Lima soalan struktur di bawah bertujuan menguji kemahiran pelajar mengaplikasikan konsep asas sastera dan memahirkan mereka mengenal pasti contoh daripada teks. Bentuk soalan aplikasi begini lebih menarik berbanding soalan pemahaman konsep.
Kepada pelajar, cubalah jawab dan bandingkan jawaban yang dicadangkan.
Soalan Struktur
1. ”Entahlah Leha. Aku ingat aku beruntung. Tapi rupa-rupanya cucu sendiri meratah daging aku hidup-hidup.” masih tak habis kiasan-kiasannya dihambarnya.
”Minum air mata aku. Silap-silap darah aku dihirupnya.” Nek Siah terus melepaskan rasa marah dan geram.”
(Petikan novel Jeriji Kasih)
Hiperbola merupakan satu unsur gaya bahasa. Nyatakan dua contoh hiperbola dalam petikan (4 markah)
2. Dia dan Syed Mustafa mengalas perut dengan nasi. Syed Mustafa begitu berselera walaupun hanya berlaukkan telur masin rebus dan sambal ikan bilis.
”Selalunya Nuar ke sini dengan siapa?”
”Tak dengan siapa-siapa.”
(Petikan novel Jeriji Kasih)
Huraikan dua teknik penceritaan berserta contoh dalam petikan. (4 markah)
3. ”Kalau marahkan nyamuk, janganlah kelambu dibakar. Sayangilah diri sendiri dan orang yang menyayangi kita. Jangan rosakkan masa depan kita dengan perbuatan yang tidak mendatangkan faedah hanya kerana berdendam kepada seseorang, lebih-lebih lagi, orang itu ialah ayah sendiri.”
(Petikan novel Jeriji Kasih)
Jelaskan dua pengajaran berserta contoh daripada petikan. (4 markah)
4. Syed Mustafa memerhatikan kerajinan dan kesungguhan Anuariza. Hatinya mengiakan cerita ibunya berkenaan kecekalan anak muda itu dan sedikit sebanyak dia melihat Anuariza adalah dirinya sendiri. (Petikan novel Jeriji Kasih)
Nyatakan dua perwatakan Anuariza dalam petikan. (4 markah)
5. ”Tu banyaknya ’A’. Nah! Tengok sendiri Leha.” Nek Siah menyerahkan kertas keputusan peperiksaan pada Solehah.
Solehah memandang, dia senyum tetapi air matanya deras turun.
”Tahniah, Nuar. Tahniah,” ucapnya memeluk Anuariza erat. Dicium ubun-ubun kepala Anuariza sekali.
(Petikan novel Jeriji Kasih)
Jelaskan dua persoalan dalam petikan. (4 markah)
1. i. Cucu sendiri meratah daging aku hidup-hidup 2 markah
ii. Minum air mata aku 2 markah
iii. Darah aku dihirupnya 2 markah
(maksimum 4 markah)
2. i. Pemerian 1 markah
ii. Cth : Dia dan Syed Mustafa mengalas perut dengan nasi 1 markah
iii. Dialog 1 markah
iv. Cth : ”Tak dengan siapa-siapa.” 1 markah
3. i. Kita hendaklah menyayangi diri dan keluarga 1 markah
ii. Cth : Sayangilah diri dan orang yang menyayangi kita 1 markah
iii. Kita janganlah berdendam 1 markah
iv. Cth : hanya kerana berdendam kepada seseorang 1 markah
4. i. Seorang yang rajin 2 markah
ii. Seorang yang tabah/cekal 2 markah
5. i. Persoalan kejayaan dalam hidup 1 markah
ii. Cth : Kejayaan Anuariza dalam peperiksaan 1 markah
iii. Persoalan kasih sayang seorang ibu 1 markah
iv. Cth : Solehah terharu dan memeluk Anuariza 1 markah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan