Makluman : Sukatan Baru Kesusasteraan Melayu SPM

Mulai 2015, satu novel dipelajari iaitu Naratif Ogonshoto karya Dato' Anwar Ridhwan. Satu antologi teks moden (sajak, cerpen dan drama) ialah Kubentang Sebuah Peta. Teks karya tradisional pula ialah Nilai Insan.

20 Disember 2011

Teknik Menjawab Persoalan Siri 1

Salah satu kelemahan calon ialah menjawab soalan tentang persoalan karya. Misalnya, persoalan dalam novel, cerpen atau drama. Salah satu kesilapan utama calon ialah menjawab persoalan sebagai nilai murni atau nilai kemanusiaan. Bagaimanakah contoh kesilapan yang lazim? Kita lihat contoh di bawah.

Terdapat persoalan kasih sayang dalam novel ini. (Diikuti contoh)
Persoalan ketabahan dipaparkan dalam cerpen. (Diikuti contoh)
Pengarang memaparkan persoalan sikap prihatin dalam drama ini. (Diikuti contoh)
Ada juga, persoalan kebijaksanaan dalam cerita ini. (Diikuti contoh)

Kesemua jawaban di atas adalah salah. Sebabnya, nilai kasih sayang, nilai kerajinan, nilai prihatin dan nilai kebijaksanaan yang dinyatakan. Nilai bukannya persoalan. Sepatutnya, persoalan lebih jelas dan berbentuk frasa. Contohnya:

Terdapat persoalan kasih sayang antara anak dan ibu bapa dalam novel ini. (Diikuti contoh)
Persoalan ketabahan menghadapi cabaran hidup dipaparkan dalam cerpen. (Diikuti contoh)
Pengarang memaparkan persoalan sikap prihatin guru terhadap muridnya. (Diikuti contoh)
Ada juga, persoalan kebijaksaaan mengalahkan musuh dalam cerita ini. (Diikuti contoh)

Selain itu, contoh-contoh persoalan berikut juga adalah salah walaupun ungkapan itu bukan nilai. Sebabnya, ungkapan itu hanya satu perkataan sahaja. Persoalan haruslah menyatakan isu dalam karya secara tepat sebagaimana yang ingin disampaikan melalui karya tersebut. Lihat contoh :
Persoalan fitnah terdapat dalam cerpen ini. (Diikuti contoh)
Ada juga persoalan kemiskinan. (Diikuti contoh)
Terdapat persoalan geran tanah dalam novel. (Diikuti contoh)
Persoalan adat turut dipaparkan. (Diikuti contoh)
Turut dipaparkan persoalan kedamaian. (Diikuti contoh)

Sewajarnya, begini yang diujarkan oleh pelajar :
Persoalan fitnah terhadap janda terdapat dalam cerpen ini. (Diikuti contoh)
Ada juga persoalan kemiskinan masyarakat luar bandar. (Diikuti contoh)
Terdapat persoalan penipuan mendapatkan geran tanah dalam novel. (Diikuti contoh)
Persoalan sikap generasi tua yang mementingkan adat turut dipaparkan. (Diikuti contoh)
Turut dipaparkan persoalan inisiatif bagi mewujudkan kedamaian. (Diikuti contoh)