Makluman : Sukatan Baru Kesusasteraan Melayu SPM

Mulai 2015, satu novel dipelajari iaitu Naratif Ogonshoto karya Dato' Anwar Ridhwan. Satu antologi teks moden (sajak, cerpen dan drama) ialah Kubentang Sebuah Peta. Teks karya tradisional pula ialah Nilai Insan.

27 November 2012

Soalan Percubaan SPM Kesusasteraan Melayu 2012 NS



Saya berkongsi Soalan Percubaan Kertas Kesusasteraan Melayu Percubaan SPM NS 2012 di atas. Diharap dapat memberi manfaat kepada semua guru dan pelajar 2215 Sastera Melayu. Boleh dimuat turun dengan klik pada nama fail sahaja.

Saya mohon agar guru-guru dapat berkongsi pula dengan memberikan soalan dan skema jawapan atau soalan sahaja bagi daerah atau negeri masing-masing. Bersama-sama kita membantu pelajar kita sekali gus memartabatkan mata pelajaran Kesusasteraan Melayu. Jika setuju, saya letakkan pula soalan-soalan yang dikirimkan itu di blog ini untuk dikongsi dengan rakan-rakan lain.

Hantar kepada saya e-mel - sasterasmkj@gmail.com.

10 Mei 2012

Teknik Menjawab Persoalan Siri 2

Ada pelajar yang menjawab seperti berikut :
1. Persoalan seorang anak yang insaf menderhaka kepada ibu bapa.
2. Persoalan seorang ibu tunggal yang gigih menyara hidup keluarga.
3. Persoalan rakyat yang patuh kepada raja.
4. Persoalan masyarakat yang bertindak melanggar undang-undang.
5. Persoalan mat rempit yang mengganggu ketenteraman.

Apakah kesilapan yang dilakukan? Ya, perkataan seorang. atau ganti nama. Kata seorang atau ganti nama itu kita gunakan apabila menghuraikan perwatakan watak. Persoalan bukan watak. Persoalan merujuk isu yang diutarakan dalam karya. Maka, isu yang perlu dinyatakan dahulu. Oleh itu, pelajar seharusnya menulis seperti berikut :
1. Persoalan keinsafan anak yang derhaka terhadap ibu bapa.
2. Persoalan kegigihan ibu tunggal menyara keluarga.
3. Persoalan ketaatan rakyat kepada raja.
4. Persoalan tindakan yang melanggar undang-undang.
5. Persoalan masalah mat rempit yang mengganggu ketenteraman.

Kata kerja juga bukan menggambarkan isu atau persoalan tetapi kata nama. Bagaimanapun, adakalanya ada kata kerja juga boleh berdiri sebagai kata nama. Contohnya : cinta. Persoalan cinta akan tanah air diterima kerana dalam bahasa Melayu normatif, jarang kita tulis kecintaan akan tanah air. Begitu juga, dalam bahasa Melayu normatif, jarang kita temukan persoalan penepatian janji, maka frasa persoalan menepati janji diterima. Berikut ialah contoh-contoh lazim yang boleh menjadi panduan pelajar.

1. Persoalan menghormati tetamu. (kurang tepat)
Persoalan amalan menghormati tetamu.(tepat)
2. Persoalan berjudi dalam masyarakat (kurang tepat)
Persoalan perjudian /aktiviti judi dalam masyarakat (tepat)
3. Persoalan menzalimi orang miskin. (kurang tepat)
Persoalan kezaliman terhadap orang miskin. (tepat)

Begini juga, tepat apabila isu yang diutarakan oleh karyawan melibatkan sebab-akibat.
4. Persoalan penderitaan hidup akibat kemiskinan.(tepat)
5. Persoalan kemusnahan alam sekitar akibat pembangunan. (tepat)


24 April 2012

Seloka Pak Kaduk

Aduhai malang Pak Kaduk,
Ayamnya menang kampung tergadai,
Ada nasi dicurahkan,
Awak pulang kebuluran,
Mudik menongkah surut,
Hilir menongkah pasang,
Ada isteri dibunuh,
Nyaris mati oleh tak makan,
Masa belayar kematian angin,
Sauh dilabuh bayu berpuput,
Ada rumah bertandang duduk,

Rumah runtuh awak menumpang.

Soalan Latihan.
1. Huraikan nasib malang Pak Kaduk dalam seloka di atas. (10 markah)
2. Huraikan pengajaran seloka. (8 markah)
3. Jelaskan persoalan dalam puisi (8 markah)
4. Huraikan unsur-unsur sindiran dalam seloka. (4 markah) 

Jawapan 
1. Pak Kaduk bernasib malang apabila ayamnya menang tetapi kampungnya tergadai kerana ditipu. Malang juga, apabila ia kebuluran apabila pulang ke rumah kerana nasinya telah dibuang.  Bertambah malang  pula, dia mengalami kesusahan mengayuh perahu. Sewaktu menaiki sampan ke hulu/mudik di sungai, dia terpaksa menongkah air surut. Semasa ke hilir pula, dia terpaksa menongkah air pasang. Pak Kaduk juga bernasib malang kerana sewaktu belayar, angin tidak bertiup langsung tetapi apabila tiba di pangkalan, barulah terdapat angin bertiup. Juga malang. apabila rumahnya runtuh lalu terpaksa menumpang di rumah orang.
(Nota : Jawapan malang kerana a)  isteri dibunuh dan  b) bertandang duduk di rumah orang tidak diterima).
2. Kita hendaklah menjauhi amalan judi/ Kita janganlah berjudi/ Kita haruslah mengelakkan berjudi kerana membawa kerugian. Cth : Ayamnya menang kampung tergadai, Kita haruslah bertindak secara bijaksana supaya tidak menyusahkan diri sendiri/menyesal kemudian. Cth : Ada nasi dicurahkan, Awak pulang kebuluran/Ada isteri dibunuh, Kita haruslah reda/sabar dengan nasib/ketentuan/takdir. Cth : Masa belayar kematian angin. Kita haruslah merancang sebelum melaksanakan sesuatu perkara. Cth : Hilir menongkah pasang. Seorang suami hendaklah menyayangi/menjaga isterinya. Cth : Ada isteri dibunuh.
3. Salah satu persoalan seloka ini ialah keburukan amalan berjudi/sabung ayam. Cth : Ayam menang kampung tergadai. Terdapat juga persoalan sikap manusia yang bertindak secara melulu/emosional. Cth : Ada nasi dicurahkan/Ada isteri dibunuh. Persoalan nasib malang dalam kehidupan juga dipaparkan. Cth : Aduhai malang Pak Kaduk. Terdapat juga persoalan penipuan sesama manusia. Cth: Ayamnya menang kampung tergadai. Juga, persoalan sikap manusia yang terlalu yakin/optimis mendapatkan sesuatu yang belum pasti. Cth : Ada nasi dicurahkan, Awak pulang kebuluran. Juga persoalan kepentingan sikap reda/sabar dalam menghadapi dugaan/nasib. Cth: Masa belayar kematian angin.
4. Terdapat unsur sindiran terhadap manusia yang suka berjudi sehingga mengorbankan harta/tanah/kampung. Cth : Ayam menang kampung tergadai. Juga unsur sindiran terhadap manusia yang terlalu yakin akan mendapat sesuatu yang belum pasti. Cth : Ada nasi dicurahkan. Terdapat juga unsur sindiran terhadap manusia yang bertindak secara melulu/emosional. Cth: Ada isteri dibunuh. 

26 Mac 2012

Cerpen Anak-Anak Suria

Cerpen Zaharah Nawawi ini mengundang rasa terkejut dalam kalangan pelajar apabila didapati bahawa Suria sebenarnya ialah kucing peliharaan Amanani dan Hakim. Pada permulaan cerpen, pembaca menyangka bahawa Suria ialah anak kandung Amanani dan Hakim kerana cara mereka menjaga dan melayan Suria serta respons Suria yang sangat manja. Kejutan juga apabila mendapati Ayu, pembantu rumah mereka yang sangat prihatin dan penyayang, rupa-rupanya membunuh anak-anak Suria iaitu Manja, Bayu, Didi. Soalan yang tidak terjawab hingga ke akhir ialah motif Ayu berbuat demikian.

1. Jelaskan tema cerpen.
2. Huraikan persoalan-persoalan cerpen.
3. Jelaskan nilai murni dalam cerpen.
4. Berikan teknik suspens dan teknik kejutan dalam cerpen.

Perbincangan jawapan

Sebelum membincangkan jawapan, wajar dilihat isi cerpen ini yang menjurus kepada penekanan kasih sayang yang amat tinggi kepada haiwan sejak mula ke akhir cerpen. Watak antagonis cerpen iaitu Ayu ditonjolkan sebagai manusia yang kejam, sanggup membunuh kucing-kucing jagaannya padahal di hadapan Amanani dan Hakim, dia amat penyayang terhadap haiwan. Aspek undang-undang haiwan turut dinyatakan tentang hukuman terhadap sesiapa yang berlaku kejam terhadap haiwan. Maka, jelas isu utama ialah kasih sayang manakala sikap manusia yang suka berpura-pura, kekejaman manusia terhadap haiwan dan hak haiwan di sudut undang-undang ialah isu sampingan

1.Tema cerpen ialah kasih sayang manusia terhadap haiwan. Amanani dan Hakim amat menyayangi Suria, kucing peliharaan mereka bagaikan anak sendiri.

2. Persoalan kekejaman manusia terhadap haiwan. Ayu sanggup membunuh anak-anak kucing majikannya dengan cara melemaskannya dalam plastik dan membuangnya ke tong sampah. Juga, persoalan sikap manusia yang suka berpura-pura iaitu Ayu yang tidak jujur menjaga kucing-kucing tuannya. Ia berpura-pura penyayang terhadap kucing di hadapan majikannya sahaja. Persoalan kekejaman manusia terhadap haiwan. Ayu berlaku kejam dengan membunuh anak-anak kucing seperti Manja dan Bayu.

3. Nilai kasih sayang. Nilai prihatin. Nilai kejujuran. (Contoh huraian boleh diambil seperti dalam soalan 2)

4. Teknik suspens dapat dilihat pada peristiwa Amanani mendengar bunyi kucing dari tong sampah. Pembaca tertanya-tanya akan perkara sebenar yang sedang berlaku. Teknik kejutan pula pada peristiwa pengakuan Ayu bahawa ia yang membuang anak kucing ke tong sampah. pembaca berasa terkejut kerana tidak menyangka bahawa Ayu yang penyayang sanggup berbuat demikian.



19 Mac 2012

Sajak Di Dada Mereka Ada Khalid

DI DADA MEREKA ADA KHALID

Mereka tak pernah mengimpikan puja sanjung
dan nama menggunung
di dada mereka ada khalid
di tangan mereka pedang keberanian
di hati mereka berkubu keyakinan
seorang mati seribu lagi bingkas
mengipas bara perjuangan.

Perjuangan suci tak pernah tunduk
pada igau kematian
mati hanya mampu menumpaskan pengecut
hidup hanya bererti buat yang berani
biar seribu tahun
perjuangan luhur jalannya berlumpur.

Di dada mereka ada khalid
singa garang di padang juang
setiap hari akan mereka nantikan
musuh pulang mengusung walang
musuh walang mengusung keranda teman.

Shahrunizam Abd. Talib

(a) Huraikan tema sajak. [4 markah]
(b) Jelaskan dua ciri pejuang dalam sajak. [4 markah]
(c) Huraikan empat gaya bahasa berserta contoh. [8 markah]
(d) kemukakan nada sajak. [4 markah]

a. Tema sajak ialah sanjungan atau penghargaan terhadap semangat perjuangan anggota keselamatan negara dalam mempertahankan negara dan menentang musuh. Cth: Di dada mereka ada khalid, singa garang di padang juang.
b.Bagi setiap ciri di bawah, pelajar boleh memetik contoh baris sajak yang sesuai.
i. Berani  / tidak gentar
ii. Tidak mengharapkan sanjungan / Ikhlas
iii. Yakin 
iv. Mempunyai semangat kepahlawanan
v. Tidak takut akan kematian
c. i. Alusi - khalid iaitu nama tokoh pejuang.
ii. Metafora Cth:
iii. Responsif  Cth : di dada mereka ada khalid
di tangan mereka pedang keberanian
iv. Personifikasi   Cth: mati hanya mampu menumpaskan pengecut
v. Asonansi  a Cth: singa garang di padang juang
vi. Aliterasi m  Cth: mati hanya mampu menumpaskan pengecut
vii. Anafora  cth : Musuh pulang mengusung walang
      Musuh walang mengusung keranda teman
viii. Sinkope Cth : tak
xv. Simbolik / Perlambangan Cth : singa – melambangkan keberanian
d) Patriotik -  tentera/pejuang/pasukan keselamatan cinta akan  negara dan mempertahankan tanah air.

04 Februari 2012

Cerpen Anak-Anak Pejuang

Berdasarkan cerpen Anak-Anak Pejuang karya Ghazali Lateh :
(a) Jelaskan dua persoalan dalam cerpen.  [4 markah]
(b) Huraikan perwatakan Pak Denan. [6 markah]

Keseluruhan cerpen ini jelas memaparkan peristiwa yang berkisar tentang semangat patriotik seorang bekas pejuang kemerdekaan iaitu Pak Denan. Semangat patriotik kian memuncak apabila pengarang memilih Hari Kebangsaan dan Dataran Merdeka serta Tugu Negara sebagai hari dan latar tempat bagi klimaks cerpen ini. Maka, tema cerpen sememangnya berasaskan semangat patriotik iaitu semangat patriotik generasi tua yang pernah berjuang memperjuangkan kemerdekaan tanah air.
a) Persoalan keberanian menentang penjajah. Pak Denan dan rakan-rakannya berani menentang penjajah sehingga berjaya memperoleh kemerdekaan.
Persoalan generasi muda yang kurang memahami nilai kemerdekaan. Abdul Rahman dan Abdul Razak enggan  membawa bapa mereka ke Kuala Lumpur untuk menghadiri perarakan Hari Kebangsaan kerana boleh menyaksikannya melalui televisyen.

b) Pak Denan penyayang - Menyayangi anak-anak dan isteri. Berusaha membesarkan anak-anak sehingga berjaya menjadi golongan berada. Patriotik - Pak Denan berani menentang penjajah sehingga berjaya memperoleh kemerdekaan. Suka membantu orang yang memerlukan. Pak Denan membantu melindungi Ah Yau semasa zaman penjajahan. Berazam tinggi - Pak Denan sanggup pergi sendirian ke Kuala Lumpur walaupun sudah tua.

20 Januari 2012

Sajak Akar

Sajak  "Akar" karya Hilmi Rindu merupakan sajak yang perlu diberi perhatian. Sajak ini menyuntik kesedaran kepada kita, betapa besarnya peranan ibu bapa dan anak-anak harus memahami hakikat tersebut. Sajak ini memang menarik kerana gaya bahasanya padat sesuai dengan penyusunan idea dan gambaran yang ingin disampaikan oleh penyajak.

AKAR

Ibu bapa adalah akar hidup kita
bukan sekadar tangga untuk naik dan turun
ibu bapa adalah tunjang yang paling dalam
tanpa mereka kita tidak mengenal alam.

Akar bagi pohon adalah penentu kesuburan
meskipun tidak dirasa
akarlah yang mengutuhkan segala
ibu bapa bagi kita adalah penentu kewujudan
meskipun tidak dikenang
merekalah yang menyempurnakan jalan.

Anak-anak yang dikasihi
kasihilah ibu bapa sebagaimana mereka
mengasihi
sayangilah ibu bapa sebagaimana mereka
menyayangi
mereka tidak meninggalkan sedikit pun
kecuali rasa kasih sayang mereka
terhadap kita.

Ibu bapalah akar dalam kehidupan
yang meneguhkan pohon di mana pun
tempat tumbuh
rapuh akar maka rapuhlah hidup kita
mereka bukanlah sekadar tangga atau titian
mereka malah memberi tanpa mengharap
balasan.

Analisis Sajak
a) Gaya bahasa sajak.
Gaya bahasa pengulangan kata dimanfaatkan dengan ketara. Terdapat anafora (pengulangan kata pada awal baris), responsif (pengulangan kata pada tengah baris) dan repitisi (pengulangan kata).
Anafora - cth :
mereka bukanlah sekadar tangga atau titian
mereka malah memberi tanpa mengharap

Responsif - cth :
kasihilah ibu bapa sebagaimana mereka
mengasihi
sayangilah ibu bapa sebagaimana mereka
menyayangi

Repitisi kata- cth : rapuh akar maka rapuhlah hidup kita
Simbolik - cth : Akar, tangga, titian
Perbandingan terus - cth : Ibu bapa adalah akar hidup kita
Saya percaya pelajar tahu mengapa contoh itu bukan simile. Tentu sahaja kerana perkataan bandingan adalah yang digunakan bukannya, umpama, bak, atau seperti.

b) Tema sajak
Ada yang menganggap tema sajak itu ialah kasih sayang dan pengorbanan ibu bapa dalam membesarkan anak. Kita perlu mendalami emosi dan motif penyajak melalui cara penyampaiannya yang mengharapkan kita memahami hakikat kasih sayang dan pengorbanan ibu bapa dan seterusnya, menghargai mereka. Maka, tema yang tepat ialah penghargaan atau sanjungan terhadap kasih sayang dan pengorbanan ibu bapa dalam membesarkan anak-anak.

c) Kemukakan nilai dalam sajak.
Nilai kasih sayang (kecuali rasa kasih sayang mereka), nilai tanggungjawab (merekalah yang menympurnakan jalandan nilai murah hati (mereka malah memberi tanpa mengharap balasan) jelas mendasari sajak ini.