Makluman : Sukatan Baru Kesusasteraan Melayu SPM

Mulai 2015, satu novel dipelajari iaitu Naratif Ogonshoto karya Dato' Anwar Ridhwan. Satu antologi teks moden (sajak, cerpen dan drama) ialah Kubentang Sebuah Peta. Teks karya tradisional pula ialah Nilai Insan.

20 Februari 2017

Drama Mat Piah dan Mr. Blackway

a) Jelaskan pemikiran dan persoalan drama.
Pemikiran - Tipu muslihat penjajah terhadap pemerintah dan rakyat. Francis Light menggunakan tipu muslihat untuk mendapatkan Pulau Pinang daripada Sultan Kedah. Inggeris membuat perjanjian dengan Sultan Muhammad Jiwa dan berjanji akan memberikan bantuan ketenteraan kepada kerajaan Kedah daripada serangan Bugis. Namun, pihak Inggeris tidak membantu Kedah apabila Bugis menyerang Kedah.
Persoalan semangat patriotik yang tinggi dlm diri. Mat Piah kecewa dengan sikap pihak Inggeris yg menindas dan merampas hasil bumi tanah air. Persoalan kejujuran terhadap kebenaran. Blackway memberitahu Mat Piah bhw Francis Light sebenarnya menipu Sultan Kedah utk mendapatkan Pulau Pinang. Persoalan sikap tidak menepati janji. Pihak Inggeris tidak menepati janji untuk melindungi Kedah daripada serangan Siam dan Burma.

b) Huraikan nilai murni/kemanusiaan.
Nilai patriotisme.  Mat Piah kecewa dgn penjajah Inggeris yg membuat tipu helah/merampas hasil bumi tanah air. Nilai kejujuran. Blackway memberitahu Mat Piah bhw Francis Light sebenarnya menipu Sultan Kedah utk mendapatkan Pulau Pinang. Nilai keinsafan. Blackway insaf kesalahan pihak Inggeris yg pernah menipu dan menindas orang Melayu.  Nilai kegigihan. Mat Piah gigih bekerja sbg penarik beca untuk menyara kehidupannya.

c) Jelaskan pengajaran.
Kita hendaklah gigih bekerja/mencari rezeki. Mat Piah gigih bekerja sebagai penarik beca. Kita hendaklah mempunyai semangat patriotik. Mat Piah marah atas penipuan pihak Inggeris semasa menjajah tanah air. Kita hendaklah insaf atas kesalahan.  Blackway memohon maaf atas penipuan yang dilakukan pihak Inggeris menindas dan menipu pemerintah Melayu. Kita janganlah mungkir janji/menipu orang lain. Pihak Inggeris menipu dan enggan menepati janji membayar pajakan kepada Sultan Kedah. Kita hendaklah berhati-hati apabila membuat perjanjian/ rundingan dgn pihak lain. Pihak Inggeris pernah menipu perjanjian dgn Sultan Kedah apabila memajak Pulau Pinang.

d) Huraikan unsur sejarah dalam drama.
Watak/tokoh bersejarah. Francis Light dan Sultan Muhammad Jiwa.   Latar tempat bersejarah. Pulau Pinang dan Kedah.             Latar masa bersejarah. Zaman penjajahan Inggeris di Tanah Melayu/ 1786. Peristiwa bersejarah. Peristiwa Francis Light mendapatkan Pulau Pinang daripada Sultan Kedah.

e) Huraikan konflik antara watak dalam drama.     
Konflik antara Mat Piah dan Blackway. Mat Piah kecewa kerana Blackway antara penjajah Inggeris yg menipu untuk mendapatkan Pulau Pinang drp Sultan Kedah. Konflik antara Francis Light dan Sultan Kedah. Francis Light menipu pembesar Melayu dalam mendapatkan Pulau Pinang drp Sultan Kedah.

f) Huraikan perwatakan Blackway.
Seorang yg jujur. Blackway jujur bercerita bhw pihak Inggeris menipu pembesar Melayu untuk mendapatkan hasil. Seorang yg insaf. Blackway insaf kesalahan pihak Inggeris menindas dan kejam kpd orang Melayu. Seorang penipu. Blackway terlibat dengan Francis Light menipu pembesar Melayu dalam mendapatkan Pulau Pinang dp Sultan Kedah. Seorang yg penakut. Blackway ketakutan apabila mendengar mat rempit membuat bising di jalan raya.

g) Huraikan perwatakan Mat Piah.
Seorang yg bijak. Mat Piah penarik beca tetapi boleh bertutur bahasa Inggeris. Seorang yg pemarah.  Mat Piah marah apabila mengetahui peristiwa sebenar bhw pihak Inggeris menggunakan tipu helah untuk mendapatkan Pulau Pinang daripada Sultan Kedah. Seorang yg patriotik. Mat Piah kecewa dengan sikap penjajah yang kejam dan menipu untuk merampas hasil bumi tanah air. Seorang yg gigih bekerja. Mat Piah gigih bekerja sbg penarik beca.

h) Huraikan kritikan sosial/kritikan terhadap masyarakat/gejala negatif dalam drama.
Kritikan thdp masyarakat yg hidup mementingkan keseronokan.  Pada waktu dinihari, ramai lelaki dan perempuan keluar dari hotel berpakaian beragam dan ada yg mabuk. Kritikan thdp masyarakat yg tidak mematuhi undang-undang. Sekumpulan mat rempit menunggang motosikal secara laju di jalan raya dan membahayakan keselamatan mereka. Kritikan thdp masyarakat yang suka menipu. Penjajah Inggeris menggunakan tipu muslihat untuk mendapatkan Pulau Pinang daripada Sultan Kedah. Kritikan thdp masyarakat yg suka mungkir janji. Pihak Inggeris menipu dan enggan menepati janji membayar pajakan kepada Sultan Kedah.         

i) Huraikan latar masa dan latar tempat dlm drama.
Latar Masa : Tahun  1786.  Francis  Light  menandatangani  perjanjian  Inggeris-Kedah  pada  tahun  1786.  Waktu   subuh. Francis  Light  dan  tentera  Inggeris menyerang tentera  Sultan  Abdullah  pada  waktu  subuh. Waktu  dinihari. Mat  Piah  membawa   Blackway  dengan becanya ke  Padang   Kota.  
Latar Tempat : Pulau  Pinang. Francis  Light mendapatkan Pulau Pinang dp Sultan Kedah pada 1786.  Kedah.  Sultan  Muhammad  Jiwa  dan  Sulatan  Abdullah  memerintah negeri  Kedah Padang  Kota  Lama.  Mat  Piah  telah  membawa  Blackway  ke padang  Kota  Lama. 

03 Januari 2017

Drama Anna

a) Jelaskan persoalan dalam drama.
Persoalan semangat patriotik yg tinggi. Zaki pulang utk berbakti kepada negara setelah tamat belajar di England. Persoalan kasih sayang anak thdp ibu. Zaki amat menyayangi ibunya, Mak Munah yg sakit. Persoalan sikap suka membantu orang lain. Dr. Chan menolong merawat mata ibu Zaki. Persoalan tanggungjawab anak kpd ibu.  Zaki prihatin dan bertanggungjawab dalam menjaga ibunya, Mak Munah yg sakit.

b) Huraikan nilai murni dalam drama.
Nilai patriotisme. Zaki mempunyai semangat patriotik dan ingin berusaha mengisi kemerdekaan tanah air. Nilai kasih sayang. Zaki amat menyayangi ibunya, Mak Munah. Nilai tolong-menolong/bantu-membantu. Dr. Chan menolong merawat mata ibu Zaki. Nilai tanggungjawab/keprihatinan. Zaki bertanggungjawab menjaga ibu yang sakit dan menebus semula tanah keluarga yang tergadai. 

c) Jelaskan pengajaran.
Kita hendaklah menyayangi ibu. Zaki menyayangi dan menjaga ibunya yang sakit.  Kita hendaklah bersemangat patriotik. Zaki cinta akan tanah air, kembali selepas belajar di England, untuk berkhidmat kepada negara. Kita hendaklah membantu orang lain. Dr. Chan membantu merawat mata ibu Zaki yg hampir buta. Kita hendaklah memahami budaya masyarakat lain. Anna tidak memahami budaya keluarga suaminya walaupun telah berkahwin selama 4 tahun. 

d) Huraikan binaan plot drama/sinopsis darama.
Permulaan. Anna berada di lapangan terbang menunggu penerbangannya ke England. Anna kecewa kerana beranggapan suaminya, Zaki lebih mengutamakan ibunya daripada Anna sebagai isteri. Perkembangan. Zaki dan Dr. Chan cuba memujuk Anna supaya tidak meninggalkan Zaki dan anaknya, Tina. Kemuncak. Mak Munah juga memujuk Anna supaya tidak meninggalkan Zaki dan menegaskan bahawa Zaki menyayangi Anna. Peleraian. Anna tetap menaiki kapal terbang meninggalkan Malaysia. Dr. Chan meminta Zaki supaya memberikan masa kepada Anna untuk berfikir semula.  

e) Huraikan konflik antara watak.
Konflik antara Anna dan Zaki. Anna kecewa kerana Zaki lebih mengutamakan ibunya, Mak Munah daripada Anna sebagai isteri. Konflik antara Zaki dan Anna. Zaki kecewa kerana Anna ingin meninggalkannya dan Tina, anaknya untuk pulang ke England. Konflik antara Anna dan Mak Munah. Anna berasa kecewa kerana Mak Munah lebih mendapat perhatian dan kasih sayang drp Anna sebagai isteri Zaki.

f) Huraikan perwatakan Zaki.
Seorang yg penyayang. Zaki amat menyayangi ibunya, Mak Munah Seorang yg mengenang jasa. Zaki mengenang jasa ibu yang banyak berkorban utknya supaya dia dapat belajar di England. Seorang yg patriotik. Zaki cinta akan tanah air, kembali selepas belajar di luar negara, untuk berkhidmat kepada negara. Seorang yg bertanggungjawab. Zaki bertanggungjawab menjaga ibu yang sakit.

g) Huraikan perwatakan Anna.
Seorang yg bijak. Anna belajar bidang Ekonomi di universiti. Seorang yg keras hati. Anna tetap meninggalkan Zaki walaupun dipujuk oleh Zaki, Dr. Chan dan Mak Munah. Seorang yg mementingkan diri sendiri. Anna tidak suka sikap Zaki yang lebih mengutamakan ibunya daripada Anna sebagai isteri.

h) Huraikan latar masa drama.
Tahun 1967. Anna ingin pulang ke England meninggalkan Zaki dan anaknya. Zaman komunis. Komunis pernah menyerang dan menyebabkan kematian ibu Anna. Malam. Anna menunggu penerbangannya di lapangan terbang pada waktu malam. 

i) Huraikan latar tempat dlm drama.
Bilik Menanti/Lapangan terbang. Anna menunggu penerbangannya ke England di Bilik Menanti. London. Anna ingin pulang ke London, England. Universiti Cambridge. Zaki belajar pengajian Sejarah di Universiti Cambridge. Kuala Lumpur. Zaki dan ibunya, Mak Munah tinggal di Kuala Lumpur.

j) Huraikan kritikan terhadap masyarakat/kritikan sosial.
Kritikan terhadap anggota masyarakat yg mementingkan diri sendiri. Anna tidak suka sikap Zaki yg lebih mengutamakan ibunya daripada Anna sebagai isteri. Kritikan terhadap anggota masyarakat yg gagal memahami budaya bangsa lain. Anna tidak memahami budaya keluarga suaminya. 


20 Januari 2015

Sajak Citra Pelangi 1Malaysia karya A. Halim Ali

Kita berfikir tentang sejuta mimpi
yang tumbuh rendang
dari lena dari tidur dari sepi malam
mari kita himpunkan angannya
menjadi mentari pagi.

Kita menyulam sejuta jiwa
yang bergetar dalam riak rasa berbeza
menjadi sebuah lagu cinta
lirik perpaduan seni senegara
rentak fikir bersama berpadu
inilah muzik satu hati sejiwa
rumpun pelbagai bangsa satu bahasa
berlagu senada menari langkah sekata.

Kita menghulur jemari hati
menghantar pesan seloka
mengirim diksi dari langit
mantera dari rumpun Melayu
air mawar dari sumur nusantara
satukan menjadi jamu cinta kita
santap dalam pentas terbuka
di anjung pelbagai sejuta budaya
duduk-duduk berlamalah di sini
sambil menganyam citra pelangi di wajah 1 Malaysia
kelak kita menjadi lebih faham
perlunya berfikir dan bertindak
dalam bersatu

berbeza dan berselisih itu boleh
tetapi kemudian bersatu
tanah air kita tiada dua
hanya satu.

Soalan Latihan
1. Huraikan gaya bahasa dalam sajak.
2. Jelaskan nada sajak.
3. Kemukakan tiga persoalan yang diutarakan oleh penyajak.

1. Terdapat metafora. Contohnya, jamu cinta. Juga terdapat diksi indah. Contohnya, berlagu senada menari langkah sekata. Terdapat responsi. Contohnya, mantera dari rumpun Melayu, air mawar dari sumur nusantara. Juga, terdapat kata ganda iaitu duduk-duduk. Ada bahasa istana, contohnya, santap. Juga, terdapat repitisi kata. Contohnya, dari lena dari tidur dari sepi malam. Selain itu, terdapat inversi, iaitu sepi malam. Juga, ada simbolik, contohnya, mentari pagi, yang melambangkan harapan/impian masyarakat yang sama-sama direalisasikan.

2. Nada sajak ialah nada patriotik. Penyajak bersemangat patriotik mengharapkan masyarakat Malaysia bersatu walaupun terdapat perbezaan bangsa dan budaya. Contohnya, sambil menganyam citra pelangi di wajah 1Malaysia.

3. Salah satu persoalan ialah persoalan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum. Contohnya, lirik perpaduan seni senegara. Selain itu, persoalan kepentingan sikap bertolak ansur/bertoleransi dalam masyarakat. Contohnya, berbeza dan berselisih itu boleh, tetapi kemudian bersatu. Juga persoalan usaha bersama bagi merealisasikan impian masyarakat. Contohnya, mari kita himpunkan angannya, menjadi mentari pagi. Terdapat juga persoalan cinta akan tanah air yang tinggi dalam diri. Contohnya, tanah air kita tiada dua, hanya satu.

04 Mac 2014

Latihan Struktur Jeriji Kasih

LATIHAN STRUKTUR JERIJI KASIH

1.  “Astaghfirullahalazim, mengucap Fariz. Bukan sebab itu mama pergi, tapi kerana ajalnya sudah sampai. Sudah lama dia menderita, Fariz sendiri tahu kan? Pelbagai rawatan sudah diikhtiarkan termasuk pembedahan dan kemoterapi. Tetapi, sudah ajalnya meninggal dunia sebelum sempat bertemu ayah, Fariz.” Muka surat 32
a)      Nyatakan dua pengajaran dalam petikan.
b)      Nyatakan dua persoalan dalam petikan.

Jawapan :
 a) Kita hendaklah berusaha berubat apabila sakit. Kita hendaklah reda akan ketentuan takdir.
b) Persoalan usaha merawat atau berubat apabila sakit. Persoalan keredaan akan takdir/qada dan qadar.

 2.  “Nuar sudah berusaha, emak dan adik dah turut berdoa. Selebihnya serahkan pada Allah. Jika dia menghendaki Nuar cemerlang, syukur alhamdulillah, tapi jika sebaliknya, pasrahlah kepada Allah. Pasti ada hikmah disebaliknya. Kembalilah kita kepada qadak dan qadar allah.” Muka surat 37
a)      Nyatakan dua unsur Islam dalam petikan.
b)      Nyatakan dua perwatakan “emak” dalam petikan.

Jawapan : 
a) Unsur Islam - Allah nama Tuhan, kalimah alhamdulillah - ungkapan syukur Islam, konsep qadak dan qadar.
b) Seorang yang yang bersyukur. Seorang yang pasrah.

3. Minggu kedua selepas bercuti panjang, semua murid Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Muzaffar Shah, Lambor Kanan, bersemangat baru. Syarifah Farisya dan Syed Fariz seperti juga murid-murid lain, masing-masing berbasikal untuk ke sekolah. Mereka bertolak seawal-awal 6.45 pagi. Walaupun aktiviti itu begitu baru bagi Syarifah Farisya dan Syed Fariz, namun bagi Syarifah Farisya, dia berasa senang. Meredah kabus dan embun pagi, sesuatu yang menyeronokkannya. Muka surat 47
a)      Nyatakan dua citra masyarakat dalam petikan.
b)      Nyatakan dua latar masa dalam petikan.

Jawapan :

a) Masyarakat yang yang bersemangat. Masyarakat yang mementingkan masa.
b) Waktu pagi. Minggu kedua selepas cuti sekolah.

4.   Azuera tekun dengan buku-buku latihannya. Sejak memperoleh enam ‘A’ tiga ‘B’ dalam Peperiksaan Menengah Rendah tempoh hari, dia semakin bersemangat belajar. Dia mahu menuruti jejak Anuariza yang dicalonkan sebagai tokoh murid dan murid contoh serta murid berakhlak mulia di sekolah itu. Muka 70
a)      Nyatakan dua pengajaran dalam petikan.
b)      Nyatakan dua nilai murni dalam petikan.

Jawapan : 

a) Kita hendaklah mementingkan pelajaran. Kita hendaklah mencontohi kejayaan orang lain.
b) Nilai kegigihan. Nilai berhemah tinggi.

5.  Cikgu Syakinah mengangguk dan tersenyum manis. Guru kaunseling itu terkenal peramah dan bertimbang rasa serta bertindak sebagai pelerai setiap permasalahan yang mengganggu emosi murid di sekolah itu. Dia akan memanggil murid yang telah dikenakan tindakan disiplin, untuk memulihkan semangat mereka. Muka surat 79
a)      Nyatakan dua perwatakan Cikgu Syakinah dalam petikan.
b)      Nyatakan dua peranan Cikgu Syakinah dalam petikan.

Jawapan :

a) Seorang yang peramah. Seorang yang bertimbang rasa.
b) Pelerai masalah pelajar. Pemulih semangat pelajar.

6.  “Berusahalah. Masa depan kita, kita sendiri yang menentukannya. Bukan cikgu, bukan kawan-kawan. Miskin bukan bererti tewas. Semangat dan azamlah, jambatan menuju kejayaan. Benar seperti kata orang tua awak, Azuera dan abangnya orang susah malah anak yatim, tapi mereka berjaya. Kenapa? Kerana azam dan semangat mereka kuat. Mereka memegang prinsip, biar apa orang nak kata, asalkan mereka di pihak yang benar, mereka tidak perlu takut.” Cikgu Syakinah tersenyum lebar. Muka surat 88
a)      Nyatakan dua persoalan dalam petikan.
b)      Nyatakan dua pengajaran dalam petikan.

Jawapan :

a) Persoalan kegigihan dalam mencapai sesuatu. Persoalan kepentingan azam dalam mencapai kejayaan. Persoalan kepentingan prinsip berpegang pada kebenaran.
b) Kita hendaklah gigih berusaha dalam mencapai sesuatu. Kita janganlah lemah semangat walaupun hidup susah/kita orang miskin.


12 Februari 2014

Sajak Duka Tanah

Duka Tanah
kepedihannya menyusur ke dalam
urat-uratnya
seakan di dalam paru-paru
sedang menyeret nanah luka
dan udara hanyir bersembilu tajam.

Menusuk bersama hujan meluncur
ke lembah
mengikis dan mencalar
kian deras pula kulit batu mengelupas
dan pulang ke tanah, mengheret sisa toksik
dengan deru angin gersang lebih keras
mencakar
dan meragut ikatan mesra.

Inilah duka
yang bertambah duka
berdiam pun duka, menggelongsor pun
duka
di dalam sekepal digenggami saraf-saraf
duka.

Dukamu tanah
lukaku juga, namun akan kupulang jua
ke dalam dukamu
kerana ini adalah asalku.

(a)   Jelaskan tema sajak tersebut.                                                                   [4 markah]
(b)   Huraikan empat gaya bahasa berserta contoh.                                         [8 markah]
(c) Cipta sajak bertemakan keindahan alam sekitar.(12-15 baris).                  [8 markah]

a) Kebanyakan pelajar secara spontan terus membuat satu kesimpulan bahawa tema sajak ini ialah pencemaran tanah atau pencemaran alam sekitar. Pencemaran tanah  ialah salah satu persoalan yang terdapat dalam sajak. Untuk menentukan tema sajak, kita perlu melihat persoalan utama. Seawal rangkap pertama sehinggalah akhir sajak, penyair memusatkan isu terbesar ialah perasaan simpati dan kecewa beliau terhadap pencemaran tanah. Beliau bagaikan merasai penderitaan dan kedukaan tanah yang tercemar. Jelasnya, tema sajak ini ialah perasaan sedih/simpati terhadap pencemaran tanah.

b) Gaya bahasa yang lazim sudah tentu ialah asonansi dan aliterasi. Diksi menarik contohnya, dan meragut ikatan mesra. 
Sinkope. Contohnya, kupulang. Inversi. Contohnya, deru angin. Repitisi kata. Contohnya, duka.

c) Salah satu contoh sajak yang sesuai ialah seperti berikut :

sinar suria di pagi hari
beburung berterbangan bebas
langit biru cerah menawan 
kehijauan sekitar indah bagaikan pesona taman
flora dan fauna menceriakan hari-hariku
segalanya tersenyum tenang dalam alunan damai

mungkinkah selamanya begini keindahan alamku
mengapakah ada tangan-tangan yang sanggup mencakar
tercemarnya alam diratah rakus atas nama pembangunan
desa pun kini berubah wajah
sungai pun mengalir lesu kian pupus ikannya

marilah kita genggam sebuah harapan
lestarikan bumi warisan kita
impian bersama seluruh warga dunia.

30 Januari 2013

Sajak Anak Global

ANAK GLOBAL

Gerabak mulai pasang manusia.

Di depanku kerusiku
seorang anak muda
zaman mewah.

Dari jarak jauh dia anak biasa 
pakaiannya mengingat masa
ekonomi belum tersembam
di depan rakyat yang tersentak jatuh.

Dari dekat dia dibintangi
nama dan warna dunia. 
beg sandang kelabu memanjat High Sierra
cermin mata hitamnya dari kompeni Oakley 
baju-t bangganya mengiklan
tempat asalnya,Hard Rock Cace, New York, 
jean Levi’s bernombor siri
Planet Hollywood
sandal dari Adidas
 jam menyembul G- Shock 
dan telefon bimbitnya Nokia.

Aku menanya dalam diri
celana dalamnya pasti dari luar negeri
dan ubat jerawat dibeli
 mengikut arahan iklan mana?

Kucari diri Malaysianya
tapi yang kutemui
kulitnya sehitam tanganku
hidungnya agak penyek 
dan ada bau petai yang memanjat
ke udara kereta api.
namun bahasanya aku tidak mengerti,
dua patah Melayu ditimbun sepuluh inggeris,
dipinjam dari majalah anak muda.

Aku tunduk 
mencari Malaysianya,
yang mungkin terjatuh
ke bawah kerusinya.

 Tapi yang ada hanya habuk sepatu
dan kotoran yang mengelak penyapu.

Sewaktu dia turun di stesen
aku mengeluh
dan murung,
segalanya yang diperjuangkan
oleh ayahnya
diterjemah jadi barangan
konsumer unggul dunia.


Latihan Esei

a) Huraikan nada sajak. (4 markah)
b) Apakah maksud baris berikut:
     segalanya yang diperjuangkan oleh ayahnya diterjemah jadi barangan konsumer unggul dunia. (4 markah)
c) Jelaskan sebab-sebab penyajak kecewa dengan anak muda. (8 markah)
d) Berikan satu contoh gaya bahasa personifikasi dan satu contoh gaya bahasa sinkope dalam sajak. (4 markah)

Jawapan:
a) Nada sajak ialah nada sinis.Penyajak menyindir anak muda Melayu/Malaysia yang mengutamakan/ mengagung-agungkan Barat dari segi jenama pakaian/aksesori dan mengutamakan bahasa Inggeris.

b) Kemerdekaan yang diperoleh oleh generasi lalu diisi dengan gaya kehidupan berasaskan jenama terkenal antarabangsa.

c) Penyajak kecewa kerana anak muda mengutamakan pakaian/aksesori jenama Barat. Juga, kecewa kerana anak muda suka berbelanja mewah. Penyajak juga kecewa kerana anak muda menggunakan bahasa rojak  Melayu-Inggeris. Penyajak turut kecewa kerana anak muda kehilangan identiti/jati diri bangsa/negara. Juga, kecewa dengan sikap anak muda yang kurang patriotik. Akhirnya kecewa dengan anak muda yang tidak menghargai perjuangan ayahnya mendapatkan kemerdekaan/kurang mengerti cara menghargai nilai kemerdekaan.

d) Contoh personifikasi ialah ekonomi belum tersembam. Contoh sinkope ialah tapi.

27 November 2012

Soalan Percubaan SPM Kesusasteraan Melayu 2012 NS



Saya berkongsi Soalan Percubaan Kertas Kesusasteraan Melayu Percubaan SPM NS 2012 di atas. Diharap dapat memberi manfaat kepada semua guru dan pelajar 2215 Sastera Melayu. Boleh dimuat turun dengan klik pada nama fail sahaja.

Saya mohon agar guru-guru dapat berkongsi pula dengan memberikan soalan dan skema jawapan atau soalan sahaja bagi daerah atau negeri masing-masing. Bersama-sama kita membantu pelajar kita sekali gus memartabatkan mata pelajaran Kesusasteraan Melayu. Jika setuju, saya letakkan pula soalan-soalan yang dikirimkan itu di blog ini untuk dikongsi dengan rakan-rakan lain.

Hantar kepada saya e-mel - sasterasmkj@gmail.com.