ini tiada upaya hendak membalas budi kekanda kerana paduka adinda ini seorang perempuan yang tiada berguna kepada orang. MAka mujurlah segala sekalian inang dayang tolong hidupkan, jikalau inang dayang tidak tolong, tetntu mati tiada boleh pandang mata paduka kekanda ini lagi”
(dipetik daripada prosa Melayu  Tradisional   Hikayat Seri Kelantan teks  Seuntai Kasih Secebis Harapan)
Apakah nilai yang terdapat dalam petikan di atas?   (4 markah)

BAHAGIAN DUA (SOALAN ESEI)
1.“Hai sekalian inang dayang pengasuh Tuan Puteri Sa’dung janganlah kamu teriak menangis kerana Tuan kamu telah mati. Apalah kesudahan kamu sekalian tiada simpan Tuan kamu itu jikalau kamu duduk menangis; adakah masakan hidup lagi?
(dipetik daripada prosa Melayu Tradisional   Hikayat Seri Kelantan teks  Seuntai Kasih Secebis Harapan)
Berdasarkan petikan di atas:
i)Siapakah penutur dalam petikan tersebut?      2 markah)
ii)Apakah yang berlaku selepas dialog tersebut dituturkan?  (8 markah)

2.Huraikan watak dan perwatakan Tuan Puteri Sa’dung dalam cerita Hikayat Seri Kelantan.  (10 markah)

SKEMA JAWAPAN

JAWAPAN SOALAN STRUKTUR

1)Latar Tempat:
i)Tanah Serendah Kebun Bunga Cerangtegayung.
ii)Pekalang Gaung.
iii)Bukit Marak
iv)Tambak.

2)Perwatakan Sultan Abdullah:
i)Pemarah contohnya dia memarahi Tuan Puteri Sa’dung dengan suara yang kuat walaupun dia mengetahui bahawa Tuan Puteri Sa’dung tidak bersalah.
ii)Kejam contohnya dia memancung kepala Tuan Puteri Sa’dung sehingga terputus dua walaupun Tuan Puteri Sa’dung adalah isterinya.

3)Gaya bahasa:
i)Kata ganda contohnya raja- raja.
ii)Penggunaan perkataan asing iaiatu bahasa Arab contohnya mustaidlah.

4)Nilai yang terdapat dalam petikan:
i)tolong menolong contohnya inang dan dayang- dayang telah menolong menghidupkan Tuan Puteri Sa’dung yang dibunuh oleh Sultan Abdullah.
ii)membalas budi contohnya Tuan Puteri Sa’dung sentiasa mengenang dan mahu membalas budi Sultan Abdullah tetapi dia tidak menyangka bahawa Sultan Abdullah sanggup mengkhianatinya dan membunuhnya.

JAWAPAN SOALAN ESEI

1)i)  Penutur dalam petikan ialah Sultan Abdullah.
iii)Selepas dialog tersebut dituturkan, semua inang dayang pengasuh berjumpa dan bermesyuarat untuk mencari jalan menghidupkan kembali Tuan Puteri Sa’dung. Mereka sangat terkejut tindakan Sultan Abdullah yang sanggup memancung kepala Tuan Puteri Sa’dung  sehingga putus dua. SAlah seorang dariapda inang dayang pengasuh berkata bahawa sebelum Encik Siti meninggal dunia, dia telah mengurniakan kesaktian kepada Tuan Puteri Sa’dung sebagai pertahanan apabila dia ditimpa bencana. Mereka terus berfikir di manakah kesaiktian tersebut disembunyikan. Inang yang busu  tiba- tiba teringat akan kata – kata Tuan Puteri Sa’dung semasa hayatnya. Tuan Puteri SA’dung menyatakan bahawa sekiranya dia mati berdarah, dia menyuruh supaya diambilkan satu jembul di dalam sanggul Tuan Puteri dan sirami jembul itu dengan air mawar kerana ia mampu menyembuhkan luka dan mencantumkan anggota yang telah terputus.

2)Watak dan perwatakan Tuan Puteri Sa’dung ialah
i)Tuan Puteri merupakan watak utama dalam cerita Hikayat Seri Kelantan.
ii) wataknya ialah watak protagonis.
 seorang yang patuh kepada arahan contohnya dia sanggup berkahwin dengan Sultan Abdullah dengan arahan Encik Siti walaupun Tuan Puteri tidak mengenali hati budi Sultan Abdullah.
iii)seorang yang berani contohnya dia sanggup menentang Sultan Abdullah dan membunuhnya kerana Sultan Abdullah telah menduakannya tanpa pengetahuan Tuan Puteri.
iv)seorang yang bermurah hati contohnya selepas kemangkatan Sultan Abdullah, Tuan Puteri telah memberikan istana kepunyaannya kepada isteri muda Sultan Abdullah dan Tuan Puteri telah berpindah ke Bukit Marak.
v)seorang yang penyayang contohnya Tuan Puteri sangat menyayangi inang dan dayang- dayang pengasuhnya kerana mereka sanggup menolong dan membantu Tuan Puteri semasa dalam kesusahan.

20 Mac 2011

Cerpen Anak Gembala - antologi Anak Global

1. Baca petikan cerpen dan jawab soalan berikutnya.

Biarlah hujan ribut, dia ingin bersama-sama kerbaunya di lembah ini. Lembah Bilut akan dipertahankan walaupun apa yang terjadi. Mat Seman tidak pernah meminta apa-apa bantuan daripada orang. Daripada wang sagu hati dia putus kaki, dia membina kandang baru yang ada atap untuk kerbau-kerbaunya, dia membeli mesin penyodok untuk menolak tahi-tahi kerbaunya ke tepi setiap pagi. 

a. Berdasarkan petikan, berikan 2 perwatakan Mat Seman.    (2 markah)
b. Nyatakan pengajaran yanag terdapat dalam petikan.        (2 markah)

Berdasarkan cerpen Anak Gembala karya Zahari Affandi jawab soalan-soalan berikut;
a. Huraikan 5 persoalan yang terdapat dalam cerpen tersebut.   (10 markah)
b. Huraikan 5 teknik plot yang digunakan oleh pengarang.    (10 markah)

Skema Jawapan
1. a. -Berani mempertahankan hak -1m
 -Berdikari - 1m
b. -Kita janganlah terlalu mengharapkan bantuan orang lain. -1m
    -Kita haruslah berani mempertahankan diri daripada ditindas oleh orang lain.-1m
2. a. Persoalan-persoalan dalam Anak Gembala

 -Kepentingan sikap berfikiran secara rasional dalam menyelesaikan masalah.               Misalnya tindakan Mat Seman yang melepaskan kerbau-kerbau ketika kerja-kerja     pembangunan Lembah Bilut dijalankan hanya mengundang padah. 2m 

-Tanggungjawab dalam menyara  keluarga. Walaupun kehidupan Mat Seman agak payah setelah kakinya dipotong namun dia tetap bekerja untuk menyara keluarganya tanpa mengharapkan bantuan orang lain. 2m
  -Kerjasama dalam keluarga. Anak-anak Mat Seman dan isterinya sering membantu     ayah mereka menjaga kerbau-kerbau mereka. 2m
-Kepentingan pendidikan. Mat Seman bercita-cita untuk menyekolahkan anak-anaknya hingga ke universiti untuk kehidupan yang lebih senang. 2m
-Kesan pembangunan terhadap kehidupan manusia. Mat Seman bimbang pembangunan yang akan dibuat di Lembah Bilut akan menyebabkan muda-mudi di Kampung Angun Butir Sebatu terpengaruh dengan budaya Barat. 2m

b. Teknik plot yang digunakan:

-Dialog- Dialog antara Mat Seman dan Tok Penghulu yang berbincang tentang     pembaharuan yang akan berlaku di Lembah Bilut. 2m
-Imbas kembali- Mat Seman teringat kembali cerita datuknya tentang kehebatan ayahnya     yang pakar tentang ilmu memelihara kerbau. Hanya daripada tahi kerbau sahaja dia tahu penyakit kerbaunya. 2m
-Monolog dalaman- Mat Seman berbisik dalam hatinya bahawa dia tidak mahu dianggap     oleh orang kampung  sebagai seorang askar yang tidak lagi mampu setelah cacat. 2m
-Pemerian- Pengarang menggambarkan tentang keadaan kandang kerbau milik Mat Seman setelah hari hujan. 2m
-Kejutan- Pembaca terkejut kerana pada akhir cerita Mat Seman telah mati kerana     dirempuh oleh kerbau-kerbau peliharaannya. 2m
-Imbas muka- Mat Seman membayangkan kesan yang akan timbul jika pembangunan     dibawa ke Lembah Bilut. Lembah Bilu tidak akan “suci” lagi. 2m

07 Mac 2011

Soalan Esei Jeriji Kasih

1. Berdasarkan novel Jeriji Kasih, jawab soalan-soalan yang berikutnya.
a.nyatakan kejayaan-kejayaan Anuariza [ 10 markah ]
b.huraikan gambaran masyarakat. [ 10 markah ]

2. a) Watak Anuariza merupakan seorang pemuda contoh dalam novel Jeriji Kasih.
Huraikan lima keistimewaan watak Anuariza yang boleh diteladani. [10 markah]
b) Huraikan binaan plot novel Jeriji Kasih. [10 markah]

3. a) Jelaskan lima konflik dalam novel. [10 markah]
b) Jelaskan lima peleraian dalam novel [10 markah]

Skema Jawapan

1.a. i. berjaya dalam pelajaran 1 markah
ii Cth: Lulus dengan cemerlang dalam STPM / dapat masuk universiti 1 markah
iii. berjaya membimbing Syed Faris 1 markah
iv. Syed Faris yang bersikap negatif kini telah berubah 1 markah
v. berjaya mengusahakan projek Taman Fantasi 1 markah
vi. cth telah mendapat bantuan kewangan daripada Syed Mustafa 1 markah

(b) Gambaran masyarakat
i. Masyarakat Melayu 1 markah
ii. Cth : nama-nama watak spt Anuariza,Solehah 1 markah
v. Masyarakat yang mementingkan pelajaran 1 markah
vi. Cth: Syed Mustafa dan Nek Siah mementingkan pelajaran Syed Fariz dan Sharifah Farisya
1 markah
vii. Masyarakat yang bekerjasama 1 markah
viii Cth : Penduduk kampung bergotong-royong semasa kenduri-kendara 1 markah
ix Masyarakat yang bekerja sebagai petani 1 markah
x Cth : Penduduk kampung mengusahakan dusun dan sawah   1 markah

2. a. i. Seorang yang rajin/gigih 1 markah
ii. Cth : Rajin bekerja/bertani/menanam anggur, pokok naga 1 markah
iii. Seorang yang berpandangan jauh 1 markah
iv. Cth : Berhasrat memajukan pertanian sebagai tarikan pelancongan dan penyelidikan/merancang untuk meneruskan pelajaran ke universiti 1 markah
v. Seorang yang rasional 1 markah
vi. Cth : Tidak menghalang ibunya berkahwin semula 1 markah
vii. Seorang yang bijak mengambil hati/memujuk 1 markah
viii. Cth : Berjaya memujuk Syed Fariz/Sharifah Farisya 1 markah
ix. Seorang yang penyabar 1 markah
x. Cth : Sabar apabila ibunya dituduh berkahwin kerana ingin
menumpang kekayaan Syed Mustafa 1 markah
xi. Seorang yang mengutamakan keluarga daripada diri sendiri 1 markah
xii. Cth : Walaupun menyayangi Sharifah Farisya, Anuariza rela Sharifah Farisya menjadi adiknya apabila ibunya kahwin dengan bapa Sharifah Farisya 1 markah
xiii. Seorang yang mentaati ibu 1 markah
xiv. Cth : Menghormati dan patuh pada ibunya, Soleha 1 markah
xv. Seorang yang taat pada agama 1 markah
xvi. Cth : Menunaikan solat walaupun semasa di hutan 1 markah

b). i. Plot bersifat kronologi 1 markah
ii. Cth : Susunan peristiwa mengikut urutan waktu 1 markah
iii. Permulaan novel berkisar pada Anuariza dan latar tempat 1 markah
iv. Cth : Anuariza ke paya mencari asam kelubi 1 markah
v. Perkembangan novel berkisar pada kehadiran anak-anak Syed Mustafa dan Anuariza membantu mereka 1 markah
vi. Cth : Anuariza mengajar tuisyen Syed Fariz 1 markah
vii. Konflik antara Anuariza dan Syed Fariz 1 markah
viii. Cth : Syed Fariz bermasalah disiplin/mencabul Ruhaiza 1 markah
ix. Konflik Syed Fariz dan Syed Mustafa 1 markah
x. Cth : Syed Fariz anggap Syed Mustafa sebagai punca kematian ibunya dan membenci bapanya 1 markah
xi. Klimaks novel berkisar konflik Anuariza – Sharifah Farisya 1 markah
xii Cth : Anuariza cuba memujuk Sharifah Farisya yang lari ke Kuala Lumpur kerana menentang perkahwinan Soleha dan Syed Mustafa 1 markah
xiii. Peleraian berkisar kejayaan Anuariza menyelesaikan masalah yang dihadapinya 1 markah
xiv. Cth : Sharifah Farisya terima kenyataan ayahnya akan berkahwin dengan ibu Anuariza/Hj. Lokman membantu projek Taman Fantasi/Anuariza berjaya ke IPTA 1 markah

3. a) i. Konflik Syed Mustafa dan Syed Fariz 1 markah
ii. Cth : Syed Fariz membenci ayahnya/Syed Mustafa anggap Syed Fariz nakal dan memukulnya 1 markah
iii. Konflik Nek Siah dan Syed Mustafa 1 markah
iv. Cth : Nek Siah marah akan Syed Mustafa kerana abaikan tanggungjawab kepada anak-anak 1 markah
v. Konflik Anuariza dan Syarifah Farisya 1 markah
vi. Cth : Syarifah Farisya kecewa kerana Anuariza tidak menentang perkahwinan ayahnya dan ibu Anuariza 1 markah
ix. Konflik Syed Fariz dan Ruhaiza 1 markah
ix. Cth : Syed Fariz marah dan mencabul Ruhaiza kerana mengesyaki dia yang mengadu kesalahan disiplin kepada guru 1 markah
xi. Konflik Syed Mustafa dan Khusyairi 1 markah
xi. Cth : Khusyairi marah dengan Syed Mustafa kerana anaknya, Syed Fariz mencabul Ruhaiza 1 markah

b) i. Syed Mustafa sedar kesilapannya dalam mendidik anak 1 markah
ii. Cth : Syed Mustafa letak jawatan di bandar/berkahwin dengan Soleha untuk menyelesaikan masalah anak 1 markah
iii. Nek Siah berusaha mengahwinkan Soleha dengan Syed Mustafa 1 markah
iv. Cth : Nek Siah percaya Soleha boleh membantu Syed Mustafa membimbing anak-anaknya 1 markah
v. Anuariza berjaya memujuk Syarifah Farisya yang lari dari rumah ke Kuala Lumpur 1 markah
vi. Cth : Memujuknya menerima perkahwinan Syed Mustafa
dan Soleha 1 markah
vii. Anuariza lulus peperiksaan STPM dengan cemerlang 1 markah
viii. Cth : Anuariza mendapat tawaran ke IPTA 1 markah
ix. Anuariza mengatasi masalah kewangan ke IPTA 1 markah
x. Cth : Syed Mustafa memberi bantuan kewangan 1 markah
xi.Projek Taman Fantasi/projek tanaman anggur dan buah naga Anuariza dapat diteruskan 1 markah
xii. Cth : Hj. Lokman dan Syed Mustafa membantu dari segi kewangan meneruskan projek pertanian 1 markah

22 Februari 2011

Cerpen : Melakar Impian

1. Nyatakan gaya bahasa bagi frasa di bawah.

a) bara kemarahan
b) Kacang hantu
c) Matanya menikam tajam ke dalam mata sahabatnya itu
d) “Tentunya tak salah mencuba sesuatu yang baru, kan?”

2.i.Jelaskan tema cepen. (4 markah)
ii. Bincangkan 3 persoalan yang terdapat dalam cerpen.(6 markah)
iii. Huraikan 5 nilai yang terdapat dalam cerpen. (10 markah)

Skema Jawapan

1.a.Metafora -1m
b.simpulan bahasa -1m
c. personifikasi- 1m
d. sinkope-1m

2.a.i. Temanya ialah kegigihan anak muda mengusahakan projek ternakan. 2m Kegigihan Rosli dalam menjalankan projek menternak burung ruak-ruak walaupun dia ditertawakan oleh kawan-kawannya. Dia akhirnya berjaya dalam projek tersebut dan rakan-rakan yang dulunya mentertawakan usahanya turut terlibat dalam projeknya.-2m
ii. Persoalan;
- Sikap pemaaf / tidak berdendam sesama manusia. Misalnya Rosli sanggup menjamin rakan- rakannya setelah ditangkap polis walaupun dia pernah ditertawakan oleh mereka.-2m
- Sikap yakin terhadap diri sendiri. Misalnya, Rosli yakin bahawa usahanya akan membuahkan hasil walaupun liku-likunya agak sukar.-2m
- Sokongan ibu bapa terhadap usaha anak-anak. Ibu bapa Rosli meminjamkan modal sebanyak RM 2000 supaya Rosli dapat menjalankan projek menternak burung ruak- ruak.-2m
- Semangat persahabatan/setiakawan. Rosli tetap meneruskan persahabatan dengan kawan-kawannya walaupun mereka pernah merendah-rendahkan usahanya. Rosli menjamin mereka di balai polis. Malah, dia mempelawa mereka bersama-sama mengusahakan projek ternakan ruak-ruak.

b.Nilai-nilai;
-Keberanian. Rosli berani memulakan projek menternak burung ruak-ruak yang belum pernah dibuat oleh sesiapa pun tambahan pula burung tersebut sangat rumit penjagaannya.-2m
-Kegigihan. Rosli gigih mengusahakan projek burung ruak-ruak bermula dengan hanya 20 ekor kini ternakannya menjadi beribu-ribu ekor. -2m
Ketabahan-. Rosli masih tetap sabar memujuk rakan-rakannya walaupun uasahanya itu ditertawakan oleh mereka-2m
-Keinsafan. Rosli sedar tidak ada faedahnya jika dia terus menjadi kacang hantu di kampungnya -2m

16 Februari 2011

CERPEN : BAH UREI

1.Apabila merasakan tiupan angin yang mengacah-acah dan mendengar deru pohonan yang kian nyaring dia didatangi rasa pilu dan kesal lagi. Segala-galanya seolah-seolah menikamkan kesakitan, menyerap jauh ke dalam pembuluh darah malah terapung-apung menghiris-hiris relung hatinya.

a.Nyatakan maksud gaya bahasa personifikasi.(2 markah)
b.Berdasarkan petikan berikan dua contoh gaya bahasa tersebut. (2 markah)

2. Berdasarkan cerpen Bah Urei, jawab soalan-soalan berikut;
a. Bincangkan 2 latar masyarakat dalam cerpen.(4 markah)
b. Jelaskan 5 perwatakan watak utama.(10 markah)

SKEMA JAWAPAN

1.a.Personifikasi bermaksud memberikan sifat manusia kepada benda bukan manusia -1m
b. dia didatangi rasa pilu dan kesal -1m
angin yang mengacah-ngacah -1m

2.a. Masyarakat asli suku kaum Semai. Contohnya, Bah Urei merupakan lelaki orang asli suku kaum Semai yang masih mengamalkan adat suku kaumnya. 2m
Masyarakat yang berfikiran terbuka. Misalnya, Tok Batin dan anak-anak buahnya bersetuju untuk menerima pembangunan yang akan dibuat di kampung mereka. 2m

b. Seorang yang setia. Bah Urei masih setia menjaga kubur Sirih walaupun isterinya telah lama meninggal dunia. 2m
Seorang yang berani. Bah Urei pernah membunuh seekor harimau yang besar dengan hanya menggunakan lembing semasa mudanya. 2m
Seorang yang sensitif. Bah Urei menangis ketika dia berusaha untuk menebang pokok keledang kerana ia lambang perkahwinannya dengan Sirih. 2m
Seorang yang menyayangi alam semulajadi. Bah Urei suka akan kehidupan di dalam hutan yang memberikan ketenangan kepadanya. 2m
Seorang yang suka bertindak terburu-buru. Bah Urei mengasah parang lalu pergi menyerang pekerja-pekerja yang ingin membersihkan kawasan hingga menyebabkan ada yang tercedera. 2m

09 Februari 2011

Dari Lembah Ke Puncak Soalan Esei

1.Novel Dari Lembah Ke Puncak, karya Ghazali Lateh kaya dengan unsur kemanusiaan.
Berdasarkan pernyataan ini,huraikan:
a)Unsur kegigihan (10 markah)
b)Unsur kasih sayang (10 markah)

2.Berdasarkan novel Dari Lembah Ke Puncak,
a)Huraikan lima aspek binaan novel ini. (10 markah)
b)Jelaskan lima peristiwa yang diceritakan melalui teknik imbas kembali.(10 markah)

3.Berdasarkan novel Dari Lembah Ke Puncak,
a)Huraikan lima persoalan yang terdapat dalam novel tersebut.(10 markah)
b)Huraikan perwatakan Jalil dalam novel tersebut.(10 markah)

4. “Tapi apa? Abang engkau tu jahat? Begitu?
Dia tu balik setahun sekali pun susah, bagaimana pula nak larikan anak dara orang?”
(Dipetik daripada novel Dari Lembah Ke Puncak)

a)Siapakah watak yang menuturkan dialog di atas?(2 markah)
b)Jelaskan empat pengajaran dalam novel.(8 markah)

5.Berdasarkan novel Dari Lembah Ke Puncak, huraikan :
a)Lima Latar Masyarakat yang terdapat dalam novel(10 markah)
b)Lima Unsur Budaya yang terdapat dalam novel(10 markah)


Skema Jawapan

Soalan 1
a)Unsur Kegigihan
i – Kegigihan untuk mempertahankan tanah pusaka
Cth: Jalil berusaha dengan gigih untuk mengumpul wang hasil daripada
melukis lukisan yang dibekalkan ke hotel-hotel bagi menebus kembali tanah
pusaka yang dijual oleh ibunya.(2 markah)
ii – Kegigihan menuntut ilmu
Cth: Jalil terpaksa menebalkan muka meminta wang baki tanah yang dijual
oleh Pak Teh bagi membiayai pembelian motosikal Mohsin dahulu daripada
Pak Cik Jid untuk menampung tambang dan wang pendaftaran ke Sekolah
Teknik.(2 markah)
iii - Kegigihan mencari rezeki
Cth: Jalil meneruskan usaha menanam padi walaupun luka di bahagian kaki
yang dialaminya belum sembuh.(2 markah)
iv – Kegigihan mencapai cita-cita
Cth: Jalil gigih bekerja dan mengembangkan syarikat perniagaannya hingga
berjaya membina Taman Tema di kampungnya. (2 markah)
v – Kegigihan mengubah nasib
Cth:Jalil sanggup melakukan pelbagai pekerjaan seperti membela
kerbau,pesawah padi, menjadi pelukis untuk mengubah nasibnya.(2 markah)

b)Unsur kasih sayang
i – Kasih sayang antara bapa terhadap anak
Cth: Pak Lang Ali sayang akan anaknya dengan mengambil berat tentang anaknya, Latifah yang sering berjumpa dengan Jalil.(2 markah)
ii – Kasih sayang terhadap keluarga
Cth: Jalil menyayangi dan menghormati ibunya. Dia sering berkunjung ke rumah baru ibunya. (2 markah)
iii – Kasih sayang terhadap haiwan
Cth: Jalil menjaga kerbau kesayangannya dengan baik.(2 markah)
iv – Kasih sayang seseorang terhadap kekasih.
Cth:Jalil menyayangi Latifah walaupun pada mulanya mendapat tentangan daripada ayah Latifah.(2 markah)
v – Kasih sayang terhadap kampung halaman.
Cth: Jalil sayang akan kampung halamannya sanggup pulang ke kampung untuk membangunkan kampung tersebut setelah dia tamat belajar.(2 markah)

Soalan 2
a)Aspek binaan novel.
i-Tema novel mengenai kegigihan dan ketabahan untuk mencapai cita-cita
-Jalil gigih berusaha sejak dia remaja lagi
-Berusaha menyara sendiri hidup di samping belajar di sekolah.
-Setelah tamat belajar, Jalil bertugas sebagai CEO Syarikat Alam Hijau.
-Gigih memenuhi cita-cita untuk membawa perubahan di kampungnya.(2 markah)
ii-Persoalan novel ini, termasuklah kepentingan pendidikan untuk mengubah hidup.
-Jalil meneruskan pelajaran sambil bekerja hingga berjaya memasuki universiti.(2 markah)
iii –Plot merupakan perkembangan cerita perjalanan hidup watak utama, iaitu Jalil dari remaja sehingga dewasa.
-Binaan plot disokong dengan konflik, saspens dan sebagainya.
-Binaan plot terdiri daripada permulaan cerita, perkembangan dan peleraian.(2 markah)
iv - Latar tempat novel ini ialah Kampung Bukit Nibung, Jenun.
-Latar masa pula digambarkan masa kini iaitu dalam jangka masa 15 tahun pada zaman pembangunan.
-Latar masyarakat ialah masyarakat yang berhijrah dari desa ke bandar.(2 markah)
v – Watak utama ialah Jalil
-Perwatakan Jalil ditunjukkan melalui sikap dan tindakannya sejak zaman remaja hingga dewasa
-Berjaya menjawat jawatan CEO di Syarikat Alam Hijau.(2 markah)

b)Peristiwa Imbas kembali
i.Jalil mengingati tentang sebahagian tanah darat di sebelah rumah mereka tergadai kepada Pak Cik Jid akibat sikap terburu-buru Mak Teh yang bertujuan untuk memenuhi permintaan Muhsin membeli motosikal.(2 markah)
ii.Jalil mengingati saat-saat kematian bapanya. Ketika itu bapanya yang tenat menunjukkan sesuatu pada kasau atap di atas lang rumah yang mengandungi wang kertas RM50 yang terselit di celah songkok.(2 markah)
iii.Jalil teringat sejarah hidupnya semenjak kecil yang tidak mengenal erti kesenangan. Semasa di sekolah rendah, jarang-jarang sekali dia membawa duit belanja.(2 markah)
iv.Kisah Pak Teh meneroka tanah paya untuk dijadikan sawah. Pak Teh menghadapai cabaran yang sukar ketika membuka kawasan itu dan sehingga kini tidak mendapat geran. Pak Teh begitu marah apabila tanah yang diteroka itu diceroboh oleh Ah Tong.(2 markah)
v.Jalil teringat betapa susahnya dia hendak melanjutkan pelajaran ke Sekolah Menengah Teknik. Ketika itu Pak Teh baru sahaja meninggal dunia.Wang tidak ada langsung dan dia terpaksa menebalkan muka untuk meminta wang daripada Pak Cik Jid.(2 markah)

Soalan 3
a)Persoalan
i.Sikap anak muda yang tidak berminat untuk menceburi bidang pertanian. Contoh, Muhsin yang tidak bersekolah tidak berminat untuk bekerja di sawah menolong Pak Teh. Dia pergi ke bandar menjadi buruh binaan. Begitu juga anak-anak muda di kampung itu.(2 markah)
ii.Sikap tanggungjawab seorang anak untuk menyempurnakan amanat arwah bapanya. Contoh, Jalil sentiasa sedar akan tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh Pak Teh bagi mengusahakan tanah sawah dan usaha untuk mendapatkan geran tanah tersebut.(2 markah)
iii.Sikap terburu-buru sering menimbulkan masalah kepada orang lain. Contoh, sikap Mak Teh yang bertindak secara tergesa-gesa berpinah rumah dan menjual tanah tapak rumah akibat terdesak telah menyusahkan Jalil(2 markah)
iv.Sikap simpati dan tolong menolong dengan jiran tetangga. Contoh, Latifah simpati terhadap Jalil yang tinggal seorang diri di pondok dan sering menghantar makanan kerana simpati dengan Jalil. (2 markah)
v.Fitnah memberikan kesan buruk kepada masyarakat. Contoh, Pak Ngah Kadir yang menuduh Mohsin melarikan Biah menyebabkan penduduk kampung membenci dan memulaukan keluarga Jalil. (2 markah)
vi.Tanggungjawab anak terhadap ibu bapa. Contoh, Jalil sentiasa memberikan wang belanja kepada ibunya di kanpung walaupun sentiasa sibuk dengan pekerjaan di bandar. 2 markah)

b)Perwatakan Jalil
Seorang yang prihatin/bertanggungjawab. Contoh, dia selalu membantu bapanya di sawah dan mengirimkan wang kepada ibunya semasa bekerja di bandar (2 markah)
-Seorang yang gigih. Contoh dia tabah menghadapi cabaran dalam hidup. Dia tidak mudah kecewa apabila berhadapan dengan masalah sebaliknya, menjadikankekecewaaan itu sebagai pembakar semangat.(2 markah)
-Seorang yang penyayang. Contoh, dia menyayangi setiap yang dimilikinya seperti Awang kerbau tua yang telah membantunya di sana. (2 markah)
Seorang yang amanah. Contoh, dia tetap berpegang kepada amanah arwah bapanya dan menepati janji mulut dengan Pak Amat untuk membayar harga tanah miliknya yang telah dibeli oleh Pak Amat.(2 markah)
-Seorang yang bijaksana. Contoh, Jalil dapat membahagikan masa untuk belajar dan bekerja di sawah / dia juga sentiasa mendapat tempat pertama dalam peperiksaan semasa di sekolah rendah / keputusan yang baik dalam SRP serta cemerlang dalam SPM. (2 markah)
-Seorang yang berbakat dalam bidang seni. Contoh, dia pandai melukis semasa remaja dan tahu meniup serunai dan gendang silat.(2 markah)

Soalan 4
a)Mak Teh / Mak Jalil(2 markah)
b)Pengajaran
i.Kita hendaklah menghormati ibu dan bapa. Contohnya, Jalil menghormati bapanya dan menurut perintah bapanya untuk mengusahakan sawah serta menghormati ibunya walaupun ibunya banyak kali mengecewakan Jalil.(2 markah)
ii.Kita hendaklah rajin berusaha. Contoh,Jalil bekerja dengan rajin disawah setelah dua musim sawah itu tidak diusahakan oleh bapanya kerana bapanya sakit.(2 markah)
iii.Kita hendaklah gigih menghadapi cabaran. Contoh, Jalil tabah menghadapi cabaran seperti cercaan daripada keluarga Pak Ngah kadir yang menyebabkan keluarganya dipulaukan.(2 markah)
iv.Kita hendaklah menolong orang yang memerlukan pertolongan. Contoh, Latifah menolong Jalil yang tinggal seorang diri dengan menghantar makanan kepadanya/ membalut luka Jalil akibat tertusuk kaca/menolong Jalil membayar yuran SPM.(2 markah)
v.Ibu bapa hendaklah mendidik anak-anak dengan kasih sayang dan tegas.Contoh, Mak Teh terlalu memanjakan Mohsin dan menunaikan segala permintaannya ingga menyebabkan Muhsin malas berusaha.(2 markah)
vi.Jangan membuat fitnah terhadap orang lain untuk menutup kesalahan diri sendiri. Contoh Pak Ngah Kadir memfitnah Muhsin melarikan Biah.(2 markah)

Soalan 5
a)Latar masyarakat dalam novel :
i.Masyarakat yang tolong menolong dan bekerjasama.
Contoh, pendudukkampung Bukit Nibung bergotong royong untuk menjayakan majlis kenduri kahwin di rumah Biah / Latifah menolong l membayar yuran SPMJalil / Ah Bee memberikan minyak tanah, makanan dan ikan kering kepada Jalil.(2 markah)
ii.Masyarakat yang setiakawan.Contoh,walaupun Jalil mendapat peluang perniagaan yang lebih baik dia tetap mengambil Joe sebagai rakan kongsi dalam syarikatnya.(2 markah)
iii.Masyarakat yang sedia memaafkan. Contoh Jalil telah memaafkan Kudin atas kesalahannya masa lalu seperti menabur kaca di sawah serta menghantar Rosman untuk memukulnya.(2 markah)
iv.Masyarakat yang prihatin.Contoh, Latifah prihatin terhadap masalah yang dihadapi oleh Jalil.Dia memberikan makan dan membantu Jalil membayar yuran peperiksaan.(2 markah)
v.Masyarakat yang mengenang jasa. Contoh, Ah Bee mengenang jasa Pak Teh yang telah menyelamatkan mereka pada zaman darurat.Dia berazam memberikan bantuan kepada Jalil sebagai mengenang jasa Pak Teh.(2 markah)

b)Unsur Budaya
i.Nama Watak. Contoh menggambarkan budaya ,asyarakat tempatan yang mengutamakan hubungan persaudaraan. Contoh, panggilan Pak Teh, Mak Teh, Pak Lang Ali, Pak Ngah Kadir dan Pak Da Ali (2 markah)
ii.Budaya gotong- royong. Contoh masyarakat di kampung Bukit Nibung mengamalkan gotong royong terutama untuk menjayakan majlis kenduri kendara seperti kenduri kahwin Biah.(2 markah)
iii.Budaya pertanian sara diri. Contoh PakTeh mengusahakan sawah untuk menyara keluarga dan mengisi masalapang dengankerja-kerja sambilanseperti menangkap ikan, membuat bubu dan sebagainya.(2 markah)
iv.Budaya korporat contoh Jalil yang berpendidikan dapat menghayati budaya korporat untuk memajukan diri dalam bidang ekonomi. Jalil dan Joe meluaskan pasaran hasil seni lukis ke hotel.(2 markah)
v.Unsur kesenian. Contoh kesenian merupakan satu budaya dalam masyarakat. Unsur kesenian dapat diketengahkan bukan sahaja memberikan peluang pekerjaan malah dapat megangkat martabat seseorang. Contoh Jalil telah berjaya menjadikan bidang seni sebagai satu perniagaan yang menguntungkan. (2 markah)

25 Januari 2011

Dari Lembah Ke Puncak Soalan Struktur Siri 2

1. a. Watak Kudin adalah satu daripada contoh watak antagonis dalam novel Dari Lembah ke Puncak. Berikan dua contoh peristiwa yang menunjukkan Kudin berperwatakan demikian. (2 markah)
b. Berikan dua watak antagonis lain dalam novel Dari Lembah ke Puncak.(1 markah)

2. Jalil meraba-raba di dalam begnya. Wang tunai berjumlah sepuluh ribu itu digenggamnya kemas. Nampaknya usaha gigihnya dalam tempoh itu tidak akan mendatangkan hasil.

a.Apakah yang ingin dilakukan oleh Jalil dengan wang sepuluh ribu ringgit itu? (2 markah)
b.Mengapakah usaha Jalil gagal?(2 markah)

3. Dan yang paling pasti, potret seorang gadis kampung berbaju kurung sering menghiasi kanvas apabila dia kehabisan idea. Potret itu tidak berubah wajahnya sejak dia mula-mula melukis. Malahan, semakin lama semakin cantik lakaran itu. Gadis berambut ikal dan bermata galak itu sering sahaja tersenyum di kanvas putih.

a.Siapakah gadis yang dimaksudkan dalam petikan tersebut?(1 markah)
b.Siapakah pelukis potret gadis tersebut?(1 markah)
c.Apakah hubungan pelukis dengan gadis tersebut?(2 markah)

4. Setahun selepas memulakan pengajian, Jalil terpilih untuk melanjutkan pengajian di peringkat sarjana muda.

a.Di manakah Jalil meneruskan pengajiannya?(1 markah)
b.Apakah bidang pengajian yang diambil oleh Jalil?(1 markah)
c.Bincangkan kaitan bidang pengajian Jalil dengan masa depannya.(2 markah)

5. Walaupun tanpa bukti yang kukuh, Jalil pernah terserempak dengan kelibat manusia yang berlalu dari arah tapak semaiannya suatu malam. Lembaga itu menuju ke arah rumah Pak Ngah Kadir. Akan tetapi, masa itu Jalil tidak mengesyaki apa-apa. Setelah kedua-dua belah kakinya terkoyak bagai kain buruk tertusuk kaca, barulah dia teringat akan kelibat itu.

a.Berikan latar masa yang terdapat dalam petikan. (1 markah)
b.Siapakah lembaga yang dimaksudkan oleh Jalil? (1 markah)
c.Bincangkan peristiwa yang berlaku terhadap Jalil keesokan harinya.(2 markah)

Skema Jawapan

1. a. i. Kudin menaburkan kaca ke dalam petak anak benih padi di sawah Jalil.
ii. Kudin mengupah Rosman, sepupunya untuk mengugut dan menakut-nakutkan Jalil.
b.i. Rosman ii. Mak Teh iii. Pak Amat

2.a. Menebus kembali tanah pusaka peninggalan ayahnya daripada Pak Amat.
b.Pak Amat memungkiri janji dengan menaikkan harga tanah kepada lima puluh ribu.

3.a.Latifah
b.Jalil
c.i. Jiran ii. Kawan/rakan sekolah

4.a. Universiti Putra Malaysia
b.Diploma Landskap dan Seni Taman
c. i. Jalil akan menjadi seorang pereka landskap yang terkenal
ii. Jalil akan menjadi seorang perunding landskap dan seni taman
iii. Sebagai CEO Syarikat Alam Hijau
iv. Pemilik Taman Tema Nibung Park

5. a. Latar masa – pada waktu malam
b. Kudin
c.i. Jalil turun ke sawah untuk mencabut anak benih
ii. Kakinya luka terpijak kaca yang ditabur oleh Kudin

18 Januari 2011

Dari Lembah Ke Puncak Soalan Struktur Siri 1

1. Hujan lebat yang turun malam tadi menempiaskan sedikit rasa kemalasan dalam diri Jalil. Anak muda yang berusia lapan belas tahun itu masih berselimut dalam kain sentung nipis dan lusuh, mengerekot menahan dingin pagi yang dibawa angin yang mencuri masuk di celah-celah dinding usang.

a.Apakah teknik penulisan yang digunakan dalam petikan di atas? (1 markah)
b.Berikan tiga jenis gaya bahasa yang terdapat dalam petikan di atas.(3 markah)

2. “Bukan begitu maksud Jalil, mak! Tapi...”
“Tapi apa? Abang engkau itu jahat? Begitu? Dia tu balik setahun sekali pun susah, bagaimana pula nak larikan anak dara orang?” Mak Teh semakin meradang.

a.Siapakah yang dibela oleh Mak Teh?(1 markah)
b.Apakah peristiwa yang menyebabkan dialog di atas dituturkan?(2 markah)
c.Apakah teknik penulisan yang digunakan dalam petikan di atas?(1 markah)

3. Tengah hari selepas kegemparan itu, Jalil pulang dari sekolah. Dia berjalan dari simpang jalan tar ke Bukit Jenun, menumpangi teduh rimbunan getah muda Ah Yau. Apabila sampai di depan rumah Pak Ngah Kadir, ayah Biah, dia terserempak dengan Kudin.

Berdasarkan petikan di atas, berikan empat latar tempat yang dipaparkan oleh penulis.

4. Di matanya air jernih tergenang. Jalil menangis. Entah mengapa hatinya berasa sedih. Susah bagi Jalil untuk menangis. Semasa arwah bapanya meninggal dunia pun dia tidak menangis. Tetapi, kali ini Jalil tewas. Ditewaskan oleh keadaan.

a.Apakah peristiwa yang menyebabkan Jalil menangis?(2 markah)
b.Jelaskan teknik plot yang digunakan oleh penulis?(2 markah)

5. Selama ini dia mengenali Biah sebagai anak gadis yang baik, rajin, dan tidak banyak bercakap. Tidak keterlaluan jika dikatakan dalam keluarga Pak Ngah Kadir, Biahlah yang mencari rezeki dengan menoreh getah.

Senaraikan perwatakan Biah berdasarkan petikan di atas.(4 markah)

6. Di surau itu dahulu diadakan majlis bubur asyura setiap tahun ketika tiba awal Muharam. Setiap penduduk kampung akan datang memeriahkan majlis itu secara bergotong-royong. Ada yang membawa tepung, gula, kayu api, dan bermacam-macam lagi. Semuanya tidak perlu dibeli.

a.Apakah nilai murni yang diamalkan oleh masyarakat dalam petikan di atas? (2 markah)
b.Berikan dua unsur Islam dalam petikan di atas.(2 markah)

7. Akhirnya, sawah padi pusaka itu bertanam juga. Hampir dua minggu Jalil mengambil masa untuk mengubah anak benih padi ke sawah. Namun, dia bersyukur kerana berhasil juga mengerjakan sawah pusakanya. Dia berasa bersalah jika sawah itu terbiar. Dia berasa bapanya memerhatikannya mengerjakan sawah warisan itu.

Nyatakan empat latar masyarakat dalam petikan di atas.(4 markah)

Skema jawapan :

1.a. Teknik pemerian
b.Tiga jenis gaya bahasa:
i.personifikasi – angin yang mencuri masuk/ hujan lebat yang turun malam tadi menempiaskan sedikit rasa kemalasan dalam diri Jalil
ii.kata ganda – celah-celah
iii.dialek Kedah – kain sentung (kain pelikat)

2.a.Muhsin
b.i.Mak Teh marah apabila Jalil bertanyakan tentang Muhsin.
ii. Muhsin dituduh melarikan Biah ke Kuala Lumpur.
c.Teknik - dialog

3.Latar tempat
i.sekolah
ii.simpang jalan tar ke Bukit Jenun
iii.kebun getah Ah Yau
iv.depan rumah Pak Ngah Kadir

4.a.i.Jalil dimarahi oleh guru Biologinya, Miss Ong.
ii. Pulang dari sekolah, Jalil dipukul curi oleh tiga orang yang tidak dikenali.
b.Teknik
i.imbas kembali - Semasa arwah bapanya meninggal dunia pun dia tidak menangis.
ii.pemerian - Di matanya air jernih tergenang. Jalil menangis.

5.Perwatakan Biah
i.Baik
ii.Rajin
iii.Tidak banyak bercakap/ pendiam
iv.Bertanggungjawab
v.Pandai/mahir/cekap menoreh getah

6.a.i.Bergotong-royong/muafakat/bekerjasama
ii. murah hati/pemurah
b.i.Surau
ii. Muharam
iii.Asyura

7.i.Masyarakat petani
ii.Masyarakat yang bersyukur
iii.Masyarakat yang berusaha gigih
iv.Masyarakat yang bertanggungjawab

12 Januari 2011

CERPEN GELUNGNYA TERPOKAH

SOALAN STRUKTUR

1. “Berahim anak kurang ajar,” gerutunya. “Nanti aku sesah kepalanya dengan lading malam ini. Tak boleh kepalanya aku tetak kepala bininya. Tak boleh kepala bininya aku cincang anaknya. Tak boleh anaknya aku rantas kaki kerbaunya!’

a)Berikan sebab yang menjadi punca kemarahan penutur di atas.
b)Siapakah nama penutur dialog di atas.
c)Berikan dua persoalan yang diperoleh daripada cerpen tersebut.

2.Nyatakan gaya bahasa yang sesuai dalam petikan cerpen.

a. Pijakan itu gopoh-gopoh bagaikan dikejar anjing tiga suku.
b. Pudar-pudar warna bulan menampar-nampar air di sawah.
c. “Berahim! Berahim! Mana Berahim! Aku mesti tetak dia!”
d. “Dah habeh?”

SOALAN ESEI

3.a. Berikan dua sebab yang mencetuskan konflik antara Jusoh dan Berahim
sehingga menyebabkan kedua-duanya saling bermusuhan. [4 markah]
b. Nyatakan citra masyarakat yang tergambar dalam cerpen.[10 markah]


Contoh Jawapan

1 a) sawahnya sudah kering kontang kerana gelungnya terpokah [1m]
b) Jusoh [1m]
c) Prasangka yang membawa kepada konflik sesama jiran tetangga [ 1m]
Berfikir secara rasional sebelum melakukan sesuatu tindakan [1m]
Kemiskinan hidup masyarakat petani [1m]

2.Simile [1m]
Personifikasi [1m]
Repitisi [1m]
Sinkope [1m]


3. a)Peristiwa gelung air petak sawah Jusoh telah dipokah oleh seseorang
Jusoh secara melulu menuduh Berahim melakukannya
Jusoh tidak dapat bersabar dengan kejadian tersebut kerana dia bergantung hidup pada hasil tanaman padi untuk menyara keluarga
Kerbau Berahim disimbah cuka getah oleh Jusoh
Berahim menghadapi masalah untuk mengusahakan sawah kerana kematian kerbaunya
Berahim menyimpan dendam terhadap Jusoh

b. Masyarakat petani yang hidup bergantung pada hasil pertanian
Masyarakat yang saling berdendam
Masyarakat yang prihatin
Masyarakat yang suka membuat tuduhan tanpa bukti/berprasangka
Masyarakat petani yang hidup susah