Makluman : Sukatan Baru Kesusasteraan Melayu SPM

Mulai 2015, satu novel dipelajari iaitu Naratif Ogonshoto karya Dato' Anwar Ridhwan. Satu antologi teks moden (sajak, cerpen dan drama) ialah Kubentang Sebuah Peta. Teks karya tradisional pula ialah Nilai Insan.

20 Januari 2015

Sajak Citra Pelangi 1Malaysia karya A. Halim Ali

Kita berfikir tentang sejuta mimpi
yang tumbuh rendang
dari lena dari tidur dari sepi malam
mari kita himpunkan angannya
menjadi mentari pagi.

Kita menyulam sejuta jiwa
yang bergetar dalam riak rasa berbeza
menjadi sebuah lagu cinta
lirik perpaduan seni senegara
rentak fikir bersama berpadu
inilah muzik satu hati sejiwa
rumpun pelbagai bangsa satu bahasa
berlagu senada menari langkah sekata.

Kita menghulur jemari hati
menghantar pesan seloka
mengirim diksi dari langit
mantera dari rumpun Melayu
air mawar dari sumur nusantara
satukan menjadi jamu cinta kita
santap dalam pentas terbuka
di anjung pelbagai sejuta budaya
duduk-duduk berlamalah di sini
sambil menganyam citra pelangi di wajah 1 Malaysia
kelak kita menjadi lebih faham
perlunya berfikir dan bertindak
dalam bersatu

berbeza dan berselisih itu boleh
tetapi kemudian bersatu
tanah air kita tiada dua
hanya satu.

Soalan Latihan
1. Huraikan gaya bahasa dalam sajak.
2. Jelaskan nada sajak.
3. Kemukakan tiga persoalan yang diutarakan oleh penyajak.

1. Terdapat metafora. Contohnya, jamu cinta. Juga terdapat diksi indah. Contohnya, berlagu senada menari langkah sekata. Terdapat responsif. Contohnya, mantera dari rumpun Melayu, air mawar dari sumur nusantara. Juga, terdapat kata ganda iaitu duduk-duduk. Ada bahasa istana, contohnya, santap. Juga, terdapat repitisi kata. Contohnya, dari lena dari tidur dari sepi malam. Selain itu, terdapat inversi, iaitu sepi malam. Juga, ada simbolik, contohnya, mentari pagi, yang melambangkan harapan/impian masyarakat yang sama-sama direalisasikan.

2. Nada sajak ialah nada patriotik. Penyajak bersemangat patriotik mengharapkan masyarakat Malaysia bersatu walaupun terdapat perbezaan bangsa dan budaya. Contohnya, sambil menganyam citra pelangi di wajah 1Malaysia.

3. Salah satu persoalan ialah persoalan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum. Contohnya, lirik perpaduan seni senegara. Selain itu, persoalan kepentingan sikap bertolak ansur/bertoleransi dalam masyarakat. Contohnya, berbeza dan berselisih itu boleh, tetapi kemudian bersatu. Juga persoalan usaha bersama bagi merealisasikan impian masyarakat. Contohnya, mari kita himpunkan angannya, menjadi mentari pagi. Terdapat juga persoalan cinta akan tanah air. Contohnya, tanah air kita tiada dua, hanya satu.

5 ulasan: