Makluman : Sukatan Baru Kesusasteraan Melayu SPM

Mulai 2015, satu novel dipelajari iaitu Naratif Ogonshoto karya Dato' Anwar Ridhwan. Satu antologi teks moden (sajak, cerpen dan drama) ialah Kubentang Sebuah Peta. Teks karya tradisional pula ialah Nilai Insan.

20 Mac 2011

Cerpen Anak Gembala - antologi Anak Global

1. Baca petikan cerpen dan jawab soalan berikutnya.

Biarlah hujan ribut, dia ingin bersama-sama kerbaunya di lembah ini. Lembah Bilut akan dipertahankan walaupun apa yang terjadi. Mat Seman tidak pernah meminta apa-apa bantuan daripada orang. Daripada wang sagu hati dia putus kaki, dia membina kandang baru yang ada atap untuk kerbau-kerbaunya, dia membeli mesin penyodok untuk menolak tahi-tahi kerbaunya ke tepi setiap pagi. 

a. Berdasarkan petikan, berikan 2 perwatakan Mat Seman.    (2 markah)
b. Nyatakan pengajaran yanag terdapat dalam petikan.        (2 markah)

Berdasarkan cerpen Anak Gembala karya Zahari Affandi jawab soalan-soalan berikut;
a. Huraikan 5 persoalan yang terdapat dalam cerpen tersebut.   (10 markah)
b. Huraikan 5 teknik plot yang digunakan oleh pengarang.    (10 markah)

Skema Jawapan
1. a. -Berani mempertahankan hak -1m
 -Berdikari - 1m
b. -Kita janganlah terlalu mengharapkan bantuan orang lain. -1m
    -Kita haruslah berani mempertahankan diri daripada ditindas oleh orang lain.-1m
2. a. Persoalan-persoalan dalam Anak Gembala

 -Kepentingan sikap berfikiran secara rasional dalam menyelesaikan masalah.               Misalnya tindakan Mat Seman yang melepaskan kerbau-kerbau ketika kerja-kerja     pembangunan Lembah Bilut dijalankan hanya mengundang padah. 2m 

-Tanggungjawab dalam menyara  keluarga. Walaupun kehidupan Mat Seman agak payah setelah kakinya dipotong namun dia tetap bekerja untuk menyara keluarganya tanpa mengharapkan bantuan orang lain. 2m
  -Kerjasama dalam keluarga. Anak-anak Mat Seman dan isterinya sering membantu     ayah mereka menjaga kerbau-kerbau mereka. 2m
-Kepentingan pendidikan. Mat Seman bercita-cita untuk menyekolahkan anak-anaknya hingga ke universiti untuk kehidupan yang lebih senang. 2m
-Kesan pembangunan terhadap kehidupan manusia. Mat Seman bimbang pembangunan yang akan dibuat di Lembah Bilut akan menyebabkan muda-mudi di Kampung Angun Butir Sebatu terpengaruh dengan budaya Barat. 2m

b. Teknik plot yang digunakan:

-Dialog- Dialog antara Mat Seman dan Tok Penghulu yang berbincang tentang     pembaharuan yang akan berlaku di Lembah Bilut. 2m
-Imbas kembali- Mat Seman teringat kembali cerita datuknya tentang kehebatan ayahnya     yang pakar tentang ilmu memelihara kerbau. Hanya daripada tahi kerbau sahaja dia tahu penyakit kerbaunya. 2m
-Monolog dalaman- Mat Seman berbisik dalam hatinya bahawa dia tidak mahu dianggap     oleh orang kampung  sebagai seorang askar yang tidak lagi mampu setelah cacat. 2m
-Pemerian- Pengarang menggambarkan tentang keadaan kandang kerbau milik Mat Seman setelah hari hujan. 2m
-Kejutan- Pembaca terkejut kerana pada akhir cerita Mat Seman telah mati kerana     dirempuh oleh kerbau-kerbau peliharaannya. 2m
-Imbas muka- Mat Seman membayangkan kesan yang akan timbul jika pembangunan     dibawa ke Lembah Bilut. Lembah Bilu tidak akan “suci” lagi. 2m

Tiada ulasan:

Catat Ulasan