Makluman : Sukatan Baru Kesusasteraan Melayu SPM

Mulai 2015, satu novel dipelajari iaitu Naratif Ogonshoto karya Dato' Anwar Ridhwan. Satu antologi teks moden (sajak, cerpen dan drama) ialah Kubentang Sebuah Peta. Teks karya tradisional pula ialah Nilai Insan.

12 Februari 2014

Sajak Duka Tanah

Duka Tanah
kepedihannya menyusur ke dalam
urat-uratnya
seakan di dalam paru-paru
sedang menyeret nanah luka
dan udara hanyir bersembilu tajam.

Menusuk bersama hujan meluncur
ke lembah
mengikis dan mencalar
kian deras pula kulit batu mengelupas
dan pulang ke tanah, mengheret sisa toksik
dengan deru angin gersang lebih keras
mencakar
dan meragut ikatan mesra.

Inilah duka
yang bertambah duka
berdiam pun duka, menggelongsor pun
duka
di dalam sekepal digenggami saraf-saraf
duka.

Dukamu tanah
lukaku juga, namun akan kupulang jua
ke dalam dukamu
kerana ini adalah asalku.

(a)   Jelaskan tema sajak tersebut.                                                                   [4 markah]
(b)   Huraikan empat gaya bahasa berserta contoh.                                         [8 markah]
(c) Cipta sajak bertemakan keindahan alam sekitar.(12-15 baris).                  [8 markah]

a) Kebanyakan pelajar secara spontan terus membuat satu kesimpulan bahawa tema sajak ini ialah pencemaran tanah atau pencemaran alam sekitar. Pencemaran tanah  ialah salah satu persoalan yang terdapat dalam sajak. Untuk menentukan tema sajak, kita perlu melihat persoalan utama. Seawal rangkap pertama sehinggalah akhir sajak, penyair memusatkan isu terbesar ialah perasaan simpati dan kecewa beliau terhadap pencemaran tanah. Beliau bagaikan merasai penderitaan dan kedukaan tanah yang tercemar. Jelasnya, tema sajak ini ialah perasaan sedih/simpati terhadap pencemaran tanah.

b) Gaya bahasa yang lazim sudah tentu ialah asonansi dan aliterasi. Diksi menarik contohnya, dan meragut ikatan mesra. 
Sinkope. Contohnya, kupulang. Inversi. Contohnya, deru angin. Repitisi kata. Contohnya, duka.

c) Salah satu contoh sajak yang sesuai ialah seperti berikut :

sinar suria di pagi hari
beburung berterbangan bebas
langit biru cerah menawan 
kehijauan sekitar indah bagaikan pesona taman
flora dan fauna menceriakan hari-hariku
segalanya tersenyum tenang dalam alunan damai

mungkinkah selamanya begini keindahan alamku
mengapakah ada tangan-tangan yang sanggup mencakar
tercemarnya alam diratah rakus atas nama pembangunan
desa pun kini berubah wajah
sungai pun mengalir lesu kian pupus ikannya

marilah kita genggam sebuah harapan
lestarikan bumi warisan kita
impian bersama seluruh warga dunia.