Makluman : Sukatan Baru Kesusasteraan Melayu SPM

Mulai 2015, satu novel dipelajari iaitu Naratif Ogonshoto karya Dato' Anwar Ridhwan. Satu antologi teks moden (sajak, cerpen dan drama) ialah Kubentang Sebuah Peta. Teks karya tradisional pula ialah Nilai Insan.

20 Januari 2012

Sajak Akar

Sajak  "Akar" karya Hilmi Rindu merupakan sajak yang perlu diberi perhatian. Sajak ini menyuntik kesedaran kepada kita, betapa besarnya peranan ibu bapa dan anak-anak harus memahami hakikat tersebut. Sajak ini memang menarik kerana gaya bahasanya padat sesuai dengan penyusunan idea dan gambaran yang ingin disampaikan oleh penyajak.

AKAR

Ibu bapa adalah akar hidup kita
bukan sekadar tangga untuk naik dan turun
ibu bapa adalah tunjang yang paling dalam
tanpa mereka kita tidak mengenal alam.

Akar bagi pohon adalah penentu kesuburan
meskipun tidak dirasa
akarlah yang mengutuhkan segala
ibu bapa bagi kita adalah penentu kewujudan
meskipun tidak dikenang
merekalah yang menyempurnakan jalan.

Anak-anak yang dikasihi
kasihilah ibu bapa sebagaimana mereka
mengasihi
sayangilah ibu bapa sebagaimana mereka
menyayangi
mereka tidak meninggalkan sedikit pun
kecuali rasa kasih sayang mereka
terhadap kita.

Ibu bapalah akar dalam kehidupan
yang meneguhkan pohon di mana pun
tempat tumbuh
rapuh akar maka rapuhlah hidup kita
mereka bukanlah sekadar tangga atau titian
mereka malah memberi tanpa mengharap
balasan.

Analisis Sajak
a) Gaya bahasa sajak.
Gaya bahasa pengulangan kata dimanfaatkan dengan ketara. Terdapat anafora (pengulangan kata pada awal baris), responsif (pengulangan kata pada tengah baris) dan repitisi (pengulangan kata).
Anafora - cth :
mereka bukanlah sekadar tangga atau titian
mereka malah memberi tanpa mengharap

Responsif - cth :
kasihilah ibu bapa sebagaimana mereka
mengasihi
sayangilah ibu bapa sebagaimana mereka
menyayangi

Repitisi kata- cth : rapuh akar maka rapuhlah hidup kita
Simbolik - cth : Akar, tangga, titian
Perbandingan terus - cth : Ibu bapa adalah akar hidup kita
Saya percaya pelajar tahu mengapa contoh itu bukan simile. Tentu sahaja kerana perkataan bandingan adalah yang digunakan bukannya, umpama, bak, atau seperti.

b) Tema sajak
Ada yang menganggap tema sajak itu ialah kasih sayang dan pengorbanan ibu bapa dalam membesarkan anak. Kita perlu mendalami emosi dan motif penyajak melalui cara penyampaiannya yang mengharapkan kita memahami hakikat kasih sayang dan pengorbanan ibu bapa dan seterusnya, menghargai mereka. Maka, tema yang tepat ialah penghargaan atau sanjungan terhadap kasih sayang dan pengorbanan ibu bapa dalam membesarkan anak-anak.

c) Kemukakan nilai dalam sajak.
Nilai kasih sayang (kecuali rasa kasih sayang mereka), nilai tanggungjawab (merekalah yang menympurnakan jalandan nilai murah hati (mereka malah memberi tanpa mengharap balasan) jelas mendasari sajak ini.

20 Disember 2011

Teknik Menjawab Persoalan Siri 1

Salah satu kelemahan calon ialah menjawab soalan tentang persoalan karya. Misalnya, persoalan dalam novel, cerpen atau drama. Salah satu kesilapan utama calon ialah menjawab persoalan sebagai nilai murni atau nilai kemanusiaan. Bagaimanakah contoh kesilapan yang lazim? Kita lihat contoh di bawah.

Terdapat persoalan kasih sayang dalam novel ini. (Diikuti contoh)
Persoalan ketabahan dipaparkan dalam cerpen. (Diikuti contoh)
Pengarang memaparkan persoalan sikap prihatin dalam drama ini. (Diikuti contoh)
Ada juga, persoalan kebijaksanaan dalam cerita ini. (Diikuti contoh)

Kesemua jawaban di atas adalah salah. Sebabnya, nilai kasih sayang, nilai kerajinan, nilai prihatin dan nilai kebijaksanaan yang dinyatakan. Nilai bukannya persoalan. Sepatutnya, persoalan lebih jelas dan berbentuk frasa. Contohnya:

Terdapat persoalan kasih sayang antara anak dan ibu bapa dalam novel ini. (Diikuti contoh)
Persoalan ketabahan menghadapi cabaran hidup dipaparkan dalam cerpen. (Diikuti contoh)
Pengarang memaparkan persoalan sikap prihatin guru terhadap muridnya. (Diikuti contoh)
Ada juga, persoalan kebijaksaaan mengalahkan musuh dalam cerita ini. (Diikuti contoh)

Selain itu, contoh-contoh persoalan berikut juga adalah salah walaupun ungkapan itu bukan nilai. Sebabnya, ungkapan itu hanya satu perkataan sahaja. Persoalan haruslah menyatakan isu dalam karya secara tepat sebagaimana yang ingin disampaikan melalui karya tersebut. Lihat contoh :
Persoalan fitnah terdapat dalam cerpen ini. (Diikuti contoh)
Ada juga persoalan kemiskinan. (Diikuti contoh)
Terdapat persoalan geran tanah dalam novel. (Diikuti contoh)
Persoalan adat turut dipaparkan. (Diikuti contoh)
Turut dipaparkan persoalan kedamaian. (Diikuti contoh)

Sewajarnya, begini yang diujarkan oleh pelajar :
Persoalan fitnah terhadap janda terdapat dalam cerpen ini. (Diikuti contoh)
Ada juga persoalan kemiskinan masyarakat luar bandar. (Diikuti contoh)
Terdapat persoalan penipuan mendapatkan geran tanah dalam novel. (Diikuti contoh)
Persoalan sikap generasi tua yang mementingkan adat turut dipaparkan. (Diikuti contoh)
Turut dipaparkan persoalan inisiatif bagi mewujudkan kedamaian. (Diikuti contoh)

22 November 2011

Senarai Nama Sasterawan Negara sehingga 2017


1. 1981 : Kamaluddin Muhamad atau Keris Mas
2. 1982 : Prof. Emeritus Dato' Dr. Shahnon Ahmad
3. 1983 : Datuk Dr. Usman Awang
4. 1986 : Datuk Dr. A. Samad Said
5. 1988 : Muhammad Dahlan bin Abdul Biang atau Arena Wati
6. 1991 : Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh
7. 1993 : Datuk Noordin Hasan
8. 1996 : Datuk Abdullah Hussain
9. 2001 : S. Othman Kelantan atau Dr. Syed Othman Syed Kelantan
10. 2009 : Dato' Dr. Anwar Ridhwan
11. 2011 : Datuk Dr. Ahmad Kamal Abdullah (Kemala)
12. 2013 : Datuk Hj. Baharuddin Zainal
13. 2014: Datuk Dr. Zurinah Hassan

06 September 2011

Soalan Percubaan SPM Kesusasteraan Melayu Negeri Sembilan 2011

 Telah pun selesai Kertas Percubaan Kesusasteraan Melayu N. Sembilan bagi tahun 2011. Diharap rakan-rakan guru di seluruh negara dapat pula berkongsi kertas percubaan negeri anda. Sila nyatakan URL/blog atau e-melkan kepada saya, sasterasmkj@gmail.com.
 Soalan Sastera MELAYU 2011 Percubaan Spm

21 Ogos 2011

Sajak Keberangkatan Ayah

Sajak karya Ratna Laila Shahidin ini memang menarik kerana ia mendapat hadiah utama sayembara dan panel sayembara menganggap sajak ini sama hebat dengan sajak Ke Makam Bonda karya SN Datuk Usman Awang. Nilai kasih sayangnya begitu kuat dan diperteguh dengan nilai ketuhanan. Isi sajak dan gaya bahasa sajak cukup menggetarkan perasaan.

Saat itu ayah pun berangkat
dengan mata pejam dan wajah tenang
meski selaut sedih bergelombang di dada
kami akur juga akhinya
kecintaan-Nya melebihi segala cinta

Setiap subuh rindu kami bergetar
pada bunyi telapak kasut ayah
mengejar subuh di surau sepi di kampung kami
pun kami akhirnya mengerti
kerinduan ayah pada-Nya melebihi
segala rindu

Pada saat keberangkatan itu
kami yakin perjalanan ayah lebih mudah
kerana ayah punya isteri tabah
dan anak menantu yang pasrah
mengiringi ayah kebaikan yang mewangi
di setiap cebisan pandan bertaburan
di atas pusara.

Meski ayah telah berangkat pulang
dia tetap di hati kami
dingin dahi ayah waktu kukucup
mudah-mudahan sesejuk itulah pusara ayah
penuh lapang dan bercahaya indah

Ayah, selamat bertemu Allah
semoga bertemu di syurga-Nya


1. Huraikan nada sajak (4 markah)
2. Huraikan tema sajak. (4 markah)
3. Huraikan gaya bahasa sajak. (8 markah)
4. Jelaskan tiga nilai murni dalam sajak (6 markah)

1. Nada romantis. Penyajak mengenang saat kematian ayahnya yang amat disayangi.
2. Tema sajak ialah kasih sayang seorang anak terhadap bapa. Ia menggambarkan sikap dan perasaan penyajak pada hari ayahnya meninggal dunia. Contohnya, Meski ayah telah berangkat pulang, dia tetap di hati kami.
3. Selain asonansi dan aliterasi, terdapat gaya bahasa berikut :
a) hiperbola - selaut sedih bergelombang di dada
b) inversi - dingin dahi ayah
c) personifikasi - mengiringi ayah kebaikan yang mewangi
d) anafora - di setiap cebisan pandan bertaburan
di atas pusara
4. Nilai murni : kasih sayang, ketabahan.
Nilai kasih sayang - dia tetap di hati kami
Nilai ketabahan - kerana ayah punya isteri yang tabah

30 Mei 2011

Hikayat Seri Kelantan Siri 2 - Contoh Soalan Esei

Berdasarkan cerita Hikayat Seri Kelantan :
(a)   Jelaskan lima latar masyarakat dalam cerita tersebut.    [10 markah]
(b)   Berikan dua sebab Siam menyerang Kerajaan  Sultan Abdullah.  [4 markah]
(c)   Jelaskan tiga unsur kehebatan Tuan Puteri Sa’dung.  [6 markah]

Skema Jawapan
a)  latar Masyarakat
i. Masyarakat istana  1 markah
Cth : Raja Ibrahim/ Puteri Sa’dung/Sultan Abdullah    1 markah
ii.Masyarakat yang mempercayai bomoh/nujum/taib    1 markah
Cth : Raja Siam memanggil bomoh-bomoh untuk
mengubati penyakit kayap dada Raja Siam.        1 markah
iii. Masyarakat yang terlalu mengikut nafsu        1 markah
Cth : Raja Abdullah memancung leher Puteri Sa’dung kerana marah /Raja Siam menyerang
Kota Jelasin  kerana inginkan Puteri Sa’dung     1 markah   
iv. Masyarakat yang setia/menjaga maruah             1 markah
Cth :  Puteri Sa’dung tidak mahu bersuamikan
Raja Siam kerana dia isteri Raja Abdullah        1 markah
v.Masyarakat bawahan           1 markah
Cth : Tentera /hulubalang/ rakyat jelata     1 markah
                                    
b)Nyatakan dua sebab Siam menyerang kerajaan Raja Abdullah
i.Ingin memiliki Puteri Sa’dung/membawa Puteri Sa’dung ke Siam   2 markah
ii.Utusan Siam dimalukan oleh Raja Abdullah    2 markah

c)Jelaskan tiga unsur kehebatan Tuan Puteri Sa’dung
i.Kehebatan bermain senjata        2 markah
ii.Jampi serapah /serampah pinang Puteri Sa’dung menyebabkan penyakit kayap di dada Raja Siam       2 markah
iii.Dapat memindahkan Kota Jelasin semasa dikepung tentera Siam    2 markah
iv.Hidup semula setelah disapukan air mawar    2 markah

Technorati Code - BPVVGM92VN4R

25 Mac 2011

Hikayat Seri Kelantan Siri 1 - Struktur dan Esei

BAHAGIAN SATU (SOALAN STRUKTUR)
1.Itulah Raja yang memerintah negeri, terlalu besar kerajaannya. Maka Encik Siti tiada beranak dan berlaki Adapun nama negeri pada masa itu Tanah Serendah Kebun Bunga Cerangtegayung.
Maka lepas daripada simpan serta dikuburkan itu, lalu turunlah pula ke perahu mudik ikut sungai itu lalu sampai Pekalang Gaung.
Maka lalu orang ramai- ramai pun muafakat hantar Tuan Puteri Sa’dung naik ke Bukit Marak itu.
Maka Tuan Puteri Sa’dong itu dipanggil orang kampung di situ; oleh orang ramai- ramai pergilah. Lalu Tuan Puteri Sa’dung pun suruh orang ramai- ramai itu bawa pergilah tanam di Tambak.

Berdasarkan petikan di atas, nyatakan latar tempat yang terlibat dalam Hikayat Seri Kelantan.  (4 markah)

2.Maka Sultan Abdullah tidak peduli seperti kehendak Tuan Puteri Sa’dung itu. Maka tiada berapa lamanya lalu berbalah Tuan Puteri Sa’dung itu dengan Sultan Abdullah. Maka berkelahilah keduanya itu. Maka Sultan Abdullah pun naiklah kemarahan yang amat sangat kepada Tuan Puteri Sa’dung itu serta diambil pedang lalu dipancung, kenalah leher Tuan Puteri Sa’dung itu.
(dipetik daripada prosa Melayu Tradisional   Hikayat Seri Kelantan teks Seuntai Kasih Secebis Harapan)

Berdasarkan petikan di atas, tuliskan perwatakan Sulatan Abdullah beserta contoh.
(4 markah)

3. Maka tatkala itu sekalian kelanggaran pun mustaidlah semuanya, lalu raja- raja dan menteri hulubalang dan askar sekalian pun menujulah jalan sebelah selatan itu. Maka berjalanlah sekalian itu. 
(dipetik daripada prosa Melayu Tradisional   Hikayat Seri Kelantan teks Seuntai Kasih Secebis Harapan)
Berdasarkan petikan di atas, berikan gaya bahasa beserta contoh.  (4 markah)

4.    “Demikian lagi adinda mendengar daripada orang tua- tua, demikianlah katanya; hutang budi dibayar budi hutang darah dibayar darah hutang malu dibayar malu hutang mati dibayar mati. Tetapi adinda ini tiada upaya hendak membalas budi kekanda kerana paduka adinda ini seorang perempuan yang tiada berguna kepada orang. MAka mujurlah segala sekalian inang dayang tolong hidupkan, jikalau inang dayang tidak tolong, tetntu mati tiada boleh pandang mata paduka kekanda ini lagi”
(dipetik daripada prosa Melayu  Tradisional   Hikayat Seri Kelantan teks  Seuntai Kasih Secebis Harapan)
Apakah nilai yang terdapat dalam petikan di atas?   (4 markah)

BAHAGIAN DUA (SOALAN ESEI)
1.“Hai sekalian inang dayang pengasuh Tuan Puteri Sa’dung janganlah kamu teriak menangis kerana Tuan kamu telah mati. Apalah kesudahan kamu sekalian tiada simpan Tuan kamu itu jikalau kamu duduk menangis; adakah masakan hidup lagi?
(dipetik daripada prosa Melayu Tradisional   Hikayat Seri Kelantan teks  Seuntai Kasih Secebis Harapan)
Berdasarkan petikan di atas:
i)Siapakah penutur dalam petikan tersebut?      2 markah)
ii)Apakah yang berlaku selepas dialog tersebut dituturkan?  (8 markah)

2.Huraikan watak dan perwatakan Tuan Puteri Sa’dung dalam cerita Hikayat Seri Kelantan.  (10 markah)

SKEMA JAWAPAN

JAWAPAN SOALAN STRUKTUR

1)Latar Tempat:
i)Tanah Serendah Kebun Bunga Cerangtegayung.
ii)Pekalang Gaung.
iii)Bukit Marak
iv)Tambak.

2)Perwatakan Sultan Abdullah:
i)Pemarah contohnya dia memarahi Tuan Puteri Sa’dung dengan suara yang kuat walaupun dia mengetahui bahawa Tuan Puteri Sa’dung tidak bersalah.
ii)Kejam contohnya dia memancung kepala Tuan Puteri Sa’dung sehingga terputus dua walaupun Tuan Puteri Sa’dung adalah isterinya.

3)Gaya bahasa:
i)Kata ganda contohnya raja- raja.
ii)Penggunaan perkataan asing iaiatu bahasa Arab contohnya mustaidlah.

4)Nilai yang terdapat dalam petikan:
i)tolong menolong contohnya inang dan dayang- dayang telah menolong menghidupkan Tuan Puteri Sa’dung yang dibunuh oleh Sultan Abdullah.
ii)membalas budi contohnya Tuan Puteri Sa’dung sentiasa mengenang dan mahu membalas budi Sultan Abdullah tetapi dia tidak menyangka bahawa Sultan Abdullah sanggup mengkhianatinya dan membunuhnya.

JAWAPAN SOALAN ESEI

1)i)  Penutur dalam petikan ialah Sultan Abdullah.
iii)Selepas dialog tersebut dituturkan, semua inang dayang pengasuh berjumpa dan bermesyuarat untuk mencari jalan menghidupkan kembali Tuan Puteri Sa’dung. Mereka sangat terkejut tindakan Sultan Abdullah yang sanggup memancung kepala Tuan Puteri Sa’dung  sehingga putus dua. SAlah seorang dariapda inang dayang pengasuh berkata bahawa sebelum Encik Siti meninggal dunia, dia telah mengurniakan kesaktian kepada Tuan Puteri Sa’dung sebagai pertahanan apabila dia ditimpa bencana. Mereka terus berfikir di manakah kesaiktian tersebut disembunyikan. Inang yang busu  tiba- tiba teringat akan kata – kata Tuan Puteri Sa’dung semasa hayatnya. Tuan Puteri SA’dung menyatakan bahawa sekiranya dia mati berdarah, dia menyuruh supaya diambilkan satu jembul di dalam sanggul Tuan Puteri dan sirami jembul itu dengan air mawar kerana ia mampu menyembuhkan luka dan mencantumkan anggota yang telah terputus.

2)Watak dan perwatakan Tuan Puteri Sa’dung ialah
i)Tuan Puteri merupakan watak utama dalam cerita Hikayat Seri Kelantan.
ii) wataknya ialah watak protagonis.
 seorang yang patuh kepada arahan contohnya dia sanggup berkahwin dengan Sultan Abdullah dengan arahan Encik Siti walaupun Tuan Puteri tidak mengenali hati budi Sultan Abdullah.
iii)seorang yang berani contohnya dia sanggup menentang Sultan Abdullah dan membunuhnya kerana Sultan Abdullah telah menduakannya tanpa pengetahuan Tuan Puteri.
iv)seorang yang bermurah hati contohnya selepas kemangkatan Sultan Abdullah, Tuan Puteri telah memberikan istana kepunyaannya kepada isteri muda Sultan Abdullah dan Tuan Puteri telah berpindah ke Bukit Marak.
v)seorang yang penyayang contohnya Tuan Puteri sangat menyayangi inang dan dayang- dayang pengasuhnya kerana mereka sanggup menolong dan membantu Tuan Puteri semasa dalam kesusahan.