Makluman : Sukatan Baru Kesusasteraan Melayu SPM

Mulai 2015, satu novel dipelajari iaitu Naratif Ogonshoto karya Dato' Anwar Ridhwan. Satu antologi teks moden (sajak, cerpen dan drama) ialah Kubentang Sebuah Peta. Teks karya tradisional pula ialah Nilai Insan.

23 Oktober 2009

Jenis Watak dalam Karya

Dalam sesebuah novel, banyak watak yang dipaparkan oleh pengarang. Watak-watak tersebut berperanan untuk menghidupkan dan mengembangkan cerita. Pada umumnya, terdapat dua jenis watak yang diketengahkan dalam novel, iaitu watak utama dan watak sampingan. Watak utama dan watak sampingan itu pula boleh dikelaskan kepada beberapa jenis, berdasarkan peranan yang dimainkan oleh watak-watak tersebut dalam cerita.

1. Watak Utama

Watak utama ialah watak yang memainkan peranan utama dalam cerita. Dalam sesebuah cerita, pengarang banyak menumpukan penceritaannya terhadap watak utama kerana watak inilah menjadi fokus dalam cerita dan menjadi penggerak utama cerita.

Watak utama biasanya diberi peranan oleh pengarang sebagai watak protagonis atau antagonis.

Watak Protagonis

Watak utama yang menonjolkan sifat-sifat baik. Biasanya watak ini menggerakan cerita ke arah keadaan yang positif. Contohnya, watak Rimpa dalam Novel Terminal Tiga.

Watak antagonis

Watak utama yang sering menimbulkan konflik dan menentang watak protagonis. Contohnya, watak Pak Soh dalam Novel Mereka Yang Tertewas.

Watak bulat/bundar

Watak utama yang dibangunkan secara keseluruhannya. Dia digambarkan memiliki sifat manusia biasa dalam kehidupan harian, iaitu tidak sepenuhnya jahat dan tidak pula sepenuhnya baik. Sifat-sifat yang dimilikinya berubah-ubah dan tidak dapat diramal oleh pembaca.

Kadangkala pembaca akan terperanjat dengan tindakan yang tidak disangka-sangka, dilakukan oleh watak berkenaan. Misalnya, watak A, digambarkan baik atau sebaliknya (jahat) pada peringkat awal cerita. Tetapi, tanpa diduga oleh pembaca tindakan watak tersebut berubah. Misalnya, watak Rimpa dalam Novel Terminal Tiga.

Watak Dinamik

Watak dinamik sinonim dengan watak bulat. Tingkah lakunya boleh berubah-ubah sama ada dalam situasi yang kurang baik kepada yang lebih baik atau sebaliknya. Watak ini degambarkan penuh bertenaga dan biasanya mengalami perubahan mengikut perkembangan cerita. Contohnya, watak Rimpa dalam Novel Terminal Tiga.

Watak Pipih

Watak yang tidak dibangunkan secara keseluruhannya sebagaimana watak bulat. Watak ini diperkenalkan oleh pengarang melalui sesuatu aspek peribadinya sahaja. Misalnya, kalau seseorang watak itu diberi peranan jahat, kita hanya berhadapan dengan tindak-tanduknya yang negatif sahaja di sepanjang cerita.

Jelasnya, Pembaca tidak lagi terkejut dengan tindak-tanduk watak tersebut kerana pembaca telah dapat mengagak sebarang kemungkinan yang akan dilakukannya berdasarkan sifat peribadi yang dimilikinya. Biasanya, terdapat dua kategori watak pipih yang dipaparkan oleh pengarang cerita, iaitu:

a. Watak pipih yang berpihak kepada protagonis.

Contohnya, Watak Jemilah, Pudin, Mat Yassin dan Uda Puat dalam Novel Mereka Yang Tertewas, berpihak kepada Lebai Pa.

b. Watak pipih yang berpihak kepada antagonis.

Watak-watak ini cenderung berpihak kepada antagonis. Contohnya, Watak Khatijah dan Kidam dalam Novel Mereka Yang Tertewas, berpihak kepada Pak Soh.

Watak Statik

Watak yang tidak mengalami sebarang perubahan mengikut arus perkembangan cerita. Ia digambarkan terus dengan pendiriannya atau tingkah laku yang ditonjolkannya dari awal hingga akhir cerita. Contohnya, Watak Mat Yassin dalam Mereka Yang Tertewas.

2. Watak Sampingan

Watak-watak pembantu yang ditimbulkan oleh pengarang dalam cerita untuk menyokong tindak-tanduk watak utama. Watak-watak ini diwujudkan sebagai pelengkap cerita. Watak ini kadangkala bergerak seiring dengan watak utama dalam cerita.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan