Makluman : Sukatan Baru Kesusasteraan Melayu SPM

Mulai 2015, satu novel dipelajari iaitu Naratif Ogonshoto karya Dato' Anwar Ridhwan. Satu antologi teks moden (sajak, cerpen dan drama) ialah Kubentang Sebuah Peta. Teks karya tradisional pula ialah Nilai Insan.

15 Julai 2010

Novel Jeriji Kasih - Sinopsis


Bab 1

Anuariza amat bersyukur kerana mendapat seorang ibu yang sangat menyayanginya, iaitu Solehah. Walaupun mereka sekeluarga hidup dalam kemiskinan, namun mereka dilimpahi kasih sayang dan kebahagiaan yang tidak pernah surut. Anuariza terpaksa bekerja mencari rezeki buat menampung keperluan keluarganya dengan menoreh getah dan mencari buah-buah kayu seperti asam kelubi di hutan paya yang penuh dengan bahaya. Adiknya Azuera melarangnya keluar ke hutan pada hari itu memandangkan hujan baru sahaja turun dan kemungkinan banyak haiwan liar berkeliaran mencari mangsa. Solehah tetap membantah dan tidak membenarkannya pergi ke kawasan itu. Anuariza mencari rezeki dengan mencari asam kelubi yang kemudian akan dijual kepada Ah Chong, satu-satunya peraih di kampung itu yang sering menawarkan harga yang tinggi untuk buah-buah kelubinya. Nek Siah pula merupakan jiran mereka yang sering membantu keluarga Solehah yang sering dalam kesusahan. Nek Siah datang untuk menjemput mereka sekeluarga ke majlis kenduri di rumahnya juga melarang Anuariza ke situ. Nek Siah menyuruh Anuariza pergi ke rumahnya bagi membantu mereka yang akan mengadakan kenduri naik rumah dan tahlil.

Bab 2

Anuariza tiada jalan lain kecuali terpaksa bersetuju dengan permintaan Syed Mustafa untuk memberi kelas tuisyen kepada anaknya Syed Fariz sementara menanti keputusan STPM diumumkan. Syed Mustafa mempunyai seorang anak perempuan iaitu Syarifah Farisya yang merupakan abang Syed Fariz. Mereka anak beranak bertungkus lumus membantu keluarga Nek Siah menguruskan kenduri tersebut. Azuera kelihatan begitu cekap dengan kerja-kerjanya membasuh pinggan mangkuk, membungkus makanan untuk jiran dan menghidangkan makanan pencuci mulut manakala Syarifah Farisya sedikit kekok. Anuariza disuruh mengajar anak Syed Mustafa keesokan harinya, namun Anuariza meminta ditangguhkan sehari kerana dia bercadang untuk keluar hutan bagi memungut asam kelubi. Apabila mendengar tentang asam kelubi, Syed Mustafa menceritakan pengalamannya dahulu ketika usia remaja. Dia turut mencari asam kelubi, buah ketiau, dan buah perah bersama-sama kawannya di hutan, tetapi untuk sekadar suka-suka sahaja. Dia pernah terdengar cadangan Menteri Besar Perak untuk mengkomersialkan buah-buah kayu tersebut tetapi cadangan itu senyap begitu sahaja. Setelah larut malam dan rancak bercerita, keluarga Anuariza memohon izin untuk pulang.

Bab 3

Anuariza pergi ke hutan untuk mengambil buah asam kelubi yang disorok di situ dua hari lepas kerana hujan lebat. Anuariza ditemani oleh Syed Mustafa atau Pak Syed. Pak Syed gembira melihat kecekalan dan kesungguhan Anuariza namun sedikit sebanyak dia melihat Anuariza seperti dirinya sendiri. Pak syed menceritakan kepada Anuariza, bahawa dia pernah membuat kerja sebegitu pada masa dahulu, tetapi hanya sekadar untuk suka-suka, berbanding dengan Anuariza yang mahu menyara keluarganya. Anuariza pernah diketawakan dan diejek sebagai SI BONGKOK sewaktu dia berkaki ayam menghendap di belakang sekolah kerana mahu belajar, selama berbelas tahun dahulu membuatkan dirinya tersisih daripada orang. Dia juga pernah melihat ibunya dimalukan hanya kerana dituduh memikat suami orang. Sejak itu dia bertekad untuk hidup bersendirian tanpa mempedulikan orang lain. Pak syed amat bangga dengan kecekalan Anuariza dalam menyara keluarganya walaupun Anuariza hanya sekadar anak angkat kepada Solehah. Anuariza pernah tinggal di Kuala Lumpur tapi selepas ayah angkatnya meninggal dunia, mereka terus tinggal di kampung. Pak syed bertanya kepada Anuariza, kenapa ibunya tidak kahwin lagi. Anuariza menyatakan bahawa ibunya tidak mahu ada orang lain antara mereka.Mereka mengharungi anak paya yang airnya separas pinggang, tetapi mereka perlu berhati-hati mungkin ada haiwan berbisa. Pak syed memberi cadangan supaya buah-buah ini dikomersilkan. Anuariza berhasrat untuk menanam buah-buah sesebigu di ladang. Harga buah kabung tinggi di pasaran. Di bandar buah kabung menjadi makanan pencuci mulut di hotel.Pak syed mengingatkan Anuariza bahawa dulu ada orang kampung pernah dibaham harimau. Anuariza pernah terserempak dengan harimau, tetapi dengan membaca ayat kursi dan surah al ikhlas Allah menutup pandangan raja rimba tersebut. Seterusnya mereka bercerita tentang agama yang berkaitan dengan ajaran sesat.

Bab 4

Anuariza memulakan tugasnya sebagai guru tuisyen di rumah Syed Mustafa. Syed Mustafa sudah membayar gajinya untuk bulan pertama, tetapi Anuariza menolak wang itu. Syed Mustafa tetap berkeras memaksa Anuariza mengambil wang tersebut. Hari pertama dia pergi ke situ Syed Fariz langsung tidak turun belajar. Syed Fariz memang tidak berminat dalam pelajaran. Anuariza meminta kebenaran Syed Mustafa untuk berbual di dalam bilik Syed Fariz. Ketika Anuariza berada di dalam bilik Syed fariz, Anuariza minta Syed Fariz menceritakan masalahnya. Syed Fariz berkata bahawa dia tak suka tinggal di kampung kerana di kampung tiada apa yang boleh dibuat dan membosankan. .Anuariza pun turut menyokong bahawa di kampung ini sangat membosankan, tetapi itu dahulu, kerana dahulu Anuariza tinggal di Kuala Lumpur. Setelah Anuariza tinggal di kampug Anuriza sangat tenang. Syed Fariz turut menceritakan bahawa dia sangat benci pada ayahnya, yang menjadi punca ibunya mati. Setelah hampir dua jam berada di dalam bilik Syed Fariz, Anuariza pun meminta diri untuk pulang. Dia telah berjanji untuk membawa Syed Fariz ke sungai untuk menyedut udara segar di samping menenangkan fikiran. Pada malam itu Anuariza amat sukar untuk memejamkan matanya walaupun tubuhnya begitu letih. Anuariza masih terkenangkan perbualanya dengan Syed Fariz, Syed Fariz sangat membenci ayahnya. Menurut Syed Fariz, ayahnya jarang berada di rumah serta mementingkan pekerjaan daripada keluarga. Tuduhan Syed Fariz pada ayahnya sangat kejam. Peristiwa ditinggalkan ayah dan ibunya, kembali menyemak dalam fikiranya. Anuariza teringat akan buah kabung yang dibakarnya petang tadi bersama Syed Mustafa. Anuariza mencapai lampu gasolin, digoncang untuk memastikan kandungan minyak tanah di dalamnya.Mancis digunakan untuk menyalakan api,angin diisi dengan mengepam beberapa kali. Gelap bertukar terang,dia bersedia untuk turun ke bawah. Buah kabung yang masih bertangkai dan masih suam-suam kuku di dalam bakul rotan, dilonggok di atas tikar Anuariza bersila kemas dengan ditemani Solehan. Anuariza bergurau senda dan menyatakan bahawa dia amat takut jika gagal dalam STPM. Solehah menyakinkan Anuariza bahawa dia akan memperoleh keputusan cemerlang setelah berusaha bersungguh-sungguh.

Bab 5

Azuera, Syed Fariz, Anuariza dan Syarifah Farisya telah berkunjung ke sebatang sungai di hujung kampung mereka untuk menyaksikan keindahan sungai tersebut. Azuera dan Syarifah Farisya bermain air di sungai manakala Anuariza asyik melukis pemandangan di sungai itu. Syed Faris seperti biasa mempamerkan sikap tidak senangnya dengan perubahan mendadak yang dilaluinya di kampung itu. Syarifah Farisya membandingkan keindahan sungai di situ yang amat berbeza denga keadaan sungai di bandar yang amat kotor dan tercemar. Azuera bercerita kepada Syarifah Farisya bahawa mereka sekeluarga pernah tinggal di tepi sungai itu sebelum itu. Oleh sebab rumah mereka pernah dihempap pokok tumbang dalam kejadian ribut, keluarga mereka dipelawa tinggal bersebelahan dengan rumah Nek Siah. Azuera juga bercerita tentang hobi Anuariza yang gemar melukis, malah lukisan pemandangan di biliknya juga dilukis oleh Anuariza. Lukisan di dinding sekolah mereka merupakan buah tangannya juga sebelum meninggalkan sekolah. Syarifah Farisya mulai teruja dengan pelukis lukisan pemandangan di biliknya dan mulai menyimpan perasaan.

Bab 6

Selepas cuti panjang, seperti biasa Syed Fariz dan Syarifah Farisya berbasikal ke Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Muzaffar Shah, Lambor Kanan seawal 6.45 pagi. Syarifah Farisya membandingkan keadaan mereka yang selesa ketika bersekolah di bandar dahulu.Sewaktu ibu mereka masih hidup, mereka dihantar ke sekolah menaiki kereta berhawa dingin, sedangkan di kampung mereka terpaksa berbasikal seperti pelajar-pelajar lain. Di sekolah, Azuera memperkenalkan Syed Fariz dan Syarifah Farisya kepada guru-guru dan rakan-rakannya. Syed Fariz dimasukkan ke kelas 3 Bestari. Selepas waktu rehat, cikgu Borhan yang mengajar mata pelajaran Bahasa Malaysia mendapati Syed Fariz tiada di dalam kelas. Cikgu Borhan bertanya ke[ada Azizul Hafis yang duduk di sebelahnya. Cikgu Borhan menyuruh Azizul Hafis mencarinya di sekitar sekolah tetapi tidak ditemui. Syarifah Farisya mulai risaukan adiknya yang mungkin kembali berkelakuan buruk seperti dahulu. Di rumah, Syarifah mencari-cari adiknya tetapi juga tiada. Apabila Nek Siah melihat Syarifah Farisya memasuki bilik adiknya, Syarifah Farisya memberi alasan dia ingin mengambil buku dan mengatakan adiknya belum pulang dari sekolah. Nek Siah mengajaknya makan, namun Syarifah Farisya belum mahu makan dan akan makan setelah lapar nanti.

Bab 7
Sudah dua bulan bersekolah di kampung, berbagai-bagai perkara buruk berlaku di sekolah. Hampir seluruh pelajar di sekolah itu mengenalinya. Syed Fariz telah membawa budaya yang buruk di seolahnya. Kerjasama dengan Lily Suriani semakin menjadi-jadi. Syed Fariz dikenali sebagai anak orang berada dan berpengetahuan tinggi sehingga ramai murid yang mengangkat tabik kepadanya. Gejala samseng dan peras ugut semakin berleluasa. Azuera turut mendengar kawan-kawannya bercerita perihal adiknya yang berkelakuan buruk, namun enggan mempercayainya. Ruhaiza menceritakan perkara sebenar kepada Syarifah Farisya. Hal ini menyebabkan Syed Fariz berdendam kepadanya. Syed Fariz bersekongkol dengan beberapa orang kawan untuk mengenakan Ruhaiza. Ruhaiza dipanggil oleh Guru Disiplin ke Bilik Kaunseling dan diminta bercerita tentang perkara sebenar tentang kejadian pergaduhan di belakang kantin sekolah. Ruhaiza dituduh menjadi punca pergaduhan kerana cemburu kepada Lily Suriani yang rapat dengan Syed Fariz. Ruhaiza menafikan tuduhan itu sekeras-kerasnya. Siti Baizurah menceritakan bahawa kejadian pergaduhan itu turut disaksikan oleh pelajar-pelajar lain. Tersebarlah fitnah yang menyatakan bahawa Ruhaiza mencintai Syed Fariz. Hazrul Naim yang menganggotai kumpulan Syed Fariz turut menyebarkan fitnah.

Bab 8
Anuariza mulai bimbang akan perkembangan yang tidak sihat itu. Syed Fariz semakin tidak berminat dalam pelajaran. Anuariza masuk ke dalam bilik Syed Fariz dan terhidu bau yang kurang menyenangkan. Walaupun mengesyaki Syed Fariz menghisap rokok, namun Anuariza tidak menegur hal itu kerana bimbang Syed Fariz akan terasa dirinya dikongkong. Azuera pula tekun belajar setelah memperoleh enam A dan 3 B dalam peperiksaan PMR. Azuera ingin menjejaki kecemerlangan abangnya dalam SPM. Syed Mustafa pula sudah lama tidak pulang ke kampung kerana sibuk dengan urusan pekerjaannya. Anuriza juga meneka bahawa Syed Fariz merindui ayahnya yang sudah lama tidak pulang itu. Anuariza mengajak Syarifah Farisya berbual-bual. Nek Siah meninjau-ninjau cucu-cucunya yang sedang belajar untuk memastikan bahan-bahan keperluan untuk mereka mencukupi dan sama ada mereka betul-betul belajar. Syarifah Farisya memberitahu Anuariza bahawa adiknya merokok. Anuariza menyatakan bahawa dia memang mengetahuinya. Menurut Syarifah Farisya, adiknya itu pernah merokok dan berhenti seketika. Hal itu belum diketahui oleh bapa mereka.

Bab 9
Ruhaiza tidak menghadiri kelas tambahan, sebaliknya dia pergi berjumpa dengan guru kaunseling, iaitu Cikgu Syakinah untuk meluahkan masalahnya. Fitnah tentang dirinya mempunyai perasaan terhadap Syed Fariz telah tersebar. Memang pada mulanya dia cuba mendekati Syed Fariz kerana mengetahui bahawa pelajar itu pintar dan anak orang berada. Mungkin Ruhaiza boleh berkongsi buku-buku pelajaran yang tidak mampu dimilikinya. Dia juga pernah berkunjung ke rumah mereka dan melihat sendiri kekayaan Syed Mustafa. Semua anaknya memiliki komputer dan telefon bimbit seorang satu. Azuera juga berpeluang menggunakan komputer lebihan di bilik bacaan rumah mereka. Cikgu Syakinah mendengar luahan perasaan Ruhaiza dengan penuh minat dan menasihatinya agar bersabar. Ruhaiza amat kesal dengan sikap Cikgu Suhaimi yang menuduhnya tanpa usul periksa. Kisah Syed Fariz yang mempunyai pengaruh juga telah disampaikannya. Kepada Cikgu Syakinah, perbuatan Lily Suriani, tabiat Syed Fariz merokok, menghidu gam, memeras ugut dan kegitan kumpulan mereka di pondok menunggu durian di Tanjung juga dibongkarkan.

Bab 10

Syed Mustafa dan Anuariza duduk berbual-bual di rumah Syed Mustafa. Sudah agak lama Syed Mustafa tidak pulang ke kampung kerana urusan pekerjaan. Nek Siah meminta anaknya itu meluangkan sedikit masa untuk mengetahui masalah anak-anaknya, namun Syed Mustafa terpaksa pulang juga ke bandar keesokan harinya. Nek Siah marah dengan sikap anaknya itu yang lebih mengutamakan kerja berbanding keluarganya. Perbualan mereka lebih banyak berkisarkan Syed Fariz yang agak nakal sejak dahulu lagi walaupun emaknya masih hidup. Anuariza mencerita kisah hidupnya yang perit ketika rumah setinggan yang didiami dijilat api. Ayahnya turut terkorban dalam tragedi itu. Kemudian, dengan wang ihsan sebanyak RM500, emaknya membawa Anuariza dan adiknya ke kampung. Dengan bantuan Tuk Syed dan Nek Siah, rumah yang serba daif didirikan di hujung kampung. Dia digelar anak tarzan, anak dagang merempat, dan anak hutan oleh orang-orang kampung. Emaknya juga dihina kerana menjadi janda merempat. Namun begitu, emaknya tetap reda kerana mereka tidak pernah mengganggu sesiapa. Cerita kesusahan itu rupa-rupanya langsung tidak memberi kesan kepada Syed Mustafa. Dia tidak mahu anak-anaknya susah sedemikian, sebab itulah dia bersusah payah mencari nafkah untuk anak-anaknya. Anuariza kecewa kerana tujuan dia bercerita sedemikian ialah agar Syed Mustafa memberi perhatian dan kasih sayang kepada anak-anaknya.

Bab 11

Syarifah Farisya dan Syed Fariz tertunggu-tunggu kepulangan bapa mereka yang sudah sebulan tidak pulang. Syed Mustafa sering memungkiri janji untuk pulang, namun sebulan berlalu dia masih sibuk dengan urusannya. Anuariza amat kesal dengan sikapnya itu. Kenakalan Syed Fariz semakin menjadi-jadi. Kegiatan peras ugutnya juga diketahui melalui Syarifah Farisya. Paling membimbangkan, kumpulan jahat berkenaan sudah berani mencuri barang di pasar raya dan meragut. Buktinya, Syarifah Farisya menemukan banyak telefon bimbit di dalam bilik adiknya itu. Solehah juga berpesan kepada Anuariza supaya menengokkan Syed Fariz yang keterlaluan itu. Baginya, mereka tiada harta untuk membalas jasa keluarga Tuk Syed, melainkan dengan budi dan jasa sahaja. Anuariza tidak merujuk kenakalan Syed Fariz kepada ayahnya kerana bimbang anak itu akan dikasari. Anuariza juga mengetahui bahawa Syed Fariz telah dipukul oleh ayahnya kerana pihak sekolah memanggil Syed Fariz yang terlibat dalam penyalahgunaan ubat batuk. Syarifah Farisya juga menceritakan kecurangan ayahnya yang mempunyai hubungan dengan perempuan lain walaupun ketika itu emaknya sedang sakit. Sewaktu menoreh getah dengan ibunya, Anuariza menceritakan perihal keluarga Syed Fariz yang pincang itu. Solehah mengingatkan bahawa pokok-pokok getah yang ditoreh itulah sumber rezeki mereka walaupun ladang getah itu bukan hak mereka. Oleh itu, keluarga Tuk Syed perlu dibantu dengan apa cara sekali pun. Anuariza berjanji akan menunaikan hasrat ibunya itu. Dia terkenang akan perbualannya dengan Syed Mustafa tentang cita-cita dan impiannya selepas mendapat keputusan STPM. Dia juga teringatkan kecekalan ayahnya membawanya ke bandar dengan berjalan kaki semata-mata untuk membeli baju Superman.

Bab 12

Nek Siah telah dipanggil ke sekolah untuk berjumpa dengan Cikgu Suhaimi dan Cikgu Borhan. Cikgu Borhan selaku guru kelas menunjukkan buku kedatangan cucunya yang mencatatkan bahawa Syed Fariz sudah lama tidak ke sekolah. Syarifah Farisya telah memaklumkan bahawa ayahnya berada di Kuala Lumpur. Lantaran itulah Nek Siah dipanggil selaku penjaganya yang sah. Dengan perasaan serba salah Cikgu Borhan terpaksa melaporkan hal cucunya itu walaupun mengetahui kewibawaan Nek Siah, isteri bekas guru besar yang pernah menerima gelaran tokoh guru. Cikgu Borhan juga melaporkan perbuatan Syed Fariz yang ponteng sekolah dan melarikan diri melalui jalan belakang ketika guru sedang mengajar. Nek Siah begitu sedih, hiba, malu dan kesal dengan peristiwa itu. Dahulu, dia pernah dipuji kerana kecemerlangan Anuariza dalam pelajaran, kini cucunya sendiri telah menconteng arang ke mukanya. Nek Siah berjanji akan berikhtiar akan menasihati cucunya. Dadanya juga berombak marah kepada Syed Mustafa yang gagal dalam mendidik anak. Seperti biasa, Solehah menghantar sedikit juadah kepada Nek Siah. Nek Siah termenung memikirkan cucunya yang bermasalah itu. Nek Siah melepaskan kepiluannya dengan sikap Syarifah Farisya yang gemar merajuk dan Syed Fariz yang liar. Bagi Nek Siah, Syed Mustafa sengaja menghantar bala kepadanya.

Bab 13

Anuariza ke rumah Nek Siah walaupun hari sudah malam, tetapi sejak Syed Fariz ditangkap polis, dia turut berkongsi kesedihan keluarga angkatnya itu. Nek Siah dan Syarifah Farisya menangis mengenangkan Syed Fariz yang telah ditangkap polis. Nek Siah akan ke balai polis untuk menjamin cucunya itu. Syarifah Farisya teringat akan adiknya yang berada di dalam lokap. Azuera tidak berani bersuara, melainkan hanya mampu mengusap badan sahabatnya itu. Anuariza memujuk Syarifah Farisya yang cuba membayangkan keadaan buruk di lokap yang serba kesusahan. Syarifah Farisya tidak percaya bahawa adiknya melakukan kesalahan yang berat. Anuariza memujuk lagi dengan mengatakan bahawa Syed Fariz baru sahaja ditangkap kerana disyaki terlibat dalam kes rogol. Tangkapan itu bertujuan untuk proses siasatan belum lagi terbukti bersalah. Kelas tuisyen terpaksa dibatalkan. Ruhaiza yang menjadi mangsa pula dikawal ketat oleh pihak hospital. Tidak ada sesiapa yang dibenarkan melawat melainkan ibu bapanya sahaja. Nek Siah amat terharu mengenangkan kebaikan Anuariza yang menjadi penenang kepada empat orang wanita yang tertekan. Nek Siah menyuruh Anuariza menghubungi Syed Mustafa tetapi dia gagal dihubungi. Nek Siah begitu marah akan sikap anaknya yang tidak mengenal siang atau malam. Nek Siah terlepas cakap apabila mengatakan alangkah baik jika Syed Mustafa berkahwin lain, Syarifah Farisya berjauh hati dan meluru naik ke biliknya. Azuera pula diminta masuk menemai Syarifah Farisya di biliknya.

Bab 14

Khusairi dijemput oleh Anuariza untuk berbincang tentang Ruhaiza di rumah Nek Siah. Dia cuba mengawal perasaan marahnya. Nek Siah meminta maaf atas perbuatan cucunya terhadap Ruhaiza. Nek Siah amat menyesali tindakan Syed Mustafa dalam mendidik anaknya sehingga menjadi liar. Solehah turut bertanya khabar Liah isteri Khusairi yang sering menangis. Khusairi turut memberitahu keadaan Ruhaiza yang sering meraung seperti orang hilang akal. Ruhaiza yang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi telah dipindahkan ke wad biasa. Apabila Nek Siah menyatakan tentang takdir, Khusairi melenting dan menyalahkan orang kaya seperti mereka yang mencipta takdir buruk kepada orang lain. Baginya, simpati sahaja tidak akan mengembalikan maruah anaknya yang telah hilang. Solehah menyuruh Khusairi bersabar dan berhenti melenting kerana perbuatan itu tidak akan menyelesaikan masalah. Nek Siah berjanji tidak akan bersikap lepas tangan. Mungkin wang ringgit tidak akan mengembalikan maruah Ruhaiza, tetapi dia menjanjikan keselesaan Ruhaiza dalam mendapatkan rawatan terbaik. Nek Siah akan melawat Ruhaiza keesokan harinya dan memindahkan Ruhaiza ke wad kelas pertama. Khusairi menolak dengan egonya dengan mengatakan bahawa keluarga mereka bukan pengemis. Nek Siah terus memujuk Khusairi untuk membuang egonya demi Ruhaiza. Solehah juga berjanji akan menjaga anak-anak Saliah di rumah sementara Saliah menjaga Ruhaiza di hospital.

Bab15

Syed Mustafa sudah pulang dan dimaklumkan oleh Anuriza di mana ia berada. Di balai polis lagi Syed Fariz ditempeleng sehingga terpaksa disabarkan oleh pegawai polis. Syed Fariz terus dipukul bertubi-tubi oleh bapanya sehingga dia tidak berdaya melawan. Nek Siah tergamam melihat keganasan Syed Mustafa mengasari anaknya. Sharifah Farisya yang ingin membantu turut dipukul oleh Syed Mustafa sehingga terperosok ke dinding. Syed Mustafa yang masih tidak puas hati terus mengambil kerusi untuk membaling kepada syed Fariz tetapi ditahan oleh Nek Siah. Anuariza dan Solehah tiba di rumah Nek Siah untuk menenangkan kekalutan yang berlaku. Apabila keadaan mula reda Anuariza terus mendapatkan Syed Fariz untuk merawat lukanya. Nek Siah menasihati Syed Mustafa bahawa jika dibunuh sekali pun, tidak akan berubah apa-apa. Azuera yang baru tiba disuruh oleh Nek Siah untuk melihat keadaan Syarifah Farisya yang juga cedera. Syed Mustafa menyalahkan arwah isterinya yang terlalu memanjakan anak-anak. Anuariza yang membantu merawat luka Syed Fariz menasihatinya agar tidak berdendam kepada ayahnya. Menurut Anuariza, Syed Mustafa tetap sayang kepada Syed Fariz sehingga sanggup menjaminnya keluar daripada lokap polis. Anuariza mengingatkan Syed Fariz tentang pengorbanan ayahnya mencari rezeki demi keselesaan anak-anak. Perbuatan jahat bukanlah cara untuk mendapatkan perhatian ayah malah lebih memburukkan keadaan. Syed Fariz mula termakan nasihat Anuariza. Keadaan di rumah tidaklah seteruk layanan yang diterima di dalam lokap. Dia merasa pilu mengenangkan arwah ibunya. Anuariza turut menceritakan kepayahannya dalam menuntut ilmu dan kecemerlangan mereka dua beradik dalam pelajaran. Tuk Syedlah yang membantu mereka memasuki sekolah dan Nek Siahlah yang menolong menjaga Azuera ketika Solehah menoreh getah. Dengan nada gurauan, Anuariza bersedia membelasah Syed Mustafa kerana dia juga mahir dalam persilatan.

Bab 16

Syed Mustafa sudah boleh berfikir dengan tenang atas nasihat Nek Siah. Suasana hutan yang damai itu membolehkan Syed Mustafa berfikir secara rasional. Syed Mustafa mengikut Anuariza menjerat burung uak-uak. Semasa muda, Syed Mustafa menggunakan jala untuk menangkap burung uak-uak. Tangkapan mereka berhasil pada hari itu. Anuariza menceritakan bahawa dia sering menjual tangkapannya kepada Ah Chong yang membeli uak-uak dengan harga yang mahal. Sementara itu, mereka berbincang tentang penyelesaian terhadap masalah Syed Fariz. Anuariza memberikan pandangannya yang menyatakan bahawa Syed Fariz berdendam dengan ayahnya kerana pulang lewat ketika ibunya meninggal dunia. Syed Mustafa menceritakan sebab dia lewat pulang. Ketika tu dia terperangkap di Jepun. Anuariza juga menceritakan bahawa Syed Fariz sudah mengetahui hubungan sulit ayahnya dengan perempuan lain sedangkan ketika itu, ibunya sedang sakit tenat. Syed Mustafa memuji kecekalan Anuariza dan mencadangkan agar Anuariza menjual sahaja lukisan-lukisannya di Kuala Lumpur. Anuariza memberitahu bahawa Solehah tidak mahu Anuariza menjadi pelukis kerana sejarah ayahnya yang juga seorang pelukis. Solehah kesal bukan kerana Anuariza menyusahkannya, tetapi kerana Anuariza hidup susah di bawah jagaannya. Anuariza menyatakan bahawa Syed Fariz dan Syarifah Farisya begitu beruntung kerana hidup senang lenang tidak sepertinya.

Bab 17

Syed Mustafa agak ragu-ragu untuk ke rumah Khusairi kerana malu perbuatan Syed Fariz yang telah dituduh merogol Ruhaiza. Syed Mustafa telah meminta maaf atas kesalahan anaknya. Syed Mustafa mahu membantu apa-apa sahaja yang boleh selagi termampu. Dia mengaku bahawa semua itu berpunca daripada kesilapannya yang gagal mendidik anak anak. Syed Mustafa merupakan teman sepermainan ketika mereka kecil. Syed Mustafa memberi cadangan untuk menghantar Ruhaiza ke asrama. Syed Fariz telah dibebaskan dengan jaminan polis. Pada mulanya, Khusyairi dan Saliah pada mulanya amat marah. Pihak doktor, juga menambahkan kecelaruan di fikiran mereka. Kata doktor, Ruhaiza telah mendapat tekanan mental dan psikologi. Setelah Ruhaiza sedikit pulih dan dua orang pegawai polis datang mengambil keterangan.

Bab 18

Syed Mustafa mengikut Anuariza ke kebunnya yang dipanggil Taman Fantasi. Dari luar, kawasan seluas lebih 10 kaki persegi yang dipagari buluh-buluh terbelah. Di situ terdapat pelbagai jenis sayur-sayuran kampong dan pokok anggur dan buah pitaya. Syed Mustafa teruja apabila melihat buah pitaya ataupun buah mata naga. Menurut Anuariza, pokok anggur itu jenis Isabella dan berasal dari Amerika Syarikat. Dia dihadiahkan benih itu ketika melawat MARDI. Geran tanah Allahyarham Syed Ubaidillah sudah dibaca pejabat tanah. Anuariza mahu mengkomersialkan kebun anggur dan pokok naga menjadi sebuah pusat pelancongan. Sebuah taman mini burung, tempat pemeliharaan burung-burung hutan. Burung uak-uak, ayam kampung, ayam, burung puyuh boleh dibeli dengan harga murah dan sebuah restoran masakan ala kampung yang menyediakan ikan air tawar yang diternak di dalam kolam dan di boleh di pancing sendiri. Galeri lukisan juga akan didirikan di sebelah taman fantasi dan boleh dibeli jika suka.

Bab 19

Nek Siah berbincang dengan Syed Mustafa tentang impiannya untuk mencari pengganti Jumaimah. Syed Mustafa menyatakan bahawa dia sudah serik kerana mengabaikan Jumaimh ketika hayatnya. Dia berpendapat wanita muda banyak kemahuannya sehingga anak-anaknya berdendam. Dia ingin menebus kesilapan yang lalu. Nek Siah cuba berkias dengan menyatakan bahawa perempuan yang sebaya anaknya akan menyebabkannya lupa diri. Syed Mustafa sedar bahawa dirinya sudah berusia dan bukan lagi bergelar pegawai tinggi kerajaan. Nek Siah menyuruh Syed Mustafa mencari pengganti dalam kalangan orang kampung juga. Tiba-tiba Solehah muncul dan memberi salam. Nek Siah segera mengalih perbualan untuk mengelakkan hal itu diketahui Solehah. Solehah memberitahu bahawa dia menghantar hidangan tengah hari termasuk burung Uak-Uak goreng pedas, ikan tilapia masak lemak cili padi, pucuk ubi rebus, sambal petai udang kertas dan pekasam .Syed Mustafa mendengar dengan begitu berselera.

Bab 20
Keluarga Syed Fariz berkunjung ke rumah Khusyairi untuk melawat Ruhaiza. Ruhaiza sudah kembali ceria walaupun kelihatan kurus dan pucat. Saliah memberitahu bahawa mereka akan mengadakan kenduri kesyukuran. Nek Siah mencadangkan agar mereka mengadakan kenduri itu bersama-sama. Syed Mustafa terkenang zaman mudanya dahulu iaitu ketika dia, Khusyairi dan Tamrin bersahabat. Mereka mengaji Al-Quran di rumah Lebai Mamat. Setelah tamat persekolahan, Khusyairi menyertai Angkatan Tentera Darat keluarganya meminang Saliah tanpa pengetahuannya. Dia mengetahui bahawa Syed Mustafa dan Saliah Saling mencintai. Namun begitu, Khusairi tidak dapat berbuat apa-apa kerana akan melemparkan aib kepada kedua-dua keluarga. Setelah kecewa, Syed Mustafa tidak pulang beberapa tahun sehingga bertahun sehingga bertemu Jumimah. Syed Mustafa bertanya kepada Ruhaiza sama ada dia mahu bertukar sekolah tetapi Ruhaiza enggan. Ruhaiza terkenang kembali peristiwa dia diperdaya oleh Hazrul Naim. Syed Fariz memperlakukan dirinya seperti binatang buas sambil disaksikan oleh rakan-rakannya.

Bab 21
Hasrat memperisterikan Solehah telah disampaikan melalui Nek Siah, namun Solehah menjadi bingung. Solehah menganggap isu berkenaan sensitif dan memalukan. Dia langsung tidak terfikir untuk berkahwin semula kerana perkahwinannya dengan Tamrin merupakan kenangan terindah dalam kehidupannya. Dia bimbang perkahwinan itu akan mengganggu fikiran Azuera dan Anuariza. Jika dia menolak pula, bermakna dia akan mencalarkan hati orang yang banyak berjasa kepada keluarganya. Tanpa bantuan keluarga Syed Ubaidillah, sudah tentu dia gagal menyekolahkan anaknya dengan sempurna. Sementara itu, projek kebun sudahpun dimulakan oleh Anuariza dengan dibantu oleh Syed Mustafa. Pisang, ubi kayu, keladi dan jagung akan ditanam sebaik sahaja tanah selesai dibajak. Syed Mustafa turut merancang untuk membina kilang memproses kerepek ubi di tanah peninggalan Syed Ubaidillah. Tanah penduduk kampung turut disewa bagi penanaman ubi itu nanti. Anuariza menyedari perubahan wajah ibunya yang semakin sugul seolah-olah menanggung masalah yang berat. Tingkah laku emaknya juga dilihat semakin pelik. Anuariza meminta agar Solehah berterus terang sahaja kerana dia sudah bersedia untuk mendengarnya.

Bab 22
Keputusan peperiksaan STPM sudah diumumkan. Anuariza mengayuh basikal dengan laju kerana tidak sabar-sabar untuk memberitahu kejayaannya itu kepada Solehah. Kejayaannya mendapat semua A itu akan dihadiahkan kepada emak dan arwah ayahnya. Dia terkenang kembali bagaimana getirnya dia dan Solehah mengumpulkan wang untuk membayar yuran STPM. Azuera yang mendapat tawaran ke sekolah berasrama juga terpaksa menolak tawaran itu bagi membolehkan dia mengambil STPM. Tiba-tiba rantai basikalnya putus. Solehah pula gelisah menunggu kepulangan Anuariza yang agak lewat. Walaupun yakin bahawa Anuariza akan mendapat keputusan cemerlang, namun dia risau sekiranya Anuariza mendapat tawaran ke universiti, dia tidak akan mampu menyediakan pembiayaannya. Semasa mengopek kelapa, Solehah termenung lagi dan memikirkan sekiranya dia berkahwin dengan Syed Mustafa, mudahlah baginya untuk meminjam wang bagi tujuan tersebut. Nek Siah yang baru turun dari kereta Syed Mustafa melihat tindak tanduknya yang tidak keruan itu. Syed Mustafa menawarkan diri untuk mencari Anuariza yang masih belum pulang-pulang itu. Ketika Nek Siah cuba menyatakan sesuatu, Solehah nekad untuk menyerahkan segala-galanya kepada Nek Siah. Dia juga bimbang Nek Siah akan menarik kembali lamarannya itu. Rupa-rupanya Nek Siah ingin memperkatakan tentang geran tanah milik arwah bapa mertuanya yang pernah digadaikan kepada Syed Ubaidillah sewaktu Solehah bernikah. Geran itu kini diserahkan kembali kepadanya kerana Syed Mustafa tidak berminat lagi menyimpannya. Solehah menyerahkan kembali kepada Nek Siah dan akan menebus kembali apabila Anuariza bekerja kelak. Anuariza pulang bersama-sama Syed Mustafa dengan membawa berita kejayaannya.

Bab 23
Syarifah Farisya kerap mengurungkan diri di dalam bilik apabila mengetahui ayahnya akan berkahwin dengan Solehah. Dia mula rindukan arwah ibunya. Tiba-tiba Syarifah Farisya benci kepada Solehah. Impiannya untuk meluahkan perasannnya terhadap Anuariza sebelum dia memasuki menara gading berkecai. Ketika Syed Fariz mengajaknya turun, Syarifah Farisya menyatakan kebenciannya dengan keputusan tersebut. Anuariza dan Azuera pula gembira dengan keputusan ibunya untuk berkahwin dengn Syed Mustafa. Persiapan untuk mengadakan kenduri sedang dibuat. Anuariza juga sudah mendapat tawaran ke UKM. Menurut Solehah, tidak perlulah diadakan kenduri besar-besaran.

Bab 24
Syed Mustafa terkejut apabila membaca nota daripada Syarifah Farisya yang melarikan diri. Nek Siah juga mati akal dengan tindakan Syarifah Farisya itu. Anuariza turut kesal dengan tindakan Syarifah Farisya. Kehilangan tersebut turut dilaporkan kepada pihak polis. Solehah mencadangkan agar perkahwinan itu dibatalkan kerana kemungkin itulah punca Syarifah Farisya melarikan diri. Anuariza baru saja mengetahui sebab Syarifah Farisya melarikan diri melalui nota rahsia yang terselit di dalam buku yang dipinjamnya. Rahsia itu disimpan kemas-kemas tanpa pengetahuan sesiapa. Nek Siah cuba mengorek rahsia kehilangan tersebut melalui Syed Fariz tetapi Syed Fariz berdiam diri kerana dia bimbang rancangan perkahwinan itu akan gagal. Tiba-tiba telefon berdering. Apabila Syed Mustafa menjawab, talian diputuskan. Telefon berdering lagi dan Anuariza yang menjawab. Syarifah Farisya memang ingin bercakap dengannya.

Bab 25
Syarifah Farisya nekad lari dari rumah dan menetap di rumah sahabat ibunya iaitu Hajah Munirah. Syarifah Farisya memberi kenyataan bahawa ayahnya akan berkahwin semula dengan Solehah, ibu Anuariza. Dia enggan menerima hakikat tersebut kerana turut menyimpan perasaan terhadap Anuariza. Syarifah Farisya mulai membenci Solehah kerana dianggap menjadi batu penghalang kepada hubungan mereka. Haji Lokman mempelawa Srarifah Farisya tinggal terus dengannya. Syarifah Farisya turut bercerita tentang Anuariza yang pandai melukis dan amat taat kepada kehendak emaknya. Hajah Munirah kurang senang dan mula berprasangka buruk. Syarifah Farisya memberitahu Hajah Munirah bahawa dia tidak sukakan perkahwinan itu.

Bab 26
Anuariza berada di dalam bas. Perjalanannya itu bertujuan untuk menjemput Syarifah Farisya kembali ke pangkuan keluarganya. Anuariza terkenangkan nasibnya yang dibebani masalah keluarga angkatnya. Dia terbayangkan wajah manis Syarifah Farisya. Walaupun dia menyukai Syarifah Farisya, namun dia terpaksa melupakan perasaan itu demi impiannya ingin mengejar segulung ijazah. Dia teringat kembali perbualan telefonnya dengan Syarifah Farisya. Anuariza cuba memujuk Syarifah Farisya untuk kembali ke kampung dan berjanji akan menjemputnya seorang diri. Anuariza bertegas dengan keputusannya menolak perasaan cinta yang boleh melekakan kerana perjalannnya masih jauh. Dia meletakkan keperluan ibu dan adiknya di tempat yang tinggi berbanding dirinya sendiri. Sebelum berangkat, dia telah berjanji kepada Solehah bahawa dia akan membawa pulang Syarifah Farisya. Apabila sampai di Hentian Puduraya, bas terakhir ke Perak sudah berlepas. Anuariza terpaksa mengikut Syarifah Farisya bermalam di rumah Haji Lokman walaupun berasa amat segan.

Bab 27
Di Kuala Lumpur, Anuariza dibawa ke rumah Haji Lokman. Syarifah Farisya memperkenalkan Anuariza kepada Haji Lokman dan Hajah Munirah. Mereka terkejut apabila melihat kekurangan Anuariza yang tidak berjari lengkap. Haji Lokman tidak menyangka anak muda itu berbakat besar yang diceritakan oleh Syarifah Farisya. Anuariza seorang pelukis yang berbakat besar. Dia melukis kerana hobi dan minat yang mendalam terhadap bidang seni dan untuk kepuasan diri. Haji Lokman menyuruh Anuariza melanjutkan pelajaran dalam bidang yang berkaitan dengan seni lukisan. Haji Lokman juga pernah menceritakan tentang minatnya terhadap melukis suatu ketika dahulu. Selain itu, Haji Lokman menceritakan tentang anaknya Azrul Iskandar yang tidak minat belajar melukis. tetapi menyukai muzik. Azrul Iskandar hanya menghabiskan masa untuk bermain muzik ketika melanjutkan pelajarannya di luar negara. Anuariza mengajak Haji Lokman dan Hajah Munirah untuk pulang ke kampung.

Bab 28
Kenduri kesyukuran dan doa selamat yang telah berlangsung dengan lancarnya. Perkahwinan Solehah dan Sheikh Mustafa telah merapatkan lagi hubungan silaturahim antara keluarga Solehah dan Nek Siah. Beberapa orang kampung bergotong royong dan membantu kenduri tersebut termasuk Ah Chong, satu-satunya keluarga berbangsa Cina yang menetap di kampung itu. Rakan sekolah Syed Fariz dan Ruhaiza sudah makin rapat dan mereka masing-masing berjanji tidak akan melakukan kesalahan yang sama. Akad nikah mereka dilangsungkan dalam suasana yang sederhana di pejabat kadi daerah yang hanya ditemani Nek Siah dan Anuariza. Perkahwinan itu bukan untuk bersuka ria, tetapi lebih kepada tanggungjawab untuk membesarkan anak-anak serta menjaga kebajikan Syed Mustafa yang mahu membaiki perhubungannya dengan keluarga. Nek Siah bersyukur kerana Syed Fariz telah terlepas daripada tuduhan merogol, Anuariza akan memasuki UKM, dan Syarifah Farisya sudah tidak merajuk lagi dan bersedia menerima Solehah. Solehah sudah terbaca nota yang ditulis oleh Syarifah Farisy dan sentiasa menasihati anak-anaknya agar menjaga pergaulan dan tutur kata. Ketika itu, sebuah kereta muncul di hadapan rumah mereka.

Bab 29
Kedatangan Hajah Munirah, Haji Lokman dan Azrul Iskandar disambut mesra oleh keluarga Syed Mustafa terutama Syarifah Farisya yang sudah lama mengenali mereka. Walaupun kenduri sudah tamat, Syarifah Farisya sempat bergurau bahawa mereka akan mengadakan acara memotong kek. Anuariza pula menguruskan pemulangan barang-barang yang dipinjam daripada masjid. Hajah Munirah kagum akan perubahan sikap Syarifah Farisya yang mendadak itu. Azrul Iskandar juga memuji Anuariza yang boleh mengubah pemikiran Syarifah Farisya. Begitu juga dengan Syed Mustafa yang berkahwin dengan Solehah kerana ingin merealisasikan impian Anuariza. Azuera turut diperkenalkan dengan Azrul Iskandar. Dia terpegun melihat kesantunan Azuera yang tidak dimiliki oleh kebanyakan gadis yang dikenalinya di bandar.

Bab 30
Syed Mustafa membawa semua tetamunya melawat ke taman lanskap Anuariza yang dinamakan Taman Fantasi. Haji Lokman dan keluarga turut serta melawat taman itu dengan penuh minat. Haji Lokman membelek pagar rotan dan akar yang mengelilingi taman itu dengan penuh minat. Anaknya pula meminati pohon anggur dan buah naga. Anuariza tidak memerlukan belanja yang besar untuk membeli baja tahi kambing kerana penduduk di kampungnya memelihara kambing dan dia mendapatkan secara percuma. Haji Lokman berminat untuk menanam anggur di dalam pasu di rumahnya nanti. Haji Lokman kagum akan perancangan besar Syed Mustafa dan bersedia untuk melabur. Mereka bersedia bersatu demi merealisasikan impian Anuariza untuk mewujudkan Taman Fantasi yang bakal menjadi sebuah destinasi pelancongan terunggul.

3 ulasan:

  1. terima kaseh ats kiriman sinopsis bab demi bab nyy yea :)

    BalasPadam
  2. thnx bg sinopsis bab demi bab nyy . ! :)

    BalasPadam
  3. Alhamdulillah !! Full semua nya , boleh copy tak ?
    Dah lah kerja rumah untuk sastera kena buat sinopsis bab 1 - 30 , hari selasa nie ckg nak check . Terima kasih lah ea sbb share ,

    BalasPadam